HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Ahad, 29 November 2009

KEDAH SEJAHTERA

Makan sirih dicampur pinang
Pinang disimpan di atas para
BN menang Kedah senang
Slogannya indah rakyat sengsara

Semangat rakyat terus membara
Ingin perubahan pasti diduga
Kedah maju selamat sejahtera
Rakyat selesa negara merdeka

Indahnya alam dihiasi pelangi
Warnanya bersinar puas dinikmati
Pemimpin dihormati rakyat didampingi
Tanda sokongan rakyat sudah terbukti

Sabtu, 28 November 2009

HAL-HAL YANG MENYIBUKKAN KITA

Di antara hal yang menyibukkan hati kita semua adalah mencari rezeki. Tidak sedikit dari kalangan kita semua ini yang mencari rezeki dengan cara yang diharamkan Allah. Baik dari golongan menengah maupun gulungan bawahan, baik di pejabatnya maupun oleh buruh sekalipun.Mereka tidak lagi peduli terhadap larangan Allah dan Rasul-Nya. Mereka tidak lagi bisa membezakan mana yang halal dan mana yang haram kerana akal sihatnya sudah tak dapat lagi berfungsi lantaran rakusnya terhadap dunia dan lupa terhadap Allah.

Kita dapat menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri, banyak dari kaum muslimin mendatangi tempat-tempat yang terlarang dikunjungi seperti dukun-dukun, paranormal, orang pintar atau apa saja sebutan mereka yang mengaku mengetahui perkara yang ghaib. Mereka meminta melalui perantaraan orang orang yang dianggap bisa mengeluarkan mereka dari musibah dan mereka juga memohon pertolongan untuk mengetahui urusan yang ghaib. Dan ketahuilah, bahwa rezeki adalah salah satu dari perkara yang ghaib itu.

Adalah suatu kewajiban bagi kita untuk bertawakkal kepada Allah yang telah menciptakan dan menanggung rezeki semua makhluk-Nya. Dan sudah keharusan bagi kita untuk mengembalikan semua perkara yang ghaib itu kepada Allah saja. Allah dan Rasul-Nya telah memerintahkan kita untuk mencari rezeki yang halal dan baik, yang tentunya dengan cara berusaha yang halal dan baik pula. Namun disamping itu Allah dan Rasul-Nya memberi jalan kepada kita dengan dibukanya kunci-kunci rezeki yang tentu saja tanpa meninggalkan usaha.

Jumaat, 27 November 2009

IBADAH KORBAN

Melaksanakan ibadah korban amat digalakkan oleh Islam kerana fadilatnya cukup besar. Hukum ibadat korban adalah sunat muakkad. Bagi yang bernazar, ia akan menjadi wajib, manakala makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya sedangkan berkemampuan untuk melaksanakannya.

Dengan melaksanakan ibadah korban juga dapat menangkis jiwa manusia daripada sikap kedekut dan bakhil. Sebaliknya dapat melahirkan perasaan kasih sayang sesama Muslim dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Seperti yang diketahui, ibadah korban memenuhi tuntutan agama ia juga sebagai pemangkin untuk mengembangkan syiar Islam. Ini termaktub dalam matlamat utama ibadah ini dilakukan iaitu untuk membantu fakir miskin dan golongan yang kurang bernasib baik di kalangan umat Islam.

Khamis, 26 November 2009

EIDUL ADHA 1430

EidulAdha ialah hari kesepuluh dari bulan Zulhijjah. Ia melambangkan pengorbanan manusia di dalam mengejar keredhaan Tuhan yang Maha Mencipta, seperti pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Isma’il a.s. Ia juga adalah musim ibadat bagi tetamu-tetamu Allah di tanah suci. EidulAdha di Malaysia jatuh pada hari Jumaat , 27 haribulan November 2009, berdasarkan rukyah (penglihatan anak bulan) dan hisab (perkiraan). Musim EidulAdha adalah peluang seseorang Muslim mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. dengan melahirkan keinsafan dan keihsanan.

Islam mensyariatkan beberapa amalan di antaranya adalah:
1. Bertakbir, bertahmid dan bertahlil kepada Allah, serta berselawat ke atas Baginda Rasulullah S.A.W. bermula dari subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar hari tasyriq yang terakhir (13 Zulhijjah). Ini berdasarkan Hadith Jabir r.a. yang bermaksud bahawa “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bertakbir pada solat Fajar hari Arafah, sehingga waktu Asar daripada hari tasyriq yang terakhir, selepas Baginda memberi salam dari solat fardhu.” (riwayat Ad-Daruqutni).

2. Melaksanakan ibadat korban pada EidulAdha sehinggalah penghujung hari tasyriq. Ibadat ini mengingatkan masyarakat Islam untuk sentiasa bersifat ikhlas dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ibadat ini juga dapat merapatkan hubungan dan menyebarkan kasih sayang di antara manusia, dengan perkongsian daging bersama mereka yang memerlukan, keluarga, sahabat dan jiran tetangga.

3. Puasa sunat pada hari Arafah. Sabda Baginda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Puasa pada hari Arafah itu menghapuskan dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." (Hadis riwayat Muslim). Hari Arafah adalah bertepatan dengan 9 Zulhijjah. Tidak ada dalil syarak yang menetapkan bahawa puasa Arafah mesti dilakukan serentak dengan masa wukuf jemaah haji di Arafah. Sebaliknya, ia disunatkan pada tanggal 9 Zulhijjah. Bahkan, dengan bentuk dunia yang bulat dan perbezaan waktu, puasa yang dilakukan di benua dan rantau selain dari tanah suci, tidak akan dapat dijalankan serentak dengan wuquf, walau dilaksanakan pada hari wuquf itu sendiri.

Semoga Allah mengurniakan masyarakat Islam dengan EidulAdha yang diberkati, dan menganugerahkan jemaah haji dengan haji yang mabrur. Amin.

Banjir di Jeddah, hujan di Mekah
Banjir di Jeddah ragut 77 nyawa
Hari Wukuf di Arafah


SELAMAT MENYAMBUT EIDULADHA 1430 - KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DI JUA BERADA

Rabu, 25 November 2009

DISTINASI YANG PERLU DIKUNJUNGI

@ tiblakedah.blogspot.com
Dalam kesibukan ibu kota dan saling mengejar masa tidak kira sama ada siang atau malam kadangkala menyebabkan penghuninya terbelenggu dengan rutin harian yang menyesakkan dan membosankan. Seawal pagi selepas solat subuh, kita berdepan dengan suasana berlumba-lumba untuk bergegas ke tempat kerja dan merempuh kesesakan jalan raya yang memenatkan kerana pada masa yang sama terpaksa berebut-rebut dengan warga kota yang lain.

Keadaan yang sama berlarutan dari sehari ke sehari yang kadangkala mencecah ke sebulan atau bertahun tanpa disedari. Untuk mengubatinya, anda perlukan sesuatu kelainan dalam kehidupan agar semangat kembali segar, lebih bermakna dan tenang dengan berkunjung ke kampung sempena cuti persekolahan dengan menikmati suasana kehijauan tenang dan damai.

Di kawasan kampung di kelilingi dengan pokok-pokok rimbunan dedaun serta bunga-bungaan pelbagai jenis menjadikan sekitar kawasan persekitaran begitu aman sekali. Di kawasan sawah pula tanaman padi hidup subur menghijau dengan ikan-ikan berkeliaran berenang di dalam sawah. Para petani pula sibuk membersihkan kawasan sawah, kelihatan burung bangau berkeliaran mencari makan di kawasan tersebut sambil memerhati jika ada ikan yang akan timbul.

Inilah masanya, peluang yang ada seharunya diisi dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokan, kita boleh memancing, pergi ke kawasan hutan mencari tumbuhan liar untuk hiasan taman. Aktiviti menembak sama ada burung atau binatang yang dibenarkan, di kawasan hutan amat menyeronokkan. Di kawasan sungai pula anda boleh mandi sepuas-puasnya, aktiviti–aktiviti yang anda lakukan sekurang-kurangnya dapat mengurangan kebosanan bila balik ke pejabat. Selamat pulang dengan selamat.

Isnin, 23 November 2009

RAKIT BULUH

Jika anda tinggal di tepi sungai, kebiasaannya buluh mudah diperolehi dengan banyaknya . Rakit biasanya diperbuat daripada buluh terpilih. Ia diambil dari rumpun buluh yang terdapat di tepi-tepi sungai atau di dalam hutan. Untuk rakit yang sempurna gunakan batang buluh yang besar saiznya.

Untuk membuat rakit 10-12 batang buluh diperlukan. Buluh-buluh tersebut akan diikat rapi menggunakan tali , rotan atau akar kayu. Panjang buluh yang digunakan biasanya diantara 25 kaki hingga 35 kaki. ia boleh membawa 3-4 orang peserta berdasarkan saiz peserta dan kekuatan rakit. Setiap rakit dibekalkan dengan 3 batang galah/kayu bagi megemudi rakit.

Jika kita minat aktiviti berakit kita boleh lakukan bersama keluarga. Untuk mengelakan daripada hujan kita boleh membena bumbung daripada daun buloh atau daun yang lain yang difikirkan sesuai, ia bergantung kepada kebolehan anda melaksanakanya. Selamat mencuba.

