HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Sabtu, 30 Januari 2010

ZAMAN BERHARGA KANAK-KANAK

Mereka diawasi bukan dikongkong, zaman kanak-kanak mereka perlu dihargai@tiblakedah.blogspot.com
Kehidupan ketika kanak-kanak adalah merupakan zaman yang paling menyeronokkan. Tambahan apabila mereka tinggal di kampung. Banyak tempat menarik yang mereka boleh kunjungi sebagai tempat mereka bermain dan bersuka-ria.

Waktu semasa hujung minggu adalah merupakan waktu yang paling sesuai untuk kanak-kanak keluar bersama rakan-rakan mereka untuk melakukan aktiviti seperti memancing dan menangkap ikan. Saya sempat menemui kanak-kanak yang berada di kawasan sawah padi berdekatan dengan tali air pada waktu itu. Ia hanya kawasan tali air untuk mengalirkan air ke sawah tetapi airnya sangat jernih.

Semasa saya datang ke sana mereka sedang mandi. Waktu itu jam menunjukkan pukul 5.50 petang. Saya lihat mereka semuanya boleh berenang, menyelam dan membuat lompatan mengikut gaya tersendiri. Hal ini mengingatkan keseronokan saya bermain sungai bersama-rakan sewaktu kecil dahulu.

Ada juga kanak-kanak yang sedang bermain layang-layang di kawasan ban sawah. Kelihatan seorang kanak-kanak yang sedang memegang layang-layang, manakala seorang lagi sedang memegang tali. Apabila angin mula bertiup kanak-kanak tadi cuba menarik tali melawan arus angin sambil rakannya yang memegang layang-layang tersebut melepaskannya ke udara. Mereka kelihatan sangat gembira apabila layang-layang yang mereka cuba layangkan berjaya naik tinggi ke udara.

Mereka sebenarnya tidak bersendirian kerana mereka diawasi oleh ibu bapa mereka yang sedang melakukan kerja-kerja di sawah. Ada yang menabur baja dan ada juga yang memancing ikan di kawasan sawah kepunyaan bapa mereka.

Begitulah kehidupan di kampung. Kita sebagi ibu bapa sememangnya mahukan anak-anak kita bijak dan sihat. Malah dengan bermain mampu meransang minda anak untuk lebih kreatif dan berinovatif. Oleh itu, kehidupan anak-anak jangan dikongkong kerana pada zaman kanak-kanak sahajalah mereka berpeluang untuk bermain. Maka sekiranya kita sebagai ibu bapa tidak boleh menyekat hak mereka. Bilakah masa dan waktu lagi mereka boleh bermain asalkan aktiviti yang mereka lakukan diawasi dan diberi tunjuk ajar agar menjadi manusia yang berguna. Kejayaan mereka di masa hadapan merupakan aset yang berharga untuk negara yang kita cintai.

1 ulasan:

  1. menarik dan bagus. banyakan lg gmbr sawah padi di awl pagi...baru lg menarik. ok tq

    BalasPadam