HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Ahad, 10 Januari 2010

MASJID BANDAR BARU POKOK SENA

Masjid An-Nur Bandar Baru Pokok Sena. Gambar pemandangan hadapan @ Hijau Tenang DamaiMasjid yang tersergam indah di Bandar Baru Pokok Sena menjadi seolah-olah mercu tanda kepada Daerah Pokok Sena yang sedang berkembang pesat sekarang ini.

Sebelum ini penduduk pekan Pokok Sena menggunakan surau Kampung Aman untuk menunaikan sembahyang jemaah dan mereka terpaksa pergi ke masjid Mukim Jabi untuk menunaikan solat Jumaat. Demikian diberitahu oleh Penghulu Mukim Jabi, Encik Johari Mustafa.

Situasi ini berlangsung sehingga tahun 1980 apabila Jabatan Agama Islam Kedah mengisytiharkan Kampung Kiew mempunyai kariah sendiri. Justeru itu penduduk di sini tidak perlu lagi pergi ke Masjid Mukim Jabi sebaliknya mereka menunaikan solat Jumaat di surau Kampung Aman.


Encik Johari yang juga Setiausaha Masjid Kariah Kampung Kiew yang dibina di situ berkata, pembinaan fasa 1 masjid ini dimulakan pada tahun 1999 dan siap pada tahun 2000. Perbelanjaan pembinaannya sumbangan daripada Yayasan Al-Bukhory dan mampu memuatkan 1500 jemaah.

Berikutan itu ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 1.5 juta untuk pembinaan fasa 11 masjid ini. Pembinaan dimulakan pada tahun 2000 dan siap sepenuhnya setahun kemudian.

“Pada 4 Februari 2001 penduduk Pekan Pokok Sena telah menunaikan solat Jumaat kali pertama di masjid yang baru siap ini,” kata Encik Johari.

Masjid ini akan dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah pada 12 Mac 2009. Walaupun belum dirasmikan lagi kesungguhan anak-anak kariah masjid ini patut mendapat kepujian. Dengan pimpinan Imam Haji Ismail Jaafar, mereka telah mengusahakan ‘homestay’ sebanyak empat pintu. Homestay ini mempunyai dua bilik tidur, ruang tamu dan dapur setiap satu disewakan kepada orang ramai dengan harga RM80 untuk satu malam. Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi di talian 04-7821334.
(Sumber : Warta Darul Aman Daily)

Pak Cik Shafie (Pee) yang tinggal di kampong Kiew ditugaskan menjaga kebersihan kawasan kubur serta persekitarannya. Beliau sudah berumur 86tahun tetapi masih gagah.

(Gambar hiasan diambil pada : 10 Jan. 2010)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan