HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Rabu, 31 Mac 2010

SIMPANG KE KAMPUNG BUKIT LALA POKOK SENA

Kehadiran sahabat dan kenalan amat kami alu-alukan

Pokok ini tersergam di hadapan jalan masuk ke kampung kami. Kampung kami terletak di km 22 (Batu 13 1/2) Jalan ke Kuala Nerang. Jarak dari Sekolah Menengah Sains cuma 100 meter.

Untuk ke kampung kami, di sebelah kiri jalan besar ada sebuah bunglo dan laluan jalan tar sejauh 2km. Tar penamat itulah rumah kami.

Selasa, 30 Mac 2010

KE ARAH KEHIDUPAN YANG HIJAU DAN SELESA

Jalan besar dari Jitra ke Hutan Kampung, Kepala Batas, Kedah@tiblakedah.blogspot.com
Pemanasan global sering dikaitkan dengan peningkatan suhu bumi bumi secara mendadak akibat proses kemajuan dan penerokaan alam secara keterlaluan. Saya ada terbaca mengenai sebuah laporan daripada Bahagian Ramal¬an Cuaca Jabatan Meteo¬rologi melaporkan bahawa sepanjang Mei sehingga September setiap tahun negara mengalami musim kering dan panas kerana kekurangan hujan malahan negara akan mengalami pancaran matahari paling terik pada 21 Mac ini dengan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius ekoran fenomena ekuinoks.

Jalan kampung, kehijauan pokok-pokok di persekitaran masih boleh menampung kepanasan setempat
Memang benar apa yang dijangkan keadaan di luar memang panas dan terik. Saya kira cuaca panas pada ketika itu melebihi 30 darjah selsius. Saya terpaksa mengharungi panas terik untuk berjalan di kaki-lima jalan tanpa peneduhan. Saya cuba melencong dan berjalan melalui bawah pokok dan mempercepatkan perjalanan. Namun saya dapati laluan pejalan kaki seumpama kaki lima pada bahu jalan atau laluan-laluan khas yang disediakan tanpa sebarang bentuk peneduhan sama ada pokok-pokok atau pergola menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna.

Jalan ban tepi sungai di kawasan Tualang, Pokok Sena, Kedah.
Namun hakikatnya pembangunan fizikal di negara kita kini telah terlalu meminggirkan peranan dan kepentingan pohon-pohon kayu yang rendang sebagai elemen semulajadi yang banyak memberi manfaat. Pohon-pohon kayu yang rendang sebenarnya bukan sahaja berperanan mengindahkan lagi suasana di satu-satu kawasan tetapi lebih penting lagi dapat memberikan peneduhan kepada manusia dan persekitarannya agar peningkatan suhu bahangan dapat dikawal. Kombinasi pohon-pohon besar yang sedia ada dan pohon-pohon baru akan dapat memberikan perlindungan dan peneduhan kepada pejalan kaki, tempat-tempat riadah, meneduhi kereta dan juga sebahagian daripada bangunan dari panahan sinar matahari langsung yang keterlaluan.

Kegiatan menangkap ikan di sungai di Tualang, Pokok Sena, Kedah.
Jika kita berada di kawasan kampung tentu suasana ini tidak berlaku kerana pokok-pokok masih banyak tumbuh sama ada pokok-pokok yang ditanam atau yang tumbuh sendiri, terutamanya kawasan yang belum diteroki yang dipenuhi pokok-pokok yang menghijau serta sungai yang belum tercemar.

Pohon-pohon kayu yang rimbun sebagai elemen peneduhan semulajadi berupaya mengurangkan kesan-kesan peningkatan suhu udara yang keterlaluan menerusi peranannya dalam menapis dan mengurangkan penembusan kesan sinaran langsung matahari ke permukaan bumi. Oleh yang demikian, pengekalan pokok-pokok besar dan penanaman semula pokok-pokok yang matang untuk memenuhi peranannya sebagai peneduh semulajadi di samping memperindah persekitaran kita perlu diperhebat lagi.

Akhirnya kita akan dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan nyaman tanpa mengalami sebarang masalah kepanasan yang keterlaluan dan kesan negatif anasir-anasir pencemaran lain yang berkaitan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu ke arah kehidupan yang lebih hijau dan selesa.

Kegiatan menaut ikan haruan di sungai Titi Haji Deris, Langgar, Pokok Sena, Kedah. Malaysia.

Isnin, 29 Mac 2010

YANG DIDENGAR TIDAK SAMA YANG KITA LIHAT

Getah tua, pelbagi cara untuk mengumpulkan lateks ke dalam mangkuk - sekadah hiasan, lokasi km 22 Pokok Sena

Sabda Rasullalah yang bermaksud : " Ilmu itu ibarat gudang dan anak kuncinya adalah pertanyaan, dari itu bertanyalah! sesungguhnya setiap kali ada yang bertanya, ada empat golongan yang diberi pahala iaitu : yang bertanya, yang ditanya, yang mendengar dan yang mencintai mereka."

Ahad, 28 Mac 2010

'AMBILLAH SEKADAR KEPERLUAN'

Mengangkut rumput untuk makanan lembu - lokasi : kampung Bukit Lala, Pokok Sena, sekadar hiasan• Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
(NASIHAT LUQMAN HAKIM)

Sabtu, 27 Mac 2010

WARUNG 'COCONUT SHAKE' 100 METER DARI SINI

Pokok berjuntai ini mengamit kehadiran anda ke warung 'Coconut Shake', Ianya hanya terletak 100 meter. Manakala dari Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, warung ini terletak 200 meter ke arah jalan besar ke Kuala NerangJika anda ada masa ke Kuala Nerang atau Durian Burung melalui jalan yang sedang dalam pembinaan anda akan lihat di Km 22 Jalan Kuala Nerang iaitu 200 meter dari Sekolah Menengah Sains Pokok Sena terdapat sebuah warung menjual air kelapa.

Warung ini terkenal dengan jualan 'Coconut Shake' yang beroperasi sekitar jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Selain minuman, roti dan pau juga disediakan. Sebagai menarik kehadiran pelanggan warung ini juga menjual hasil tangan keluaran dari Melaka seperti gula melaka, cencalok dan belacan.
Saudara Anwar berasal dari Melaka manakala isterinya seorang guru berasal dari Pokok Sena. Warung ini dibena tidak jauh dari rumah mereka. Kelapa muda yang diguna setakat ini untuk jualan 'coconut shake' mencecak 60 biji dan ais krim vanila jenama Wall's 1.5L sebanyak 7 hinga 8 kotak sehari.

Semalam beliau telah menambahkan jualan minuman panas kopi dan teh . Bagi peminat teh tarik, jika anda sudah mencuba pasti anda akan datang lagi. Saudara Anwar sebelum ini sudah banyak berpengelaman berkerja di Hotel-hotel di sekitar bandar Melaka sebagi tukang masak dan penyediakan minuman.
Seorang sahabatnya Abdul Rahim telah berpeluang bersamanya untuk menjual nasi berempah bersama ayam dan daging goreng berempah. Pastinya jika anda ke kawasan kami di Batu 14, Pokok Sena, pastinya anda akan menikmati sajian makanan dan minuman yang enak dengan harga yang pasti berpatutan.

Mereka berdua bercadang untuk melanjutkan waktu operasi jualan dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Mereka amat mengalukan sebarang cadangan dan komentar yang berguna untuk keselesaan pelangan. Sila hubung saya, saudara Anwar hp : 0125294195.


Jumaat, 26 Mac 2010

KABEL TM DIHIJAUKAN DENGAN RUMPUT

Ke arah persekitaran yang lebih hijau segar dan nyamanKebel TM di jalan besar kampung Macang Kundung di Pokok Sena dipenui tumbuhan yang menjalar, mencacatakan kawasan persekitaran. Tiada penjagaan dan tindakan diambil, tunggu apa lagi.
Ada setengah tempat di kawasan ini yang mana kebel TM telah dicuri atau reput?,kampung Tok Kun contohnya tiang ada kebel tiada ...( 25 Mac 2010 - 6.30 petang)

Khamis, 25 Mac 2010

PELAJAR ASRAMA TINGKATAN 5 SMIS PARIT 73

Minggu-minggu terakhir bergambar beramai-ramai di kedai gambar di Pekan Parit. Pelajar asrama tingkatan 5 SMIS ParitGambar lama, Mior hantar dalam Facebook:
Baris depan duduk dari kiri : Azlan Shah, Suhaimi, Bakrin, Osman,? , Sufian, ?.
Tengah dari kiri : Ishak, Hassan, Abd. Rahman, Jamaluddin, Anuar, Mohd Noor, Hamdan, Ramli.
Belakang dari kiri : Suratman,? , Yusof, Fuad, Osman, ? , Kamarulzaman.
Nota : ? - Lupa nama, tolong bertahu dan hantar ke facebook.

Siapa pula yang berdiri tengok cicak tu semasa gambarnya diambil. Duduk depan di tengah Osman, penghulu asrama. Kami dah 37 tahun belum berjumpa. Kecuali Kamarulzaman dan Mohd Noor. Yusuf sekali, semasa saya tinggal di Hulu Langat berjumpa di IKBN Hulu Langat. Masa tu dia berkerja di Kementerian Belia.

Cerita dari Parit dengo ye....

Rabu, 24 Mac 2010

PASAR BORONG SAYUR-SAYURAN DI POKOK SENA

Suasana di waktu pagi di Pasar borong Pokok Sena, Kedah.Waktu perniagaan : 6.00 pagi - 9.00 setiap hari kecuali hari Sabtu
@tiblakedah.blogspot.com
Pasar borong sayur-sayuran Pokok Sena sentiasa sibuk dikunjungi orang ramai. Peniaga runcit dan peniaga restoran tidak menang tangan bagi melayan pelanggan yang ramai. Ia terletak bersebelahan pasar Pokok Sena dan Bank Giro.


Pasar borong ini bermula pada pukul 6.00 pagi hingga pukul 9.00 pagi. Sayur-sayuran yang dipasarkan termasuk cili masak, timun, kacang bendi, terung, kangkung, kacang panjang, petola dan juga sayur kampung. Sayur-sayuran ini dijual secara borong.

Harga yang dijual murah dan amat sesuai untuk mereka yang meniaga secara runcit. Cili merah ada kalanya dijual dengan harga RM 5.00 manakala kacang bendi berharga RM 2.00 sekilo.

Kebanyakannya harga yang dijual di sini bergantung kepada harga semasa. Jika terlalu banyak sayuran dipasarkan harganya menjadi murah. Kita sebagai pembeli hendaklah bijak memilik waktu yang sesuai untu membeli bagi mendapatkan harga yang lebih murah.

Selasa, 23 Mac 2010

MASAALAH AIR DI KEDAH

Dakwaan kerajaan negeri Kedah telah menswastakan urusan bekalan air serta dan menaikkan kadar tarif air di negeri ini satu pembohongan, demikian tegas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yb. Dato’ Ir Haji Amiruddin Hamzah kepada hadirin yang datang pada siri penerangan kerajaan negeri yang diadakan di dewan Majlis Daerah Pendang.

Menurut beliau, bagi memastikan perkhidmatan bekalan air menjadi bertambah baik, kerajaan negeri memutuskan untuk urusan tersebut ditadbir sebagai sebuah syarikat bermula 1 Januari 2010.

Oleh itu jelas beliau, pengkorporatan urusan bekalan air tersebut dari Jabatan Bekalan Air ke Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Ini yang mereka kata kita swastakan? Sada ini sahamnya 100 peratus dipegang kerajaan negeri. (Jadi) swasta macam mana? Kita tidak swastakan cuma ia diurus tadbir sebagai sebuah syarikat. Sebagai syarikat tatakerja menjadi lebih cepat, kurang prosedurnya.

“Yang menswastakan perkhidmatan air (ini) ialah kerajaan dahulu yang memerintah Kedah. Kerajaan dahulu telah menswastakan rawatan bekalan air kepada Syarikat Air Utara Indah,” ujarnya menjelaskan perbezaan antara penswastaan dengan pengkorporatan.

Sedangkan rawatan air katanya, merupakan bahagian paling mudah dalam urusan perbekalan air berbanding kerja-kerja penyaluran, perpaipan, pembaikan, penyiasatan dan seumpamanya yang sangat sukar.

“Kerajaan dahulu juga menswastakan bekalan air di Langkawi. Beban itu hari ini kerajaan sekarang yang tanggung.

“Langkawi ini kosnya kalau kita buat sendiri di bawah SADA akan lebih efisyen. Masa itu (sebelum diswastakan) kosnya hanya 70 sen seliter padu, tiba-tiba bila swasta harganya melambung RM1.92 seliter padu. Ini cerdikkah?” tempelak Amiruddin pada.

Maklumnya, kesan penswastaan dilakukan itu menyebabkan kerajaan negeri perlu menanggung tambahan kos sebanyak RM5juta berbanding hasil yang dikutip setiap tahun.

Amiruddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah Sada turut menyangkal dakwaan bahawa tarif air dinaikkan melalui pengkorporatan tersebut.

Ujar beliau, sekiranya kerajaan negeri ingin menaikkan tarif air, tindakan itu sememangnya wajar memandangkan kali terakhir tarif air negeri ini disemak adalah pada tahun 1983. Pun begitu tegasnya, kerajaan negeri tidak akan menaikkan tarif tersebut.

Maklum beliau, pada ketika ini tarif air di Kedah merupakan kedua terendah di Malaysia iaitu 40 sen seliter padu. “Paling tinggi, negeri yang kononnya paling maju, negeri Menteri yang komen kita mundur baru ni. Sabah, 90 sen seliter padu, sekali ganda Kedah kerana dia maju dan ‘sempurna’. Kemudian Melaka 63 sen, Johor 61 sen,” ujarnya menyindir.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Kedah sudahpun berkorban dengan tidak menebang balak dipinggir kawasan tadahan air demi menjaga kepentingan bekalan air untuk kegunaan yang pelbagai.

Bagaimanapun katanya, persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk membayar RM100 juta setahun atas ‘pengorbanan’ tersebut masih tidak ditunaikan sehingga kini. Mengakhiri ucapan, beliau berharap agar maklumat itu disebarluaskan untuk menjawab pembohongan yang sengaja diada-adakan.
(Sumber : Portal kerajaan Negeri)

Isnin, 22 Mac 2010

HIKMAH KEKALKAN TANAH SAWAH -ZIPY

Kawasan sawah padi di KedahKerajaan Negeri Kedah semasa di bawah Menteri Besar Dato’ Seri Mahdzir Khalid hendak melaksanakan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY), Ustaz Azizan Abdul Razak paling lantang menentangnya. Tapi Ustaz Azizan bukanlah menentang, sebaliknya mengemukakan hikmah yang lebih utama diberi perhatian.

Beliau mengimbas banyaknya tanah, khususnya tanah sawah dan Tanah Rezab Melayu (TRM) yang telah diambil (baca dikorbankan) untuk dibangunkan diseluruh Negeri Kedah.

Beliau bukan menentang pembangunan, tetapi tanah pertanian dan TRM telah diambil tanpa diganti. Padanya cukuplah tanah yang pernah ‘hilang’ di Kerpan dan Alor Star, tidak perlu lagi sebuah tanah pertanian yang subur apatah lagi ianya kawasan sawah diambil untuk sebuah pembangunan.

Bahkan, faktor kesihatan juga punca penentangan beliau dengan memberikan contoh bahawa projek sedemikian ditolak dibeberapa negara utama di dunia

Maka, apabila beliau menjadi Menteri Besar yang baru, beliau membuktikan bahawa beliau tidak menolak pembangunan. ZIPY diteruskan tetapi dipindahkan ke tempat lain. Media cuba memaparkan bahawa pemilik tanah sebenarnya bersetuju menjual tanah mereka.

Ada juga yang mendakwa tidak berminat lagi meneruskan aktiviti bertani. Sumber menyatakan lebih 60 peratus pemilik bersetuju.

Persetujuan mereka bermakna kontra dengan keputusan Ustaz Azizan. Benar, mereka mempunyai hak untuk menjual milik mereka. Perkara yang dilihat oleh mereka tidak sama dengan hikmah yang dilihat oleh Ustaz Azizan.

Tetapi sebagai pemimpin yang berhikmah, beliau sentiasa memikirkan mengenai rakyatnya. Habuan yang akan diperolehi oleh pemilik tanah hakikatnya tidak selumayan nilai hasil yang mampu keluar dari tanah itu apabila ia berada di bawah kerajaan baru yang beriltizam menjadikan Kedah ‘Belanda Malaysia’.

Akhirnya, bersama berlalunya masa, hikmah pun tersingkap. Saat negara berdepan masalah kekurangan bekalan beras dan dunia mengalami krisis makanan, pembatalan pengambilan tanah untuk ZIPY itu merupakan antara hikmah yang telah dilihat Ustaz Azizan tetapi tidak dilihat oleh yang lain.

"Kerana itu saya tidak benarkan ZIPY dibuat di atas tanah Yan (tanah sawah). Sedangkan kita (Negeri Kedah) selama ini membekalkan 53 peratus beras kepada negara," ujarnya setelah media meminta ulasan beliau mengenai kekurangan beras negara.

Sungguhpun masalah kekurangan dan krisis ini jarang berlaku, tetapi dalam konteks negara kita yang semakin bertambah jumlah penduduk dan tanah pertanian khususnya sawah yang semakin mengecil di Kedah, perkara ini perlu dipandang serius.

Bahkan sejarah membuktikan, krisis makanan mencetuskan pergolakan dalam negara-negara dunia. Makanan ada yang merupakan pilihan tetapi ia lebih merupakan satu keperluan asasi.

Banyak lagi hikmah yang bakal tersingkap, rakyat akan dapat lihatnya satu persatu bersama berlalunya masa di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang kini telah menjadi kerajaan di lima negeri.

Begitu juga harapnya di Kedah, ada petugas-petugas parti marah apabila Ustaz Azizan mengekalkan penjawat jawatan-jawatan tertentu. Moga-moga hikmahnya akan tersingkap sikit masa nanti. Wallahu‘alam.

Tuntut Fasakh – Rungkai Perjanjian

Jika Kerajaan Kedah berpegang kepada dasarnya yang akan diterjemahkan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat, apakah pula dasar yang dipegang oleh Kerajaan Pusat khusunya Kementerian Pelancongan?

"Apa perbezaan dasar, apa perbezaan pendapat sedangkan kita tidak pernah berbincang lagi?" ujar Ustaz Azizan.

Beliau berkata demikian setelah pihak Kerajaan Negeri Kedah menerima surat rasmi dari pihak Kementerian Pelancongan yang menamatkan Memorandum Persefahaman (MoU) Majlis Tindakan Pelancongan Negara dengan Kerajaan Negeri Kedah.

Beliau melahirkan rasa hairannya kerana terma perjanjian menyatakan bahawa pihak yang mungkir boleh ditamatkan perjanjian.

Persoalannya siapakah yang mungkir? - mr
(Sumber : Harakahdaily)

Ahad, 21 Mac 2010

’HILANG’ RM50 JUTA DEMI KESEJAHTERAAN

Baru 2 tahun, banyak perubahan yang telah dilakukan oleh kerajaan Kedah pimpinan Dato' Ustaz Azizan Abd Razak. Dengan penurunan cukai tanah rakyat merasa lega dan selesa-kebun getah di pokok Sena Sungai Petani – Kerajaan negeri tidak berniat untuk menaikkan cukai tanah malahan telah bertindak menurunkan cukai tanah yang dinaikkan pada tahun 2007.

”Sebaik sahaja kepimpinan kerajaan negeri bertukar tangan dua tahun lalu, cukai tanah telah diturunkan. Akibat penurunan tersebut kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM50 juta setahun namun ia dilakukan demi kesejahteraan rakyat,” kata YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sewaktu berucap di majlis penyampaian geran tanah di perkarangan Pejabat Daerah Kuala Muda.

Bagaimanapun kerajaan mendapat semula pendapatan dari penebangan balak yang dibuat melalui tender terbuka dan hasil premium pasir, yang keduanya berjumlah RM58 juta.

Menteri Besar mengingatkan pemilik tanah supaya tidak lupa membayar cukai tanah, kerana cukai tanah adalah sebahagian dari hasil negeri. Begitu juga, katanya, bayaran untuk premium tanah perlu dijelaskan sebelum geran boleh dikeluarkan sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang.

”Ramai yang telah memohon dan diluluskan tapi kerajaan tidak boleh beri geran kerana mereka tidak membayar premium tanah, apabila mereka tidak membayar, kerajaan tertunggak kutipan cukai tanah.

”Mengikut rekod pejabat tanah, tanah tersebut (yang tidak menjelaskan premium) masih belum bertuan, apabila ada permintaan baru, maka permohonan tersebut akan diproses dan apabila dikeluarkan geran, pemohon kedua membayar premium tanah dan dianugerahkan tanah tersebut kepada dia. Maka timbullah bantahan dari pemohon pertama, walhal dia tidak menjelaskan premium dahulu maka tanah itu bukan lagi miliknya,” jelas menteri besar.

Mengenai premis yang dibina di atas tanah kerajaan, Ustaz Azizan menjelaskan bahawa apabila tiba masanya, kerajaan perlu mengambil tanah tersebut maka kerajaan akan bayar saguhati.

”Ada sesetengah pihak tidak mahu saguhati, mereka mahu pampasan. Inilah yang perlu difahami, pampasan hanya untuk tanah bergeran, tanah hak milik kerajaan jka ada usaha memajukan tanah tersebut, maka kerajaan akan bayar saguhati bukan pampasan,” kata Ustaz Azizan lagi.

Katanya, tidak semua tanah yang dipohon akan diluluskan kerana kerajaan perlu mengambilkira kepentingan tanah tersebut kepada keperluan rakyat yang lebih besar. Menteri Besar turut menjelaskan kriteria kelulusan tanah anugerah oleh kerajaan.

Gambar hiasan - kehadiran MB Kedah, Dato' Ustaz Azizan Abd Razak ke perasmian ' Bandar Sejahtera Pokok Sena' Kedah, Darul Aman.
”Antara syaratnya ialah 10 tahun tidak boleh pindah, selepas 10 tahun, pemilik geran yang dianugerahkan hari ini boleh membuat tukar hak milik ataupun pajak. Sebelum genap 10 tahun, tanah ini dilarang sama sekali dari dipindah milik atau pun di jual. Jika terdapat keperluan yang memerlukan tanah ini dijual, maka kelulusan mesyuarat kerajaan negeri diperlukan

”Jika tanah tersebut terlibat dalam rancangan tanah kerajaan dan pemilik tanah yang tergesa-gesa menukar hakmilik tanah, kerajaan akan menaikkan premium tanah tersebut. Begitu jugak bagi pemilik yang tertunggak cukai tanah, kerajaan akan menaikkan premium tanah tersebut juga.

”Tidak keinggalan juga yang melanggar syarat seperti syarat tanah untuk pertanian tetapi dibina bangunan di atas tanah tersebut, naka premium tanah tersebut juga akan dinaikkan,” jelasnya.

Dalam majlis tersebut seramai 120 pemohon diberi geran hak milik, di mana tanah paling luas diperolehi ialah 10 ekar dan yang paling kecil setengah ekar.

Turut hadir di majlis tersebut ialah YB. Dr Hamdan Mohamed Khalib, YB. S. Manikumar, YB. Haji Abdullah Jusoh dan Pentadbir Tanah Daerah Kuala Muda, Encik Zaid Ahmad.
(Sumber : AZMAN AHMAD - Portal Rasmi Kerajaan Negeri Kedah)

Sabtu, 20 Mac 2010

KEISTIMEWAAN MELANCUNG KE KELANTAN

Masjid ini di beri nama Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra yang terletak Pengkalan Kubur, KelantanKetika mengunjungi Kelantan anda bukan sekadar dapat membeli barangan berharga murah dan menikmati pelbagai jenis makanan, sebaliknya berpeluang mengikuti pengajian ilmu agama.

Pelancong berpeluang mempelajari ilmu agama termasuk di Pondok Pasir Tumbuh. Bagi mereka yang datang pagi Jumaat peluang mengikuti kuliah agama disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bermula jam 9.30 pagi di Medan Ilmu, Jalan Datuk Pati.

Sejam sebelum itu kuliah agama disampaikan secara bergilir-gilir pengkuliah jemputan terutamanya pemimpin politik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo Negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, mulai tahun lepas kerajaan negeri memperkenalkan program melawat pondok sempena musim cuti persekolahan.

“Bermula cuti sekolah tahun lalu kerajaan negeri memberi peluang kepada pelancong mempelajari ilmu agama di pondok-pondok yang banyak terdapat di Kelantan,” katanya ketika meraikan rombongan pelawat dari Pulau Pinang, baru-baru ini.

Seramai 70 orang rombongan Dewan Pemuda PAS dan Nisa’ Pulau Pinang mengunjungi Kelantan baru-baru ini. Program itu dikenali ‘Jom Gi Kelate’ sempena Rehlah 2010.

Abdul Fattah berkata, pelancong berpeluang mencari ilmu agama dengan mengikuti kelas-kelas agama di beberapa pondok di negeri ini.

“Di tempat tuan-tuan mungkin tiada sistem pembelajaran begini, namun Insya-Allah di Kelantan banyak perkara dapat dimanfaatkan ketika berkunjung ke sini,” ujarnya.

Ketua rombongan terbabit, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, tujuan lawatan berkenaan untuk mendapatkan maklumat berhubung pendidikan Islam di Kelantan.

Sepanjang dua hari berada di Kelantan mereka mengunjungi Pondok Pasir Tumbuh dan pejabat Yayasan Islam Kelantan (Yik).
(Sumber : Salmah Mat Husain-Harakahdaily)

Jumaat, 19 Mac 2010

BERHATI-HATI DALAM SEMUA KEADAAN

Ke Arah Kehidupan Yang Lebih HijauJika kita berada di tepi sungai atau jurang, melihat keindahan kawasan persekitran yang menarik dan indah janganlah terleka kerana jurang berada di tepian. Berhati-hatilah semoga kita selamat.

NASIHAT LUQMAN HAKIM

• Hai anakku; ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, ramai manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan Sampan yang bernama Takwa, Isinya ialah Iman dan Layarnya adalah Tawkkal kepada Allah.

Khamis, 18 Mac 2010

GAMBAR PERPISAHAN ASRAMA SMIS PARIT

Terima kasih Mior - kenangan lama mengusik jiwa. Ingat chegu Mokhtar Ngah (Pengetua Asrama) dan kawan-kawan pasti senyum punyaGambar penuntut Asrama Sekolah Menengah Iskandar Shah, Parit, Perak. Sempena hari perpisahaan pada tahun 1973. Yang bertanda merah Suratman. Terima kasih Mior...Bila tengok gambo lama teringat kawan-kawan lama teman.

Rabu, 17 Mac 2010

NASTOLGIA SEMASA DI SMIS PARIT

Jambatan Nordin Parit, jambatan baru, dulu jambatan besi, masa banjir boleh di tarikJambatan Nordin deras airnya
Laluan ke Ipoh dari Beruas
Kawan di Parit tumpang bertanya
Gaji lumayan sudah ke puas

Pekan Parit, di tengah kelihatan jam menara
Jam menara di Pekan Parit
Bot tambang sudah tiada
Barang naik amatlah perit
Yang mampu mereka yang berada

Kampung Padang Bola diberi nama
Tempat budak sekolah mencari maklumat
Senang dan susah sentiasa bersama
Pemimpin terpilih rakyat selamat

Pelajar-pelajar Sabah dan Sarawak bersama pelajar tempatan
Belajar di asrama penuh semangat
Budak Sabah Sarawak semunya mesra
Hidup di dunia sentiasa beringat
Agar kehidupan selamat sejehtera

Tinggal di asrama sebelah dapur
Nasi minyak sentiasa ditunggu
Ingatan kawan buat penghibur
Kehadiran anda sentiasa ditunggu

Selasa, 16 Mac 2010

RUGI JIKA LANGKAWI DIABAI?

Kawasan pantai di Langkawi tersergam indah - Ke arah kehidupan yang lebih hijau tengan dan damai Baru-baru ini saya berkunjung ke Pulau Phuket, Thailand dengan tujuan untuk bercuti bersama isteri dan anak-anak. Ini merupakan lawatan kedua saya ke pulau peranginan itu. Kali pertama ketika dibawa oleh keluarga 13 tahun lalu. Ketika itu saya membandingkan Pulau Phuket dengan Pulau Langkawi (iklan pelancungan) tidak banyak bezanya.

Malahan dalam beberapa aspek Pulau Langkawi (the Jewel of Kedah) mendahului Pulau Phuket dalam kemajuan dan keunikan produk pelancongannya.

Namun begitu, pada hari ini Pulau Phuket umpama intan belian kepada negara Thailand. Pembangunan prasarana dan produk pelancongannya amat menarik sekali. Kebersihan dan keindahannya telah meninggalkan jauh Pulau Langkawi di belakang. Dengan pembangunan disusun rapi, ramai pelabur dalam dan luar negara membuka pelbagai perniagaan berasaskan pelancongan dan hospitaliti di sana.

Pelancong luar terutamanya Eropah dan Asia Timur berduyun-duyun ke sana. Satu-satu tempat kadangkala kelihatan penduduk tempatan seakan minoriti malah jika di restoran saya terasa seperti berada di negara Eropah kerana bilangan mereka mendominasi.

Kehadiran begitu ramai pelancong telah menyumbang kepada pendapatan penduduk setempat dan juga hasil kepada negara gajah putih itu. Sesekali perasaan iri hati dan cemburu terlintas di hati saya melihat kepada keadaan Pulau Phuket pada hari ini.

Kenapa Pulau Langkawi tidak seperti itu? Apa kurangnya pulau kita ini? Baru-baru ini satu kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menyatakan kerajaan negeri Kedah telah gagal mempromosi Langkawi sebagai pusat pelancongan terbaik di Malaysia amat tepat dan kena pada masanya.

Kenyataan tersebut berdasarkan fakta bahawa jumlah pelancong ke Langkawi semakin hari semakin berkurangan. Malah saya melihat industri pelancongan di Langkawi pada ketika ini hanya disokong oleh pelancong domestik sahaja, yang datang pada musim cuti sekolah atau cuti-cuti perayaan.

Sudah pasti tempat yang dituju hanya kedai-kedai coklat dan pinggan mangkuk sahaja. Apalah sangat tempiasnya kepada kemakmuran penduduk tempatan mahupun kepada negara jika dibandingkan perbelanjaan yang akan dibuat oleh pelancong asing terutamanya Eropah, sudah tentu ia berlipat kali ganda.

Saya terpaksa akui bahawa kegemilangan Langkawi sebagai pulau peranginan antarabangsa semakin lenyap di peta ejen-ejen pelancongan antarabangsa. Persaraan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri turut mengakibatkan Langkawi ‘dibersarakan’ juga.

Namun begitu, masih ada harapan dan doa agar kerajaan negeri dan Persekutuan tidak melupakan Langkawi sebagai intan belian Malaysia, malah kerajaan Kedah menggelarkan Langkawi sebagai Permata Kedah. Jika benar ia permata, maka tunjukkan bukti dan komitmen yang jitu agar permata ini terus bersinar dan mampu memberi cahaya kepada penduduk dam negara.

Dalam memberi nafas baru kepada Langkawi, saya sebagai anak tempatan ingin memberi beberapa cadangan realistik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

• Pertama, bina hospital pakar swasta yang serba lengkap di Langkawi. Buat masa ini tiada hospital pakar swasta wujud di pulau peranginan ini. Ia bertujuan menggalakkan ‘pelancongan kesihatan’ seperti mana dilaksanakan di Singapura dan Thailand yang telah memberi pendapatan lumayan kepada negara.

• Kedua, kerajaan mesti mewujudkan produk baru pelancongan dalam usaha menarik perhatian dan keghairahan pelancong untuk datang. Contoh produk baru ialah taman tema seakan Disneyland, ladang buah-buahan tropika, pulau joran yang dikhaskan untuk aktiviti memancing, akuarium dasar laut, kereta Api mengelilingi Langkawi dan Eye of Langkawi.

• Ketiga, modenkan prasarana dan kemudahan di situ terutamanya jalan raya dan perkhidmatan feri. Selain itu jaringan pengangkutan awam seperti teksi dan kereta sewa dipertingkatkan dan mengelak diskriminasi harga ketika musim tertentu yang secara langsung menganiaya pelancong yang datang.

• Keempat, majukan sektor perikanan yang berpotensi tinggi di perairan negara kita. Selama ini hasil laut kita banyak dikaut oleh nelayan asing seperti Thailand dan Indonesia yang menceroboh masuk secara haram. Jika aktiviti perikanan maju, ia boleh mewujudkan pelbagai produk hiliran yang lain dan secara tidak langsung menarik minat orang luar untuk melihat hasil produk perikanan kita.

• Kelima, kerajaan hendaklah memberi galakan kepada pihak swasta dalam memajukan hartanah di Langkawi. Ketika ini amat sukar mendapatkan ejen hartanah di Langkawi berbanding di Phuket yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Agensi hartanah boleh berperanan melariskan hartanah sama ada disewa atau dijual dan kemudian merangsang syarikat pembinaan melabur hartanah bernilai tinggi di Langkawi.

Saya berharap kita dapat belajar sesuatu daripada negara jiran dalam memajukan industri pelancongan mereka yang memberi hasil amat lumayan. Allah SWT telah menganugerahkan sebuah pulau yang cantik kepada Malaysia, jadi sebagai hambaNya sama-sama kita makmurkan anugerah ini.

Kembalikan kegemilangan Langkawi (MP & Adun) sebagai pulau pelancongan yang tersohor suatu ketika dulu demi kemakmuran dan kesejahteraan 1Malaysia.

Kampung Air Hangat
Langkawi
(Sumber : Utusan Malaysia 16 Mac 2010)

Sidang DUN Kedah - Ucapan penggulungan Menteri Besar - tentang pembangunan di Langkawi 20 Nov 2009)

Isnin, 15 Mac 2010

MENGHARAPKAN PAGAR

Kawasan berpagar kayu di kampung Kiew ditanam buah-buahan, durian, dokong, cempedak dan rambutanBela lembu pagar tiada dibena
Lembunya dilihat merata-rata
Kaut keuntungan orang lain merana
Akhirnya hidup derita sengsara

Kebunnya luas berpagar kayu
Pokok yang ditanam ditumbuhi dedalu
Masa memerlukan merayu-rayu
Dapat kuasa harga barang naik selalu

Paga kayu dipasang dawai berduri
Pokok yang ditanam lebat buahnya
Masa PRU ke12 dapat empat negeri
Usaha berterusan pastinya berjaya

Ahad, 14 Mac 2010

CUTI SEKOLAH & KEMARAU

Pelihara dan hargailah sungai kita, jangan jadikan sungai tempat membuang sampah - lokasi tali air di Kepala Bendang, Pokok SenaKunci air untuk mengalirkan air ke kawasan sawah padi. Buat masa ini pesawah sedang membajak dan membersehkan sawah. Sekarang musim kemarau, memudahkan mereka untuk membajak sawah. Lokasi di Kepala Bendang, Tualang. Pokok Sena.

Laluan ke sawah melalui jalan ban. Jalan ini alternatif untuk ke kawasan bendang dan laluan jentera pembajak dan penuai.

CCRBD 4a? , Mungkin nama saliran tak?, kena tanya JPS.

Semua gambar di atas diambil pada 14 Mac 2010 jam 6.30 petang. Lokasi Kepala Bendang, Pokok Sena. (Kamera AGFA DC-1033s)

Sabtu, 13 Mac 2010

HUTAN KOTA DAMANSARA DIWARTAKAN SEMULA

KE ARAH KEHIDUPAN YANG LEBIH HIJAU, TENANG DAN DAMAI - Laluan untuk ke kawasan pembalakan di kawasan hutan Kuala Pai, Kuala Nerang, Kedah - sekadah untuk hiasanMajlis pengisytiharan pewartaan semula Hutan Kota Damansara seluas 321.7 hektar sebagai hutan simpan kekal akan berlangsung petang ini.

Ia yang akan berlangsung di Hutan Kota Damansara, Seksyen 10, Kota Damansara, jam 3 petang ini.
Pewartaan tersebut adalah hasil kempen selama lapan tahun oleh sebuah badan bukan kerajaan, Friends of Kota Damansara (FKD). FKD ialah gabungan 20 persatuan penduduk dan kumpulan alam sekitar yang berkempen supaya Hutan Kota Damansara dimanfaatkan bagi tujuan rekreasi, pendidikan dan penyelidikan.

Asalnya dikenali sebagai Hutan Simpan Sungai Buloh, kawasan hutan itu pertama kali diwartakan pada 1898 meliputi kawasan seluas 6,590 hektar.
Ketika dihubungi Malaysiakini, ADUN Kota Damansara, Dr Nasir Hashim Ia berkata keputusan kerajaan negeri Selangor mewartakan kawasan hutan tersebut sebagai suatu kejayaan yang dicapai hasil inisiatif penduduk di sekitar Kota Damansara.

"Kerajaan negeri mengambil berat tentang kehidupan flora dan fauna. Ia (pewartaan) juga sebagai tujuan rekreasi dan untuk kebaikan generasi yang akan datang," katanya.
Menurutnya, penduduk di kawasan tersebut cukup mengambil berat mengenai hutan di situ kerana sebelum ini terdapat projek pembangunan dijalankan di kawasan terbabit. "Kita hendak kekalkan seperti Taman Negara.

Mereka mahukan ia kekal secara semula jadi dan tidak digugat," kata Dr Nasir yang juga pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM)
Ditanya mengenai keistimewaan yang terdapat di kawasan hutan tersebut, beliau berkata terdapat laluan denai untuk melakukan aktiviti rekreasi seperti aktiviti meredah hutan.

Kerajaan negeri telah mewartakan kawasan tersebut bulan lalu, tambah Dr Hashim.
Ia memegang rekod sebagai hutan tertua diwartakan di Malaysia sehingga 1983 di mana separuh daripada kawasan asal hutan simpan itu digunakan bagi pertanian.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pada 1992, seluas 1,600 hektar diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membangunkan bandar Kota Damansara manakala pada 1993, kerajaan negeri memperuntukkan 402.6 hektar daripada kawasan hutan simpan itu bagi taman botani.


Apabila perancangan bagi taman botani dibatalkan dan cadangan pembangunan bagi kawasan itu diterbitkan pada Mei 2002, penduduk mengadakan bantahan pertama.
Pada Disember 2007, Draf Pelan Tempatan Petaling Jaya 2020 mendedahkan hampir seluruh kawasan tersebut diperuntukkan bagi pembangunan perumahan dengan satu kawasan kecil diperuntukkan bagi rekreasi.

Berikutan pewartaan terbaru kawasan itu sebagai Hutan Simpan Kekal oleh kerajaan negeri, maka ia juga diklasifikasikan sebagai kawasan hutan untuk penyelidikan, pendidikan dan rekreasi.

(Sumber : Malaysiakini - Abdul Rahim Sabri,Mac 13 210)

Kawasan hutan dan berbukit di Cherok Latah dari simpang tiga Perit melalui Cherok Latah sebelum sampai ke Bayah. Jalan ini boleh ke Jitra dan Kuala Nerang. Tidak jauh dari sini terdapar kawasan Taman Rimba Bukit Wang. Untuk ke sini pusing kiri menuju ke Jitra - sekadah hiasan.

Jumaat, 12 Mac 2010

CUTI SEKOLAH & MAJLIS PERKAHWINAN

Musim cuti sekolah sedang bermula pada 12 Mac sehingga 21 Mac 2010. Seperti biasa, ramailah yang meluangkan masa untuk bercuti bersama anak-anak, isteri, keluarga dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk buat kenduri kahwin dan melancong sempena cuti-cuti Malaysia.

Bagi yang tiada ada idea hendak kemana-mana masa musim cuti sekolah ni, saya menjemput anda jom pakat melawat Kedah. Banyak tempat-tempat menarik yang anda boleh lawati. Jika tak pernah naik feri bolehlah pergi ke Langkawi.

Saya mohon maaf kerana ramai sahabat di Kuala Lumpur menjemput saya untuk meraikan majlis perkahwinan anak mereka. Untuk makluman sahabat semua saya terpaksa menghadiri kenduri jiran-jiran terdekat di sini. Saya mewakilkan isteri dan anak untuk ke Kuala Lumpur.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menerima menantu kepada nama yang saya nyatakan di bawah ini yang anak mereka akan melangsungkan perkahwinan pada minggu ini.

• Puan Fairuz & suami Joe (Anak perempuan) majlis perkahwinan diadakan pada 13 Mac 2010 (Sabtu) di Ceras, Kuala Lumpur.
• Saudara Hashim Mangkat & isteri (Anak lelaki) majlis perkahwinan diadakan pada 21 Mac 2010 (Ahad) di Gombak, Kuala Lumpur.

Semoga majlis yang diadakan selamat dan diberkati. Jika yang masih ingatkan saya, jika ada majlis perkahwinan anak, jemputlah kami. Jika ada kelapangan kami akan hadir. InsyAllah. Semoga berjumapa lagi.

Suasana di majlis perkahwinan yang telah saya hadiri di kampung kami di Pokok Sena, Kedah.

Khamis, 11 Mac 2010

ELAK BERPAUT DI DAHAN YANG RAPUH

Jalan pintas ke Bukit Pak Kiaw jalan Naka dari Keda dan Taman Desa Ilmu jalan Kuala NerangTumbang pokok akarnya reput
Daunnya kering terus berguguran

Kuasanya hilang sentiasa disebut

Rakyat menunggu penuh harapan


Jalan pintas dari Nawa ke Pokok Sena. Redup dan selesa.
Pokok segar hijau daunnya
Tempat berteduh orang ramai

Harta negara rakyat yang punya
Agihan adil aman dan damai

Tanam pokok di tepi perigi
Buahnya hitam itulah keranji

Barang di pasaran melambung tinggi

Masa diperlukan indahnya janji

Selasa, 9 Mac 2010

LAWATAN KE CHANGLOON

Pondok rehat di tepi lebuh raya ke Alor Setar dari Changloon, Kedah@tiblakedah.blgspot.com
Minggu lepas saya ke Changloon sempena lawatan saya untuk meninjau kawasan yang berdekataan dengan kawasan bebas cukai di Bukit Kayu Hitam.

Perjalanan yang jauh dalam keadaan cuaca panas terik sungguh memeritkan. Dalam keadaan begini menyebabkan perjalanan saya memakan masa yang agak panjang dan memenatkan.


Pemandangan di kawasan lebuhraya ke Changloon, Kedah.
Saya merasakan cuaca panas tidak hanya siang hari, tapi juga malam sejak akhir-akhir ini. Cuaca panas kering bukan saja dirasakan di Pokok Sena malahan di sini tidak terkecuali.

Akibat cuaca yang panas, saya terpaksa banyak berhenti dan berehat di tempat teduhan, nasib baik pokok-pokok masih ada ditanam di tepi jalan raya. Kebanyakan tempat yang saya singgah adalah warung-warung yang dipenuhi pepohon yang menghijau di tepi jalan.


Restoran d pekan Changlon Kedah.
Saya berhenti untuk minum untuk melepaskan dahaga. Manakala di sebuah restoran di pekan Changloon saya makan nasi kerana terlalu lapar. Makanan yang disediakan amat menyelerakan dan harganya amat berpatutan.

Lama juga saya berhenti di sini sebelum meneruskan perjalanan pulang kerana tidak mampu meneruskan perjalanan ke Bukit Kayu Hitam.

Isnin, 8 Mac 2010

INGAT-INGAT KITA SEMUA

Perkuburan di Bukit Tembaga, Kuala Nerang, KedahMereka kata ‘hidup jangan berkira’
Hak mereka terusik diungkit dijaja
Jangan angkuh dan berpura-pura
Saat kematian tiba di waktu senja

Kerja kuat harus sempurna
Jika tidak apalah guna
Yang baik bahagia, khianat merana
Saat kemenangan penuh bermakna

Panjat pokok tecalar di dada
Sapu minyak jiran yang punya
Hidup berhutang batasan tiada
Cukup bulan kerja tidak bermaya

Hiasan pokok pinang di hadapan Pusat IT di Bukit Tembaga.
Tanam pinang jarak sedepa
Tempat budak bermain berlari
Daftar pengundi jangan dilupa
Kemenangan menyusul di kemudian hari

Pintu pagar buluh rumah kampung Tanjun Mas di Pokok Sena
Bela kambing pagar dibena
Untuk disembelih di hari raya
Harta yang banyak tidak bermakna
Rampas hak orang, kata kita yang punya

Tanam pokok di pagi hari
Pokok dipagar kawat berduri
Rahmat Allah perlu dicari
Hidup mulia di kemudian hari

Ahad, 7 Mac 2010

SENTIASA BERSEDIA

Penat berkerja di pondok terlena
Isteri yang melihat tak terkata
Projek diberi penuh bermakna
Utamakan rakyat kan duit kita

Pergi ke Changloon hari Selasa
Makan nasi minuman percuma

Rakyat hidup damai dan selesa

PRU ke13 rakyat tetap bersama


Potong buah tangan terluka
Cari pembalut jumpa tuala

Maklumat diperolehi langit terbuka
Rakyat bermarwah tetap terbela


Perigi ke sungai nampak buaya
Elak terbalik pusingkan kemudi
Rakyat selesa pemimpin berjaya
Rezeki yang halal kekal abadi

Jumaat, 5 Mac 2010

TERNAKAN LEMBU DAGING DI KUALA PAI

Kandang dibena di kawasan kebun buah-buahan, manakala di sebelahnya pokok getah. Itek juga dibela bersebelahan kandang@tiblakedah.blogspot.com
Jumaat petang saya berkesempatan melawat ke tempat pemeliharan lembu daging di Kuala Pai, Kuala Nerang yang terletak 8 km dari simpang tiga Bukit Tembaga.

Kandang dibena di kawasan dusun buah-buahan, termasuk pokok petai tidak terkecuali. Sebelah kirinya pula terdapat pokok getah.
Saya sampai pada pukul 6.00 petang. Ketika saya memberi salam, saya dapati pengusaha tiada di rumah. Sementara menunggu untuk menemui mereka, saya sempat mengambil gambar di kawasan kandang dan persekitarannya.

Saya dapati lembu mereka dibela di dalam kandang dengan menyediakan rumput dan dedak. Saya dapati air juga dibekalkan dengan secukupnya yang mana ia diisi di dalam bekas khas.

Menurut orang kampung yang saya temui ketika lalu di situ, membertahu saya, mereka kebiasaannya memberi makan rumput serta dedak. Rumput diberi pada waktu pagi manakala dedak pada sebelah petang.

Selesai saya mengambil gambar, hujan datang dengan tiba-tiba saya terpaksa mencari tempat berteduh. Saya singgah di sebuah warung dan meminta secawan teh tarik sementara menunggu hujan reda. Saya tiba di rumah pada pukul 7.00 petang.

Khamis, 4 Mac 2010

JANGAN SEGAN BERTANYA

Pondok tempat bertanya?. Lokasi pemandangan di tepi jalan menuju ke Kubur Panjang, Pendang@tiblakedah.blogspot.com
Jika segan bertanya, sesat jalan. Begitulah pepatah melayu yang sering mengingatkan kita akan pentingnya persiapan dan pentingnya bertanya agar tidak tersesat dalam melakukan perjalanan.

Jalan ke Jitra melalui jalan Bukit Tembaga. Awas selekoh merbahaya
Perjalanan ke luar dari daerah yang sudah kita kenal menuju daerah baru yang masih asing bagi kita tentu merupakan pengelaman baru. Perjalanan itu biasanya dalam rangka berkunjung, bertugas, maupun berekreasi.

Jalan kampung, sunyi sepi, di persimpangan, jangan segan bertanya, kemungkinan anda sesat di sini, banyak jalan-jalan , tiada pandu arah.
Apa jadinya ketika akan menuju suatu lokasi lalu kita tersesat? tentu kita rasa tertekan dan tidak selesa, malahan apa akan jadi jika sudah memiliki janji yang waktunya sudah ditentukan, tentu akan menjadi cemas.

Jalan Kepala Batu menuju ke Kepala Batas. Kepala Batu, biasanya keras, tetapi anda jangan takut untuk bertanya.
Mungkin sebelum melakukan perjalanan, kita sudah melakukan persiapan, mulai dari melihat peta, bertanya kepada orang yang yang kita jumpa di daerah tersebut. Tetapi apakan daya, ketika di perjalanan, kita tetap tersesat.

Jalan di kawasan Taman Tabung Haji. Bangunan lama peninggalan......lupa nak tanya?.
Jangan risau dan cemas ketika tersesat, karena ada manfaatnya, kerana kita menjadi tahu daerah tersebut, sehingga di lain hari jika akan berkunjung kesitu, atau jika ada yang menanyakan daerah tersebut, kita sudah tahu. Jangan lah berputus asa kerana setiap yang kita lihat dan alami merupakan pengelaman yang amat berharga.