Berakit-rakit dahulu jangan hanyut kelautan
Bersakit-sakit dulu menunggu saat kematian

Ahad, 22 November 2009

IKAN PEKASAM


@tiblakedah.blogspot.com
Ikan merupakan komoditi yang mudah rosak dan tidak dapat disimpan lama jika tidak diawet. Justeru, pelbagai kaedah pengawetan diamalkan untuk mengekalkan mutu serta kualiti ikan. Antara kaedah pengawetan paling mudah ialah menjadikannya pekasam.

Memproses pekasam amat mudah serta tidak memerlukan modal yang besar. Pekasam disediakan melalui proses pemeraman ikan yang digaul bersama garam, asam keping atau asam jawa, gula merah dan beras goreng. Pekasam amat popular di negeri utara Semenanjung, terutamanya di Negeri Kedah.

Pada kebiasaannya pekasam diperbuat menggunakan ikan air tawar yang diperoleh dari sungai, tasik atau terusan di sawah-sawah padi. Jenis ikan yang biasa digunakan di sini ialah ikan keli dan lampam. keunikan produk ikan pekasam di kawasan Pokok Sena mereka menggunakan beras goreng yang dikisar untuk menyalut ikan pekasam yang dihasilkan.

Setiap bungkus dengan berat 250 gram dijual pada harga RM3.00 hingga RM5.00 bergantung jenis ikan yang kita inginkan. Ikan pekasam sesuai untuk dihidangan untuk makan tengahari dan malam mengikut keperluan yang kita sukai.

Sila hubungi : Rahim 017 4714105
Lokasi : Bersebelahan Sekolah Menengah Pokok Sena, Kedah.
Ikan keli boleh didapati di sini: 1kg RM5.00 (Untuk peniaga harga boleh dirundingkan)

Sabtu, 21 November 2009

KOMPUTER ROSAK

Maaf, cuti sementar.Komputer rosak.

Selasa, 17 November 2009

KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH - KEDAH

Kerajaan negeri Kedah sedang berusaha untuk menaiktarafkan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menjadi sebuah universiti yang bertaraf profesional. Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pelajaran, Koperasi Negeri, Datuk Haji Mohamed Taulan Mat Rasul berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Asrama Sekolah Integrasi Faizin (SAIF), 12 November lalu.

Taulan berkata, pada tahun ini KUIN telah memulakan pengambilan pelajar untuk pengajian kejururawatan dan ekonomi selain daripada pengajian asasnya sebelum ini. Menurutnya, kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan pengajian kedoktoran dan undang-undang supaya keluaran KUIN akan mencangkupi semua bidang pengajian. Jelas beliau lagi, kampus induk KUIN akan dibina di Kuala Ketil bagi menampung keperluan pelajar-pelajar di negeri ini yang berkelayakan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan kos yang paling minima.

Menyentuh tentang bantuan kepada sekolah-sekolah agama, Taulan berkata, kerajaan akan terus membantu sekolah-sekolah agama rakyat di negeri itu yang semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat pada masa kini. "Kita akan bantu sekolah-sekolah yang menyediakan pendidikan integrasi berasaskan ketakwaan kepada Allah," katanya.

"Sekolah-sekolah inilah yang akan melahirkan pemimpin-pemimpin yang faham akan tanggungjawab mereka kerana hanya kepada pemimpin beginilah yang boleh diamanahkan untuk mentadbir negara ini," ujarnya lagi.
(Sumber : Harakahdaily 14 Nov. 2009)

Isnin, 16 November 2009

YANG BENAR ITU ALLAH SUKA

Nasihat Luqman Hakim : "Hai anakku; usahakanlah dan jagalah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain".

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
(Maksud : Al Imran ayat 26 )

Ahad, 15 November 2009

KEM BINA SAHSIAH SIRI KE2 - DI DARUL ULUM

Sempena cuti sekolah yang bermula 17 November hingga 3 Jan 2010 pihak Kompleks Pendidikan Muassasah DaruI Ulum akan mengadakan program KBS 2009 selama 21 hari iaitu mulai 1 Disember 2009 hingga 21 Disember 2009. KBS akan diadakan di Kompleks Pendidikan Muassasah DaruI Ulum. Terbuka kepada anak yang berumur 15 – 18 tahun. Lelaki dan perempuan.

Objek Program
1) Membina sahsiah berlandaskan iman dan taqwa.
2) Menjana fikrah yang mampu merungkai delima masyarakat
3) Menampilkan generasi remaja yang diimpikan oleh setiap lapisan masyarakat.
4) Menyediakan peluang pembelajaran secara intensif dalam masa singkat.
5) Melaksanakan pentarbiyahan secara terus dan berkesan
Sepanjang Program ini peserta dibekalkan antaranya:

Untuk keterangan lanjut sila hubungi:

SEKRETARIAT KEM BINA SAHSIAH,
Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum,
Km. 23, Jalan Kuala Nerang, 06400 Pokok Sena,
Kedah Darul Aman.
Tel/Fax : 04-782 4252
Talian Terus : 019 5909733/ 019 5909744

Sabtu, 14 November 2009

BUKIT HIJAU - BALING

@tiblakedah.blogspot.com
Hutan Lipur Bukit Hijau terletak dalam Hutan Simpan Bukit Hijau berjenis Hutan Dipterokap Pamah mempunyai ketinggian 150-200 meter dari aras laut. Hutan lipur ini mempunyai keunikan air terjun 5 tingkat yang mempersonakan serta menambat hati pengunjung. Terdapat denai hutan menuju ke Gunung Inas, Gunung Bintang Utara, Bukit Baubak dan Bukit Hijau.

Berapa kemudahan asas yang disediakan adalah untuk mandi-manda, berkelah, berkhemah, trekking dan jogging. Selain daripada itu kemudahan seperti chalet, gerai makanan serta surau juga disediakan. Di sini juga pengunjung boleh bersiar-siar, mendaki gunung, melihat hidupan liar dan "arboretum", selain itu, padang juga disediakan di sini untuk kegunaan pengunjung.

Pelbagai flora dan fauna boleh ditemui dalam hutan di sini. Tumbuhan utama yang terdapat di sini adalan meranti seraya, meranti tembaga serta meranti melantai. Di antara fauna yang terdapat di kawasan ini ialah gajah, tapir, rusa kijang, lotong kekabu, tupai serta pelbagai spesis burung dan unggas.

Untuk sampai ke hutan lipur ini anda boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Pekan Kuala Ketil atau dari Bandar Kulim. Dari Pekan Baling jaraknya adalah 45 km. Manakala dari Bandar Sungai Petani sejauh 45 km.


Jumaat, 13 November 2009

HUTAN LIPUR BUKIT WANG - KEDAH

@tiblakedah.blogspot.com
Sekiranya anda ingin bercuti di Kedah atau kebetulan mengziarahi kawan-kawan di sini ada kawasan peranginan yang patut anda kunjungi iaitu Hutan Lipur Bukit Wang. Hutan Lipur Bukit Wang terletak dalam Hutan Simpan Bukit Perangin yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Pamah.
Keistimewaan disini ialah terdapat sebatang sungai yang dinamakan Sungai Tosak mempunyai batu-batan yang unik. Di kawasan ini terdapat pelbagai flora dan fauna dari Hutan Dipterokarp Pamah. ‘Permatang Seraya’ yang merupakan deretan pokok Meranti seraya (Shorea curtisii) yang berukuran melebihi 120 cm diameter tumbuh secara semulajadi.

Kemudahan asas yang disediakan untuk berkelah, berkhemah, trekking dan jogging. Selain daripada itu terdapat chalet dan gerai, padang permainan disediakan. Hutan lipur ini sesuai untuk pengunjung menjalankan aktiviti bersiar-siar, mendaki gunung dan berkelah.
Terdapat denai hutan yang boleh menghubungi hutan lipur ini dengan Hutan Lipur Puncak Janing yang terletak di kawasan Padang Terap. Musim cuti sekolah amat sesuai untuk anda berkunjung di sini sekurangnya dapat melegaklan ‘stress’ yang anda alami semasa berkerja di pejabat.

Lokasi :

  • Jitra, Kedah
  • Terletak 12 km dari Pekan Jitra Kedah, 40 km dari Bandar Alor Setar. Boleh dihubungi melalui jalanraya.
  • Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Bandar Jitra.

Khamis, 12 November 2009

HARI-HARI YANG TELAH BERLALU

Lokasi : Kampong Bukit Lala, Pokok Sena Kedah
Tarikh diambil pada : 13 Mac 2009
Masa : 8.12 pagi waktu tempatan
Camera model : Nokia N70

Rabu, 11 November 2009

EMPANGAN BERIS - SIK KEDAH

@tiblakedah.blogspot.com
Empangan Beris terletak di daerah Sik, Kedah. Berhampiran dengan Tasik Pedu. Jauhnya tasik ini dari Pekan Sik adalah lebih kurang 24 km dari Alor Setar iaitu 90 km, 48 km dari tempat kami tinggal dan kira-kira 1.6 km dari pertemuan antara Sungai Beris dan Sungai Muda.

Dahulunya kawasan ini dikelilingi pokok getah dan hutan, kini ia diliputi panorama luas empangan buatan manusia yang berfungsi untuk membekalkan air bersih buat kawasan selatan Kedah dan Pulau Pinang. Pemandangan dari atas bukit menghadap empangan begitu menarik dengan keindahan kawasan yang menghijau dan di penuhi air yang memukau lagi mempersonakan.

Ketika Tasik Beris dalam proses pembinaan lebih seribu kubur telah dipindahkan pada tahun 2002. Kampung yang telibat ialah Kampung Batu Seketol, Kampung Sungai Batang (Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar), Kampung Ternas dan sebahagian Kampung Telaga Batu. Penduduk-penduduk kampung tersebut sekarang ditempatkan di Bandar Baru Beris Jaya kira-kira 10 km dari Pekan Sik dan 5 km dari Pekan Jeniang.
Sekiranya anda ke Kedah pastinya anda akan tidak melepaskan peluang ke kawasan ini untuk melihat sendiri keindahan persekitarannya dengan kehijauan pokok-pokok serta kejernihan air sungai di samping menikmati udara segar bersama keluarga anda. Sekiranya anda berminat memancing dan bermalam, tempat penginapan disediakan dengan bayaran yang berpatutan.

Selasa, 10 November 2009

VANILA

video
Vanila bahan perisa yang dihasilkan dari tumbuhan orked yang memanjat. Rata-rata masyarakat di Malaysia kurang mengetahui bahawa vanila merupakan sejenis tumbuhan.Pokok vanila adalah sejenis tumbuhan spesis orked. Ramai yang tahu tentang betapa harumnya vanila bila diadun bersama makanan, contohnya kek.

Namun ramai juga yang menganggap bahawa vanila adalah perasa tiruan semata-mata.Pembuat kek sudah pasti pernah menggunakan bahan perisa cecair dari botol kecil yang dilabel perisa vanila. Untuk pengetahuan semua kebanyakan perisa tersebut adalah tiruan.

Perisa tulen dikenali sebagai ekstrak vanila. Ianya mempunyai aroma yang berkali-ganda lebih harum berbanding perisa tiruan. Ekstrak vanila yang terdapat di pasaran antarabangsa sememangnya diketahui mengandungi alkohol. Ini kerana alkohol merupakan bahan pemangkin terbaik dalam menghasilkan ekstrak vanila.
Ekstrak vanila digunakan dalam penyediaan makanan, ubat-ubatan, industri membuat tayar dan lain-lain lagi sebagai bahan penghilang bau. Terdapat pilihan lain iaitu menggunakan serbuk vanila yang diperolehi dengan cara mengisar buah vanila yang telah kering untuk diproses .

Penanaman Vanila di Malaysia

video

Projek pertanian, Agrotek , untuk rakyat Kedah: Pengulungan Dato Hj Azizan Razak di DUN.

Isnin, 9 November 2009

HUTAN LIPUR GUA CERITA - LANGKAWI

Hutan Lipur Gua Cerita, Langkawi terletak di Hutan Simpan Gua Cerita terdapat pelbagai flora dan fauna dari Hutan Bukit Pantai. Keunikan hutan lipur ini terdapat sebuah gua yang mempunyai legenda terdiri iaitu kononnya burung garuda menjadikan gua ini sebagai tempat bersembunyi Tuan Puteri Maharaja China dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Di dalam gua ini terdapat sebuah batu seolah-olah tuan puteri sedang beradu yang dikaitkan dengan hikayat tersebut. Disamping itu keunikan dirian dinding dari batu kapur memberikan pemandangan yang menarik dan menghijau. Kawasan pantai berhampiran gua ini juga sesuai untuk aktiviti memancing.


Sabtu, 7 November 2009

ATAP NIPAH

@tiblakedah.blogspot.com
Biarpun negara kini membangun pesat dalam bidang pembinaan dengan wujudnya rumah serta bangunan pencakar langit yang mengagumkan, namun sesetengah individu masih mempertahankan keaslian ciri seni bina tradisional. Salah satu ciri tradisional dalam seni bina Melayu yang terus menjadi lambang dan kebanggaan ialah penggunaan atap yang diperbuat daripada daun nipah.

Maka tidak hairan kini walaupun sudah lebih 51 tahun negara menyambut ulang tahun kemerdekaan, masih ada kedai, gerai, restoran, tempat rehat malahan rumah yang 'mengabadikan' bumbung diperbuat daripada atap daun nipah atau rumbia. Atap tersebut menjadi pilihan kerana mempunyai nilai sentimental, selain dapat menyejukkan keadaan dalam kediaman atau tempat yang dilindunginya menjadi lebih nyaman.

Di Sungai Tiram Sitiawan Perak terdapat satu kawasan yang ramai pembuat atap daripada rumbia dan nipah ialah di Kampung Sungai Tiram dan Batu 8 Lekir Sitiawan di negeri Perak. Seorang pembuat atap nipah, Razali bin Hamzah 65, berkata, di kampung itu terdapat beberapa pembuat atap daun nipah kerana pokok tersebut banyak terdapat di kawasan sekitarnya terutama di kawsan tepi sungai yang mengarah ke kawasan tepi laut.
Katanya, beliau mewarisi kepakaran membuat atap tradisional itu daripada arwah bapanya dan mula membuat atap secara aktif kira-kira lima belas tahun lalu. ''Apa yang saya banggakan, walaupun kini terdapat pelbagai jenis atap moden yang baik dan berkualiti tetapi sambutan daripada orang ramai terhadap atap nipah kekal menggalakkan," katanya yang mengusahakan pembuatan atap nipah bersama isterinya, Hendon Jafaar , 55.

Razali memberitahu, sejak mengusahakan secara serius kerja membuat atap nipah, beliau menerima tempahan yang banyak termasuk daripada pelanggan dari Manjung dan Ipoh Perak."Daripada maklum balas yang saya dapat, kebanyakan pelanggan adalah di kalangan pengusaha restoran dan peladangan yang mana mereka membeli atap nipah untuk membuat bumbung rumah pekerja lading untuk projek tanaman.

"Ada juga yang membelinya untuk membuat bumbung tempat rehat, restoran dan rumah," kata bapa kepada enam orang anak yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan. Menurut Razali, atap nipah perlu ditukar setiap empat hingga enam tahun sekali.

"Setiap atap nipah mempunyai panjang kira-kira 1.5 meter hingga 1.8 meter dan daunnya perlu dilipat agar sama panjang untuk mencantikkan atap itu," jelasnya. Menurutnya, setiap hari sebanyak 80 hingga 90 keping atap rumbia dapat disiapkan bergantung pada permintaan kerana kerja membuatnya memerlukan pemerhatian yang rapi.
"Atap yang telah siap, dijual dengan harga RM1.00 sekeping," katanya yang memperoleh pendapatan dari hasil jualan atap antara RM800 hingga RM2,000 sebulan bergantung pada tempahan.

,

Jumaat, 6 November 2009

TINGKATKAN PENDAPATAN HUTAN 205%

Kerajaan negeri Kedah berjaya meningkatkan pendapatan hasil hutan negeri sebanyak 205.5 peratus apabila pendekatan tender terbuka dilakukan. Peningkatan ini berjaya dibuat walaupun jumlah kawasan balak yang ditebang tidak meningkat, kata anggota Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

"Semasa BN memerintah Kedah dahulu balak yang diluluskan ditempat lain, tempat lain pula yang ditebang. "Sehektar balak milik rakyat yang untungnya mungkin mencapai puluhan ribu ringgit tetapi hanya RM1000 sahaja premiumnya kembali kepada kerajaan ketika itu. "Dengan tindakan terkini Datuk Seri Azizan membuka tender balak maka sekaligus ia melonjakkan pendapatan yang diraih oleh Kerajaan Negeri Kedah.

"Dengan tender terbuka ini perolehan pendapatan hutan ini telah meningkat 205.5 peratus jika dibandingkan semasa pentadbiran BN dahulu," katanya. Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah berkata, bagi tahun 2007 semasa Kedah ditadbir oleh Kerajaan BN pendapatan Kerajaan Negeri ketika itu hanyalah berjumlah RM9.21 juta dan kini telah meningkat kepada RM28.14 juta.

"Dengan peningkatan jumlah ini maka banyak manfaat dapat digunakan bagi kesejahteraan dan kebajikan rakyat negeri Kedah. Ini semua adalah ekoran kepimpinan kerajaan negeri yang memahami permainan politik balak yang telah dimainkan sebelum ini oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,"katanya lagi.

Kerajaan negeri juga terpaksa berdepan dan menanggung kesilapan yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional(BN) sebelum ini dengan mewariskan legasi hutang mereka berjumlah RM2 bilion.

Menurut Mohd Nasir, prestasi pentadbiran Kerajaan Kedah dibawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi tahun pertama sepertimana yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 menunjukkan kewangan Kedah adalah memuaskan.
Sumber : Harakahdaily – 6Nov. 2009)

Durian Burung terletak di Daerah Padang Terap.

Khamis, 5 November 2009

AKAL DI ULU - JUHARI SAID

@tiblakedah.blogspot.com
Sebelum saya berpindah ke Pokok Sena Kedah, jika ada terluang masa, sering bertemu En. Juhari pemilik kediaman Akal di Ulu. Akal Di Ulu yang dibina di atas tanah berkeluasan empat setengah ekar di Dusun Tua Hulu Langat berdekatan dengan IKBN Dusun Tua Hulu Langat Selangor. Ia tidak jauh dari Perkampungan kami Darul Hidayah, kira-kira 1km dari rumah kami dan 25km dari Kuala Lumpur.

Juhari Said dilahirkan pada tanggal 6 Januari 1961 di Gopeng, Perak. Beliau telah menerima pendidikan seni dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) antara tahun 1979 dan 1983. Sejak awal lagi, Juhari telah cenderung ke arah senicetak dan telah menumpukan sepenuh tenaga dan masa kepada aspek seni ini.
Pernah menerima anugerah utama bagi kategori senicetak sempena pertandingan Salon Malaysia pada tahun 1991, anugerah Permodalan Nasional Berhad pada tahun 1990 dan turut menerima gran pengkajian (research grant) untuk senicetak di Paris oleh Kerajaan Peranchis pada tahun 1993. Pada tahun 1994 sekali lagi beliau diberi peluang oleh Japan Foundation untuk mengikuti program mempelajari senicetak kayu tradisional di Tokyo, Jepun.

Semasa saya menziarahinya di kediamannya, beliau tidak lupa mejamu juadah ubi kayu dan sukun (lapan resipi katanya), sudah tentu Juhari berhak untuk 'menunjuk-nunjuk' dan berkongsi pengalaman bagaimana beliau tergerak untuk mewujudkan tempat yang begitu berseni dan istimewa.

Pernah semasa Sue datang menziarah saya di rumah kami, saya dan isteri membawa Sue dan kawannya ke Akal di Ulu (staff MRB UK di Brickendonbury Heartford) untuk melawat dan melihat sendiri kediamannya beliau yang yang berhampiran sungai dan kawasan hutan yang berbukit bukau.

Dengan semangat berkobar-kobar, Juhari lantas nekad melaburkan sebahagian besar wang simpanan beliau untuk menaikkan sebuah teratak seni yang user-friendly dengan binaan ruang dapur sebagai laluan masuk bagi senior citizen serta tangga bertingkat di bahagian tepi rumah khas untuk mereka yang lebih bertenaga dan adventurous turun ke dasar bukit.

Pelaksanaan idea ini dimotivasikan oleh harapan beliau untuk membantu menjana minat dan peluang di kalangan para pelukis dan pelajar meraih ilmu dan pengalaman khususnya dalam bidang senicetak. Tidak jauh dari rumahnya. Juhari telah menyediakan sebuah studio yang lengkap dengan peralatan dan mesin-mesin cetak untuk dimanfaatkan oleh pengunjung yang berminat.

Ada kalanya beliau telah melapangkan masa dan ruang untuk bersama-sama sekumpulan kanak-kanak sempena lawatan seni anjuran Unit Pendidikan Seni, Balai Seni Lukis Negara. Jadual asal untuk melukis selama lima jam telah terpendek setakat 45 minit sahaja kerana ternyata anak-anak bandar yang terlibat tidak mahu melepaskan peluang merasai pengalaman yang menggembirakan; terjun ke dalam sungai yang hanya 50 meter dari rumahnya, memanjat pokok buah-buahan, meredah reban ayam menyaksikan ayam mengeram telur dan makan burger berbungkus daun pisang.

Sebagai seorang yang berjiwa seni, estetik persekitaran tetap penting untuk memberi kedamaian serta keselesaan jiwa dan minda bagi seseorang pengiat seni. Beliau mudah mesra dan suka berbicara dengan apa juga topik yang kita inginkan tambahan pula topic yang bersangkutan dengan jiwa seninya.

Rabu, 4 November 2009

AKHLAK MULIA

Al-Quran telah memaparkan berbagai golongan yang memberi jawapan berbeza kepada persoalan-persoalan asasi kehidupan yang membentuk konsepsi dan aqidah mengenai kehidupan ini. Terdapat aqidah orang-orang beriman, aqidah orang-orang kafir, aqidah orang-orang fasik dan aqidah orang-orang munafiqin.

Aqidah orang-orang beriman dinyatakan dalam al-Ouran sebagai orang-orang yang beriman kepada Allah S.W.T, kepada Rasul-Nya, kepada keagungan Allah yang mencipta dan memiliki alam ini. Aqidah ini menyebabkan orang-orang beriman sentiasa bergantung harap kepada Allah S.W.T dan tidak bergantung harap kepada yang lain daripada-Nya. Tujuan hidup manusia di dunia ini ialah untuk beribadah kepada Allah S.W.T. dan setiap tindak tanduk dan kelakuan serta tindakannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Seorang mu'min berjiwa bebas, kebebasan seorang mu'min sentiasa mendapat panduan dan bimbangan. la sentiasa bertindak mengikut petunjuk Allah dan berpandu kepadanya. Nilai dan akhlak yang baik dalam jiwa orang-orang beriman menandakan ia mendapat pertunjuk dar Allah S.W.T.

Kekufuran manusia beriaku disebabkan sifat bongkak dan sombong serta ingkar kepada perintah Allah dan angkuh terhadapnya. Allah berfirman mengenai kekufuran Iblis yang bermaksud:
"Dan ketika kami berkata kepada malaikat sujudiah kepada Adam. Mereka pun sujud, kecuali lblis. la ingkar dan takabur dan ia daripada orang-orang kafir." (Maksud al-Baqarah: 34)

Aqidah orang-orang kafir yang sombong terhadap Allah S.W.T, yang tidak percaya kepada para rasul yang diutus oleh Allah dan ajaran-ajaran yang mereka bawa, yang tidak percaya kepada hari akhirat dan tidak patuh kepada hukum-hukum Allah dengan ingkar kepada hukum-hukum itu, membentuk nilai-nilai kelakuan dan cara hidup yang menjurus ke arah kehidupan yang tidak berakhlak mulia dan luhur. Allah S.W.T.

Mereka tidak mempunyai matiamat yang murni dan abadi dalam kehidupan mereka. Kehidupan ini bagi mereka mencari makan, mencari harta dan berfoya-foya semata-mata untuk di atas dunia ini. ltulah sahaja kehidupan mereka. Selain dadpada itu, tiada matiamat yang jauh yang hendak dituju. Pandangan dan cara hidup mereka ini, sudah tentu mempengaruhi pembentukan akhlak mereka yang pincang dan bercelaru.

Jelaslah bahawa al-Ouran menjadi sumber nilai-nilai dan akhlak mulia. Penampilan akhlak mulia dalam al-Ouran, mistilah diterjemahkan dalam kehidupan di dunia ini sebelum kita dikembalikan menemui Allah S.W.T berdasarkan realiti dalam sejarah manusia sepanjang zaman. Al-Quran adalah sumber yang kaya dan berkesan untuk manusia memahami akhlak mulia dan menghayatinya.
(Sumber : Kuliah Magrib oleh ustaz Mohamad di surau Bukit Lala pada 4 Nov. 2009)

Selasa, 3 November 2009

HIJAU AKAN JADI KONSEP PELANCONGAN


K
erajaan Negeri Kedah akan memastikan segala perancangan untuk menjadikan Kedah sebagai salah sebuah negeri pelancongan berkonsepkan hijau akan terlaksana dan menjadi satu realiti. Demikian dinyatakan oleh Pengerusi jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India, S.Manikumar.

Menurut Manikumar lagi bermula pada tahun 2010 negeri Kedah akan menjadi pusat pelancongan yang berasaskan kehijauan apabila kesemua perancangan untuk merealisasikannya selesai. "Kehijauan yang ada di negeri ini merupakan satu kekuatan bagi pelancongan yang ada di negeri ini.

Kita akan mengkaji lokasi yang strategik untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan tersebut.Konsep ini juga tidak akan hanya ditumpukan kepada keindahan floranya sahaja malah ia akan turut memberi tumpuan kepada kawasan sungai yang ada dalam negeri ini.

"Kawasan rekreasi sepanjang Sungai Kedah akan diberi tumpuan kerana ia terletak di pusat bandar.Satu lagi konsep yang akan dibawa ialah dengan menarik pelancong yang masuk ke Langkawi untuk datang melihat sendiri konsep kehijauan yang akan dilaksanakan itu."

Manikumar yang juga Adun Bukit Selambau berkata, konsep kehijauan ini dipilih kerana sebagai satu daya tarikan negeri Kedah kerana ia bukan sahaja dikelilingi oleh kehijauan sawah padi malah kawasan seperti Gunung Keriang dan Gunung Jerai adalah amat menarik untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan yang mampu membawa pendapatan kepada negeri ini.
(Sumber : Harakahdaily – 3 Nov. 2009)


Isnin, 2 November 2009

ADA HIKMAH DI SEBALIK KEPAYAHAN

Asah pisau pergi ke huma
Pisau dibawa di dalam raga
Masa berkuasa adil saksama
Sudah tiada dikenang juga

Pergi kerja dengan kereta
Singgah di warung bersarapan pagi
Masa berkuasa tak punya mata
Rakyat mengharap cepalah pergi

Datang ke pejabat seawal pagi
Elak sesak waktu di perjalanan
Sahabat seangkatan sudah pun pergi
Kita yang hidup tunggu pula giliran

Belakang parang diasah lagikan tajam
Usahalah lebih jangan bermalasan
Masa berkuasa bertindak kejam
Tunjuk muka rakyat pun bosan

Torek getah di waktu pagi
Getah diangkut dengan teroli
Bonos dan kenaikan gaji sudah dibagi
Itu semua rakyat dah tak peduli

Ahad, 1 November 2009

SEMOGA DI PERMUDAHKAN

Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut.Dengan murung lelaki itu mengadu,"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"

Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah raut wajah mukamu. Kau tahu, Rasulullah SAW adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tidak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah SAW, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya." Lelaki itu tertunduk.

Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Mulai hari itu, wajahnya senantiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah,wajahnya senantiasa mengulum senyum bersahabat.

Rupa mukanya berseri. Tidak heran jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal berhasilan suatu pekerjaan adalah raut wajah muka yang ramah dan penuh senyum.Bahkan Rasulullah SAW menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya. Demikian pula seorang suami atau seorang isteri.

Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, pikiran yang dingin dan wajah cerah, Insya Allah, apapun persoalannya nescaya dapat diatasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang didalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang.
Sumber : Koleksi Tazkirah Ummah