HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Jumaat, 15 Januari 2010

MENIKMATI KEINDAHAN KAMPUNG DI KEPALA BENDANG, POKOK SENA

Pemandangan di tepi jalan menghala ke Kepala Bendang, Tualang, Pokok Sena

Pada dua hari yang lepas saya bercadang untuk mengambil gambar kawasan sungai yang berdekatan dari tempat tinggal saya. Untuk sampai ke sana, saya telah mengikut jalan Nawa kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Macang Kudung dan terus ke simpang tiga jalan ke Tualang. Kemudian saya belok ke kanan menuju Kebun 500 Tualang.

Apabila sampai di kawasan jambatan saya memberhentikan motor di tepi jalan dan mengambil gambar sungai dan kawasan persekitarannya yang cantik dan bersih dengan kehijauan pokok-pokok yang tumbuh di tepi jalan. Di sebelah kanan sungai terbentang kawasan sawah yang menghijau dan luas mata memandang. Manakala di sebelah kiri sungai terdapat pokok getah yang masih boleh ditoreh hasilnya.

Saya meneruskan perjalanan menyusuri jalan yang bertar menuju ke kampung Kepala Bendang dengan tujuan untuk menziarahi orang kampung dan bertukar-tukar maklumat. Di kampung ini kita masih boleh melihat rumah-rumah yang mengekalkan seni bina tradisional yang masih terurus dengan baik.

Di kampung Kepala Bendang, saya telah singgah di sebuah rumah tradisional kepunyaan Johari Nayan yang terletak tidah jauh dari sungai yang jaranya 50 meter. Semasa saya datang beliau tiada di rumah kerana mengerjakan tanah sawah yang tidak jauh dari rumahnya. Namun, saya sempat bertemu dengan anaknya Khairul Nizam yang sedang berehat di bawah rumah.

Khairul Nizam berkerja sendiri dengan berniaga popia yang diusahakan sendiri dengan dibantu oleh keluarganya. Beliau berniaga di pasar malam di kawasan Pokok Sena dan Alor Setar. Beliau berniaga dengan dibantu oleh isterinya dan adiknya. Beliau menjual popia sekitar 600 biji sehari dengan pandapatan bersih sekitar RM 100.00 sehingg RM 200.00. Popia yang dijual popia biasa dan popia goreng.

Pada bulan Ramadan beliau menjual di Pasar Ramadhan di Pekan Pokok Sena. Jumlah yag terjual dalam sekitar 2000 biji sehari dengan memberi upah kepada empat orang pekerja.

Saya juga sempat menemu-ramah beliau mengenai rumah yang didiami oleh beliau bersama isteri dan anak-anaknya. Menurut beliau rumah yang didiami mereka adalah kepunyaan datuknya iaitu Nayan Ahmad yang mana rumahnya sudah berusia 45 tahun yang dibina sekitar tahun 1965.

Rumah ini masih kukuh serta kelihatan masih cantik di mana ia diperbuat dengan mengunakan kayu keras meranti. Kayu-kayu yang diperolehi pada masa itu masih mengunakan kapak dan gergaji tangan. Kayu-kayu yang sudah dibelah dan dipotong mengikut saiz diketam menggunakan ketam tangan dan pahat. Tiang-tiang rumah didirikan masih menggunakan pasak kayu. Manakala tingkapnya diukir dan di lengkapi dengan lubang angin. Selain itu, ukiran kayu yang terdapat pada tangga rumah beliau tampak sungguh halus dan unik.

Saya diberitahu oleh Khairul bahawa bapanya tidak bercadang untuk membina rumah baru, tetapi beliau bercadang untuk terus mengekalkan rumah ini dalam bentuk asal. Perubahan yang telah dilakukan hanyalah pada bahagian bumbung rumah kerana telah bocor akibat ditimpa hujan.

Apabila jam menunjukan pukul 9.00 pagi, saya telah meminta izin untuk mengundurkan diri kerana saya dapati beliau perlu bersedia untuk menyiapkan bahan-bahan untuk membuat popia yang akan dijualnya di pasar malam di Pekan Langgar yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan