Petang semalam entah bagiman saya ingin benar pergi ke ban sungai di Tualang untuk melihat orang ramai memancing ikan. Lokasinya hanya memakan masa kurang dari 20 minit dari Pekan Pokok Sena.
Sebelum sampai ke jalan kampung Tok Kun Saya cuaca petang itu amat terik dan panas. Selepas menyusuri jalan pintas dari Bandar Baru Pokok Sena ke jalan kampung Tok Kun, jalan di sini sunyi dan sungguh menyeronokkan yang mana di tepi jalan dipenuhi kebun getah dan kelapa sawit. Jalan-jalan yang dilalui sangat redup dan sejuk.
Saya tiba di Tualang tempat lokasi memancing dalam pukul 5.30 petang. Sudah ada ramai kaki pancing yang telah memulakannya. Mereka keb anyakan adalah penduduk di sini. Ada juga yang datang dari Pekan Alor Setar.
Seronok betul mereka, apa tidaknya pancing yang mereka tahan disambar oleh ikan. Ada yang datang berkeluarga sambil menikmati makanan dan minuman yang mereka bawa, macam pesta pula jadinya. Dalam tinjauan saya dapati banyak penduduk kampung dari pelbagai peringkat umur tidak melepaskan peluang untuk memancing.
"Kalau rajin dan sabar, banyak ikan boleh dapat seperti haruan, ikan sepat, ikan keli dan puyu," kata salah seorang pemancing yang saya temui. Di sawah ini sememangnya masih kaya dengan kepelbagaian jenis ikan, justeru setiap kali petang tiba mereka datang untuk memancing.
Rezeki yang mereka perolehi bukan saja cukup untuk keperluan keluarga tetapi juga untuk dijual untuk menambahkan pendapatan keluarga. Jika kita fikirkan banyak yang kita boleh perolehi percuma di kampung jika kita rajin berusaha. Malahan sayur kangkung dan meranti yang kita temui di tepi sungai dan ban boleh kita ambil untuk di jadikan masakan untuk jamuan buat keluarga. Tepuk dada tanya diri anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan