HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Sabtu, 7 November 2009

ATAP NIPAH

@tiblakedah.blogspot.com
Biarpun negara kini membangun pesat dalam bidang pembinaan dengan wujudnya rumah serta bangunan pencakar langit yang mengagumkan, namun sesetengah individu masih mempertahankan keaslian ciri seni bina tradisional. Salah satu ciri tradisional dalam seni bina Melayu yang terus menjadi lambang dan kebanggaan ialah penggunaan atap yang diperbuat daripada daun nipah.

Maka tidak hairan kini walaupun sudah lebih 51 tahun negara menyambut ulang tahun kemerdekaan, masih ada kedai, gerai, restoran, tempat rehat malahan rumah yang 'mengabadikan' bumbung diperbuat daripada atap daun nipah atau rumbia. Atap tersebut menjadi pilihan kerana mempunyai nilai sentimental, selain dapat menyejukkan keadaan dalam kediaman atau tempat yang dilindunginya menjadi lebih nyaman.

Di Sungai Tiram Sitiawan Perak terdapat satu kawasan yang ramai pembuat atap daripada rumbia dan nipah ialah di Kampung Sungai Tiram dan Batu 8 Lekir Sitiawan di negeri Perak. Seorang pembuat atap nipah, Razali bin Hamzah 65, berkata, di kampung itu terdapat beberapa pembuat atap daun nipah kerana pokok tersebut banyak terdapat di kawasan sekitarnya terutama di kawsan tepi sungai yang mengarah ke kawasan tepi laut.
Katanya, beliau mewarisi kepakaran membuat atap tradisional itu daripada arwah bapanya dan mula membuat atap secara aktif kira-kira lima belas tahun lalu. ''Apa yang saya banggakan, walaupun kini terdapat pelbagai jenis atap moden yang baik dan berkualiti tetapi sambutan daripada orang ramai terhadap atap nipah kekal menggalakkan," katanya yang mengusahakan pembuatan atap nipah bersama isterinya, Hendon Jafaar , 55.

Razali memberitahu, sejak mengusahakan secara serius kerja membuat atap nipah, beliau menerima tempahan yang banyak termasuk daripada pelanggan dari Manjung dan Ipoh Perak."Daripada maklum balas yang saya dapat, kebanyakan pelanggan adalah di kalangan pengusaha restoran dan peladangan yang mana mereka membeli atap nipah untuk membuat bumbung rumah pekerja lading untuk projek tanaman.

"Ada juga yang membelinya untuk membuat bumbung tempat rehat, restoran dan rumah," kata bapa kepada enam orang anak yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan. Menurut Razali, atap nipah perlu ditukar setiap empat hingga enam tahun sekali.

"Setiap atap nipah mempunyai panjang kira-kira 1.5 meter hingga 1.8 meter dan daunnya perlu dilipat agar sama panjang untuk mencantikkan atap itu," jelasnya. Menurutnya, setiap hari sebanyak 80 hingga 90 keping atap rumbia dapat disiapkan bergantung pada permintaan kerana kerja membuatnya memerlukan pemerhatian yang rapi.
"Atap yang telah siap, dijual dengan harga RM1.00 sekeping," katanya yang memperoleh pendapatan dari hasil jualan atap antara RM800 hingga RM2,000 sebulan bergantung pada tempahan.

,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan