HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Khamis, 7 Januari 2010

PENGELUARAN GETAH JUN 09 NAIK 35.1%

Ke Arah kehidupan Yang Lebih Hijau @ Pemandangan indah diambil di kawasan kebun getah Pokok SenaPengeluaran getah asli pada Jun 2009 tahun ini dicatatkan 80,699 tan metrik, satu kenaikan 35.1 peratus berbanding dengan pengeluaran Mei 2009. Berdasarkan tahun ke tahun, pengeluaran itu bagaimana pun merosot 7.7 peratus, kata Jabatan Perangkaan pada Rabu.

Katanya sektor pekebun kecil menyumbang 93.1 peratus kepada keseluruhan pengeluaran manakala baki 6.9 peratus disumbang oleh sektor estet. Eksport meningkat 21.8 peratus kepada 57,685 tan metrik pada Jun berbanding dengan Mei tahun ini. Bagaimana pun, eksports turun 22.9 peratus berbanding dengan bulan yang sama tahun lepas.

Getah Mutu Malaysia (SMR) merupakan 93.3 peratus daripada keseluruhan eksport. Daripada jumlah SMR yang dieksport, SMR 20 merupakan yang terbesar, sebanyak 52.3 peratus, katanya. China merupakan pembeli getah asli terbesar Malaysia pada Jun, mencatatkan 23,668 tan metrik, diikuti Korea Selatan (4,086 tan metrik), Jerman (6,451 tan metrik), Amerika Syarikat (1,853 tan metrik), Afrika Selatan (1,652 tan metrik), Iran (3,067 tan metrik) dan Portugis (1,593 tan metrik).

Import getah asli Malaysia berjumlah 76,684 tan metrik, meningkat 30 peratus berbanding dengan Mei. Import juga meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun. Getah jenis utama yang diimport ialah lateks beku yang merupakan 38.3 peratus daripada jumlah import di dalam bukan yang dikaji. Import getah asli Malaysia kebanyakannya dari Thailand (61.6 peratus), Indonesia (5.3 peratus) dan Filipina (2.7 peratus).

Jumlah import dari ketiga-tiga negara itu dicatatkan 69.7 peratus daripada keseluruhan import getah asli. Jabatan itu berkata penggunaan domestik getah asli pada Jun ialah 39,742 tan metrik, turun 3.6 peratus berbanding dengan Mei tetapi ia meningkat 3.3 peratus berbanding penggunaan domestik pada bulan yang sama 2008, katanya.

Industri pengguna utama getah asli ialah sarung tangan getah (68.7 peratus), bebenang getah (12.1 peratus) dan tayar dan tiub (6.9 peratus) yang merupakan 87.8 peratus daripada penggunaan domestik getah asli. Stok dalam simpanan sehingga akhir Jun ialah 128,061 tan metrik, satu kenaikan 20.8 peratus berbanding dengan stok yang dipegang pada Mei 2009. Ia juga meningkat 6.4 peratus berbanding dengan stok dalam simpanan pada bulan yang sama tahun lepas.

Purata harga bulanan lateks beku pada Jun ialah 387.48 sen, turun 6.4 peratus berbanding Mei 2008 dan turun 43.7 peratus berbanding dengan Jun 2008. Harga SMR 20 pada Jun ialah 560.2 sen, turun 0.4 peratus berbanding dengan Mei, dan ia juga turun 44.6 peratus berbanding dengan bulan sama tahun lepas. Nisbah jumlah pengeluaran kepada jumlah kawasan yang ditoreh pada Jun ialah 139.6 kg sehektar (kg/ha) dan berbanding dengan Mei, produktiviti menunjukkan peningkatan 25.4 peratus. Berdasarkan tahun ke tahun, produktiviti juga meningkat 30.2 peratus.
(Sumber : BERNAMA 19 Ogos, 2009 )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan