HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Rabu, 24 Februari 2010

ZIARAH KE KAWASAN PERKUBURAN KAMPUNG KIEW, POKOK SENA

Pemandangan segar hijau dan tenang di waktu pagi di kawasan pekuburan kampung Kiew, Pokok Sena@tiblakedah.blogspot.com
Sunyi sungguh suasana pada pagi itu. Tujuan aku keluar pada pagi itu hanyalah untuk pergi ke gerai minuman di Pekan Pokok Sena bersebelahan klinik Kesihatan. Gerai ini baru saja siap dibina bagi kemudahan dan memberi keselesaan kepada para peniaga di sini yang sudah menjalankan peniagaan di pekan Pokok Sena.

Semasa saya melalui kawasan perkuburan kampung Kiew, Pak Cik Shafie sedang asyik menyangkul dengan tekun. Dia tidak perasan tentang kehadiran saya ke sini. Saya lihat kawasan yang dibersihkanya sudah luas.

Menurut Pak Cik Shafie atau lebih mesra dengan panggilan Pak Cik Pee, dia memulakan tugasnya membersihkan kawasan kubur selepas subuh iaitu kira-kira jam 7.30 pagi. Dia sudah berumur 86 tahun. Menurut Pak Cik Pee lagi dia adalah merupakan penduduk yang mula-mula menetap di kampung ini. Isterinya masih hidup dan umurnya 70 tahun. Dia mempunyai empat orang anak dan berapa orang cucu. Tambah Pak Cik Pee, kawan yang sebaya denganya semuanya sudah meninggal dunia.

Bila diajukan soalan kepada beliau siapa yang memberi gaji padanya dia hanya menjawap “orang kampung” . Selama dia berkerja di sini rezekinya tidak pernah putus-putus. Ada sahaja yang menghulurkan bantuan kewangan kepadanya.

Pak Cik Shafie kelihatan cukup mesra. Dia juga masih boleh berjalan dan mengayuh basikal yang terletak 200 meter dari rumahnya ke kawasan perkuburan. Semasa bapa mertua saya masih hidup dia cukup kenal dengan bapa mertua saya. Arwah bapa mertua saya terkenal dengan panggilan “Pak Mat Keneh” bagi orang-orang tua dan dewasa di kawasan Pokok Sena.

Ironinya, dengan usia dan kudrat sedia ada sekarang ini, apalah sangat kerja yang boleh dilakukan bagi mencari sesuap nasi. Namun bagi Pak Cik Pee, selagi kudratnya masih ada dia sanggup bekerja mencari rezeki bagi menyara kehidupannya sekeluarga tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain biarpun hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Raikanlah mereka yang memiliki latarbelakang yang berbeza.......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan