@tiblakedah.blogspot.com
Sebelum saya berpindah ke Pokok Sena Kedah, jika ada terluang masa, sering bertemu En. Juhari pemilik kediaman Akal di Ulu. Akal Di Ulu yang dibina di atas tanah berkeluasan empat setengah ekar di Dusun Tua Hulu Langat berdekatan dengan IKBN Dusun Tua Hulu Langat Selangor. Ia tidak jauh dari Perkampungan kami Darul Hidayah, kira-kira 1km dari rumah kami dan 25km dari Kuala Lumpur.
Juhari Said dilahirkan pada tanggal 6 Januari 1961 di Gopeng, Perak. Beliau telah menerima pendidikan seni dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) antara tahun 1979 dan 1983. Sejak awal lagi, Juhari telah cenderung ke arah senicetak dan telah menumpukan sepenuh tenaga dan masa kepada aspek seni ini.
Pernah menerima anugerah utama bagi kategori senicetak sempena pertandingan Salon Malaysia pada tahun 1991, anugerah Permodalan Nasional Berhad pada tahun 1990 dan turut menerima gran pengkajian (research grant) untuk senicetak di Paris oleh Kerajaan Peranchis pada tahun 1993. Pada tahun 1994 sekali lagi beliau diberi peluang oleh Japan Foundation untuk mengikuti program mempelajari senicetak kayu tradisional di Tokyo, Jepun.
Semasa saya menziarahinya di kediamannya, beliau tidak lupa mejamu juadah ubi kayu dan sukun (lapan resipi katanya), sudah tentu Juhari berhak untuk 'menunjuk-nunjuk' dan berkongsi pengalaman bagaimana beliau tergerak untuk mewujudkan tempat yang begitu berseni dan istimewa.
Pernah semasa Sue datang menziarah saya di rumah kami, saya dan isteri membawa Sue dan kawannya ke Akal di Ulu (staff MRB UK di Brickendonbury Heartford) untuk melawat dan melihat sendiri kediamannya beliau yang yang berhampiran sungai dan kawasan hutan yang berbukit bukau.
Dengan semangat berkobar-kobar, Juhari lantas nekad melaburkan sebahagian besar wang simpanan beliau untuk menaikkan sebuah teratak seni yang user-friendly dengan binaan ruang dapur sebagai laluan masuk bagi senior citizen serta tangga bertingkat di bahagian tepi rumah khas untuk mereka yang lebih bertenaga dan adventurous turun ke dasar bukit.
Pelaksanaan idea ini dimotivasikan oleh harapan beliau untuk membantu menjana minat dan peluang di kalangan para pelukis dan pelajar meraih ilmu dan pengalaman khususnya dalam bidang senicetak. Tidak jauh dari rumahnya. Juhari telah menyediakan sebuah studio yang lengkap dengan peralatan dan mesin-mesin cetak untuk dimanfaatkan oleh pengunjung yang berminat.
Ada kalanya beliau telah melapangkan masa dan ruang untuk bersama-sama sekumpulan kanak-kanak sempena lawatan seni anjuran Unit Pendidikan Seni, Balai Seni Lukis Negara. Jadual asal untuk melukis selama lima jam telah terpendek setakat 45 minit sahaja kerana ternyata anak-anak bandar yang terlibat tidak mahu melepaskan peluang merasai pengalaman yang menggembirakan; terjun ke dalam sungai yang hanya 50 meter dari rumahnya, memanjat pokok buah-buahan, meredah reban ayam menyaksikan ayam mengeram telur dan makan burger berbungkus daun pisang.
Sebagai seorang yang berjiwa seni, estetik persekitaran tetap penting untuk memberi kedamaian serta keselesaan jiwa dan minda bagi seseorang pengiat seni. Beliau mudah mesra dan suka berbicara dengan apa juga topik yang kita inginkan tambahan pula topic yang bersangkutan dengan jiwa seninya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan