HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Rabu, 3 Februari 2010

KE ARAH KEHDUPAN YANG HIJAU DAN SELESA

Keindahan pemandangan dan kehijauan pokok-pokok @ lokasi kampung Yoi, Pokok Sena

@tiblakedah.blogspot.com
Pemanasan global dikaitkan dengan peningkatan suhu bumi secara mendadak akibat proses kemajuan dan penerokaan alam secara keterlaluan. Saya ada terbaca mengenai sebuah laporan daripada Bahagian Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi melaporkan bahawa sepanjang Mei sehingga September setiap tahun negara mengalami musim kering dan panas kerana kekurangan hujan malahan negara akan mengalami pancaran matahari paling terik pada 21 Mac ini dengan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius ekoran fenomena ekuinoks.
Pepohon kayu berlatarkan sawah padi @ lokasi Bukit Lala Pokok Sena.

Kebetulan saya ada temujanji di klinik pakar gigi di Alor Setar pada hari Rabu jam 9.30 pagi, dapatlah saya merasai sendiri kepanasan cuaca di bandar. Saya selesai menjalani rawatan kira-kira jam 11.00 pagi. Saya keluar dari klinik dan terus ke Pasaraya Tesco bagi tujuan untuk melihat barangan hiasan dalaman.

Taman Impian Sena, Pokok Sena, Kedah.

Memang benar apa yang dijangkan keadaan di luar memang panas dan terik. Saya kira cuaca panas pada ketika itu melebihi 30 darjah selsius. Saya terpaksa mengharungi panas terik untuk berjalan di kaki-lima jalan tanpa peneduhan. Saya cuba melencong dan berjalan melalui bawah pokok dan mempercepatkan perjalanan. Namun saya dapati laluan pejalan kaki seumpama kaki lima pada bahu jalan atau laluan-laluan khas yang disediakan tanpa sebarang bentuk peneduhan sama ada pokok-pokok atau pergola menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna.Laluan ke kebun, waktu tengah hari @ lokasi Bukit Lala, Pokok Sena.

Namun hakikatnya pembangunan fizikal di negara kita kini telah terlalu meminggirkan peranan dan kepentingan pohon-pohon kayu yang rendang sebagai elemen semulajadi yang banyak memberi manfaat. Pohon-pohon kayu yang rendang sebenarnya bukan sahaja berperanan mengindahkan lagi suasana di satu-satu kawasan tetapi lebih penting lagi dapat memberikan peneduhan kepada manusia dan persekitarannya agar peningkatan suhu bahangan dapat dikawal.

Kombinasi pohon-pohon besar yang sedia ada dan pohon-pohon baru akan dapat memberikan perlindungan dan peneduhan kepada pejalan kaki, tempat-tempat riadah, meneduhi kereta dan juga sebahagian daripada bangunan dari panahan sinar matahari langsung yang keterlaluan.

Kita mampu mengadakan kawasan persekitaran yang hijau dan selesa mengikut kemampuan yang ada @ Teratak Impian Bukit Lala.

Jika kita berada di kawasan kampung tentu suasana ini tidak berlaku kerana pokok-pokok masih banyak tumbuh sama ada pokok-pokok yang ditanam atau yang tumbuh sendiri, terutamanya kawasan yang belum diteroki yang dipenuhi pokok-pokok yang menghijau serta sungai yang belum tercemar.

Membena pondok dari kayu yang diperolehi dari pokok yang tumbuh meliar di kebun yang berdekatan @ lokasi kampung Bukit Lala.

Pohon-pohon kayu yang rimbun sebagai elemen peneduhan semulajadi berupaya mengurangkan kesan-kesan peningkatan suhu udara yang keterlaluan menerusi peranannya dalam menapis dan mengurangkan penembusan kesan sinaran langsung matahari ke permukaan bumi. Oleh yang demikian, pengekalan pokok-pokok besar dan penanaman semula pokok-pokok yang matang untuk memenuhi peranannya sebagai peneduh semulajadi di samping memperindah persekitaran kita perlu diperhebat lagi.

Memberehkan kawasan kolam untuk ternakan ikan keli @ lokasi belakang rumah di Teratak Impian Bukit Lala.

Akhirnya kita akan dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan nyaman tanpa mengalami sebarang masalah kepanasan yang keterlaluan dan kesan negatif anasir-anasir pencemaran lain yang berkaitan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu ke arah kehidupan yang lebih hijau dan selesa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan