EidulAdha ialah hari kesepuluh dari bulan Zulhijjah. Ia melambangkan pengorbanan manusia di dalam mengejar keredhaan Tuhan yang Maha Mencipta, seperti pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Isma’il a.s. Ia juga adalah musim ibadat bagi tetamu-tetamu Allah di tanah suci. EidulAdha di Malaysia jatuh pada hari Jumaat , 27 haribulan November 2009, berdasarkan rukyah (penglihatan anak bulan) dan hisab (perkiraan). Musim EidulAdha adalah peluang seseorang Muslim mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. dengan melahirkan keinsafan dan keihsanan.
Islam mensyariatkan beberapa amalan di antaranya adalah:
1. Bertakbir, bertahmid dan bertahlil kepada Allah, serta berselawat ke atas Baginda Rasulullah S.A.W. bermula dari subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar hari tasyriq yang terakhir (13 Zulhijjah). Ini berdasarkan Hadith Jabir r.a. yang bermaksud bahawa “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bertakbir pada solat Fajar hari Arafah, sehingga waktu Asar daripada hari tasyriq yang terakhir, selepas Baginda memberi salam dari solat fardhu.” (riwayat Ad-Daruqutni).
2. Melaksanakan ibadat korban pada EidulAdha sehinggalah penghujung hari tasyriq. Ibadat ini mengingatkan masyarakat Islam untuk sentiasa bersifat ikhlas dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ibadat ini juga dapat merapatkan hubungan dan menyebarkan kasih sayang di antara manusia, dengan perkongsian daging bersama mereka yang memerlukan, keluarga, sahabat dan jiran tetangga.
3. Puasa sunat pada hari Arafah. Sabda Baginda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Puasa pada hari Arafah itu menghapuskan dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." (Hadis riwayat Muslim). Hari Arafah adalah bertepatan dengan 9 Zulhijjah. Tidak ada dalil syarak yang menetapkan bahawa puasa Arafah mesti dilakukan serentak dengan masa wukuf jemaah haji di Arafah. Sebaliknya, ia disunatkan pada tanggal 9 Zulhijjah. Bahkan, dengan bentuk dunia yang bulat dan perbezaan waktu, puasa yang dilakukan di benua dan rantau selain dari tanah suci, tidak akan dapat dijalankan serentak dengan wuquf, walau dilaksanakan pada hari wuquf itu sendiri.
Semoga Allah mengurniakan masyarakat Islam dengan EidulAdha yang diberkati, dan menganugerahkan jemaah haji dengan haji yang mabrur. Amin.
• Banjir di Jeddah ragut 77 nyawa
• Hari Wukuf di Arafah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan