HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Isnin, 11 Januari 2010

MASA-MASA YANG SUDAH BERLALU

Pemandangan di waktu pagi di kampung Bukit Lala, Pokok SenaAku lebih suka bangun awal pagi. Pada waktu awal pagi lagi aku sudah bersiap sedia untuk solat berjemaah di masjid. Perjalanan untuk ke masjid pada waktu awal pagi memberikan rasa kedamaian sambil dapat menikmati suasana yang indah dan dapat menghirup udara pagi yang segar dan nyaman. Semasa mengharungi pagi yang masih gelap, kadang-kadang suasana diterangi bulan purnama yang menerangi kawasan kampung yang dipenuhi sawah dan pepohon hijau.

Aku masih teringat sewaktu aku kecil dahulu, di waktu begini aku telah dikejutkan oleh ibu untuk menemani ibu ke perigi untuk mengambil air dan mandi membuat persiapan pergi ke sekolah. Puas juga tangan aku melibas dan menampar nyamuk-nyamuk yang berdengung memecah kesunyian pagi. Walaupun dalam keadaan yang masih mengantuk dan tersengguk-sengguk, aku masih boleh menunggu ibu memenuhkan air yang diisi ke dalam baldi.

Aku juga masih teringat akan kesempitan hidupku semasa waktu aku kecil dahulu. Akibat kesempitan hidup yang dialami, boleh dikatakan hampir setiap pagi sebelum pergi ke sekolah kami bersarapan ubi rebus yang dicecah sambal dan ikan masin berserta pisang rebus yang dimakan bersama kelapa parut. Kadang-kadang kakakku menukar menu kepada ubi bakar atau pisang bakar. Kalau tidak pun lempeng ubi atau lempeng pisang yang berintikan kelapa masin yang dibalut dengan daun pisang. Walaupun hidangannya begitu 'simple', namun hidangan tersebut sentisa membuka seleraku kerana rasanya yang enak malah menjadi makanan kegemaranku. Sehingga kini aku masih merindukan hidangan hidangan tersebut terutamanya lempeng pisang yang berintikan kelapa masin.

Apabila tamat penggal persekolahan, cuti akhir tahun pun bermula. Pada waktu cuti beginilah aku sering mengikuti ibu dan ayahku pergi menebang pokok untuk dijadikan tanaman padi huma. Sebelum hendak menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan tanaman padi huma, kawasan hutan yang dipenuhi dengan seman-samun serta batang-batang pokok, ditebang dan dibersihkan dengan menggunakan gergaji dua tangan untuk menghasilkan kayu api.

Setelah kayu-kayu ranting kering habis dikumpulkan dan dibakar, maka terjadilah tanah bakar yang gembur dan subur . Dapatlah arwah ayah menanam padi huma, nenas, jagung, labu, cili padi, sayur meranti, dan yang paling aku suka apabila mengutip cendawan kukur yang tumbuh melata selepas hujan di tunggul-tunggul pokok yang hampir mengering. Dapatlah kami sekeluarga menikmati juadah enak masak lemak cili padi cendawan kukur bersama ikan puyu yang kami pancing di anak sungai yang berdekatan.

Jerih payah arwah ayah dan ibu mencari rezeki untuk membesarkan kami sekeluarga tebayar juga dengan kehidupan yang kami nikmati sekarang. Bersyukurlah, di samping itu teruskanlah berusaha untuk menghadapi masa yang akan mendatang yang lebih mencabar serta menguji ketabahan.

Pondok yang dibena di kawasan yang baru diteroka. Kayu-kayu dan dinding diperolehi percuma dari kawasan persekitaranan “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.
(Maksud Surah Luqman : ayat 12)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan