HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Ahad, 31 Januari 2010

KEUTAMAAN MENUNTUT ILMU

Sekadar hiasan @ penulis berehat di Teratak Impian Bukit Lala sebelum keluar mencari dan bertukar maklumat ke distinasi yang dipilihSabda Rasullalah yang bermaksud :

• "Ilmu itu ibarat gudang dan anak kuncinya adalah pertanyaan, dari itu bertanyalah! sesungguhnya setiap kali ada yang bertanya, ada empat golongan yang diberi pahala iaitu : yang bertanya, yang ditanya, yang mendengar dan yang mencintai mereka."

• "Sekiranya anda keluar pada waktu pagi untuk memepelajari satu bab dari ilmu adalah lebih baik daripada anda solat 100 rakaat".

Jambatan kayu merentangi sungai- sekadar hiasan @ lokasi kampung Telaga Mas, Pokok Sena, Kedah

Sabtu, 30 Januari 2010

ZAMAN BERHARGA KANAK-KANAK

Mereka diawasi bukan dikongkong, zaman kanak-kanak mereka perlu dihargai@tiblakedah.blogspot.com
Kehidupan ketika kanak-kanak adalah merupakan zaman yang paling menyeronokkan. Tambahan apabila mereka tinggal di kampung. Banyak tempat menarik yang mereka boleh kunjungi sebagai tempat mereka bermain dan bersuka-ria.

Waktu semasa hujung minggu adalah merupakan waktu yang paling sesuai untuk kanak-kanak keluar bersama rakan-rakan mereka untuk melakukan aktiviti seperti memancing dan menangkap ikan. Saya sempat menemui kanak-kanak yang berada di kawasan sawah padi berdekatan dengan tali air pada waktu itu. Ia hanya kawasan tali air untuk mengalirkan air ke sawah tetapi airnya sangat jernih.

Semasa saya datang ke sana mereka sedang mandi. Waktu itu jam menunjukkan pukul 5.50 petang. Saya lihat mereka semuanya boleh berenang, menyelam dan membuat lompatan mengikut gaya tersendiri. Hal ini mengingatkan keseronokan saya bermain sungai bersama-rakan sewaktu kecil dahulu.

Ada juga kanak-kanak yang sedang bermain layang-layang di kawasan ban sawah. Kelihatan seorang kanak-kanak yang sedang memegang layang-layang, manakala seorang lagi sedang memegang tali. Apabila angin mula bertiup kanak-kanak tadi cuba menarik tali melawan arus angin sambil rakannya yang memegang layang-layang tersebut melepaskannya ke udara. Mereka kelihatan sangat gembira apabila layang-layang yang mereka cuba layangkan berjaya naik tinggi ke udara.

Mereka sebenarnya tidak bersendirian kerana mereka diawasi oleh ibu bapa mereka yang sedang melakukan kerja-kerja di sawah. Ada yang menabur baja dan ada juga yang memancing ikan di kawasan sawah kepunyaan bapa mereka.

Begitulah kehidupan di kampung. Kita sebagi ibu bapa sememangnya mahukan anak-anak kita bijak dan sihat. Malah dengan bermain mampu meransang minda anak untuk lebih kreatif dan berinovatif. Oleh itu, kehidupan anak-anak jangan dikongkong kerana pada zaman kanak-kanak sahajalah mereka berpeluang untuk bermain. Maka sekiranya kita sebagai ibu bapa tidak boleh menyekat hak mereka. Bilakah masa dan waktu lagi mereka boleh bermain asalkan aktiviti yang mereka lakukan diawasi dan diberi tunjuk ajar agar menjadi manusia yang berguna. Kejayaan mereka di masa hadapan merupakan aset yang berharga untuk negara yang kita cintai.

Jumaat, 29 Januari 2010

MEMANCING IKAN BAN SAWAH PADI DI TUALANG

Kawasan ban dan sawah padi tempat penduduk di sini memancing ikan, biasanya waktu petangPetang semalam entah bagiman saya ingin benar pergi ke ban sungai di Tualang untuk melihat orang ramai memancing ikan. Lokasinya hanya memakan masa kurang dari 20 minit dari Pekan Pokok Sena.

Sebelum sampai ke jalan kampung Tok Kun Saya cuaca petang itu amat terik dan panas. Selepas menyusuri jalan pintas dari Bandar Baru Pokok Sena ke jalan kampung Tok Kun, jalan di sini sunyi dan sungguh menyeronokkan yang mana di tepi jalan dipenuhi kebun getah dan kelapa sawit. Jalan-jalan yang dilalui sangat redup dan sejuk.

Saya tiba di Tualang tempat lokasi memancing dalam pukul 5.30 petang. Sudah ada ramai kaki pancing yang telah memulakannya. Mereka keb anyakan adalah penduduk di sini. Ada juga yang datang dari Pekan Alor Setar.

Seronok betul mereka, apa tidaknya pancing yang mereka tahan disambar oleh ikan. Ada yang datang berkeluarga sambil menikmati makanan dan minuman yang mereka bawa, macam pesta pula jadinya. Dalam tinjauan saya dapati banyak penduduk kampung dari pelbagai peringkat umur tidak melepaskan peluang untuk memancing.

"Kalau rajin dan sabar, banyak ikan boleh dapat seperti haruan, ikan sepat, ikan keli dan puyu," kata salah seorang pemancing yang saya temui. Di sawah ini sememangnya masih kaya dengan kepelbagaian jenis ikan, justeru setiap kali petang tiba mereka datang untuk memancing.

Rezeki yang mereka perolehi bukan saja cukup untuk keperluan keluarga tetapi juga untuk dijual untuk menambahkan pendapatan keluarga. Jika kita fikirkan banyak yang kita boleh perolehi percuma di kampung jika kita rajin berusaha. Malahan sayur kangkung dan meranti yang kita temui di tepi sungai dan ban boleh kita ambil untuk di jadikan masakan untuk jamuan buat keluarga. Tepuk dada tanya diri anda.

Khamis, 28 Januari 2010

MENINJAU KAWASAN PERANGINAN TAMAN RIMBA BUKIT WANG

Pintu masuk ke Taman Rimba Bukit Wang, Jitra, Kedah @ Ke arah kehidupan yang lebih hijau@tiblakedah.blogspot.com
Entah kenapa niat saya untuk ke Kuala Nerang tidak kesampaian. Apabila saya berada di kawasan Padang Sanai, saya bertukar fikiran untuk menghala ke Jitra, Kubang Pasu.

Saya melihat papan tanda pandu arah di tepi jalan menunjukan perjalanan untuk ke Jitra lagi 32 km. Saya kira cukup jauh dan memenatkan buat saya yang memandu motosikal. Tetapi sangkaan saya meleset kerana jalan yang saya lalui cukup redup dan sejuk dipayungi pokok-pokok yang menghijau dan bukit bukau yang yang tersusun indah.

Papan tanda arah ke jalan besar dari Rimba Bukit Wang. (i) Ke Pekan Jitra 7km (ii) simpang ke Kuala Nerang dan Pokok Sena (rumah penulis)23km (iii) ke ChangloonPerjalanan memakan masa kurang dari 30 minit. Maklumlah saya tidak memandu laju sekadar 40 km sejam. Saya anggarkan jarak dari tempat saya tinggal di Pekan Pokok Sena dalam 28 km kerana saya lihat papan tanda dari simpang Bukit Wang ke Jitra 7 km. Lagi pun meter petunjuk motorsikal saya sudah rosak masih belum dibaiki.

Dari simpang tiga ke Bukit Wang dari jalan besar jaraknya cuma 2 kilometer masuk ke dalam . Hutan Lipur Bukit Wang telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal sejak tahun 1937. Ia terletak 35km dari Alor Setar dan 9km dari Pekan jitra.

Kawasan yang dipenuhi pokok-pokok dan bukit-bukit, kawasan jeram dan air terjun cukup menyeronokan serta menceriakan sesuai dijadikan tempat berkelah, bermandi-manda dan ‘jungle trecking’ buat seisi keluarga, sanak-saudara mahupun sahabat-handai. Di kawasan ini ada disediakan tandas, surau, wakaf, tapak berkhemah, kedai makanan & minuman, tempat mandi kanak-kanak dan tiada bayaran masuk yang dikenakan.

Kawasan pesekitaran sentiasa bersih dijaga oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.
Pondok rehat banyak disediakan dan kawasan jalan kaki yang selesa untuk kita lalui hingga ke kawasan atas bukit. Tangga yang disediakan juga dalam keadaan baik dan selamat untuk dijejaki.

Kawasan pesekitaran di sini sejuk dan sungguh menarik dengan aliran air yang lancar serta air terjun yang memeriahkan suasana. Jika anda pergi berkelah di kawasan ini bersama anak-anak serta isteri pasti ianya menjanjikan keseronokan serta kepuasan yang diingini.
(tiblakedah.blogspot.com – Khamis: 28Jan. 2010)

“Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir) dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Dia jadikan padanya pasangan: Dua-dua. Dia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir”. (Al-Rad ayat-3)

Rabu, 27 Januari 2010

MEMUKAT IKAN DI KAMPUNG KEPALA BENDANG

Memukat ikan di sawah Kepala Bendang, Tualang, Pokok Sena@tiblakedah.blogspot.com
Setiap orang mempunyai minat dan bidang pekerjaan yang berbeza. Apapun yang penting kita minat dan mampu melaksanakannya dengan baik dan menyeronokkan.

Saya berkesempatan bertemu Pak Cik Abu yang tinggal di kampung Kepala Bendang. Beliau berkerja menangkap ikan sungai untuk menyara kehidupan keluarganya. Saya tiba di sini dalam pulul 10.00 pagi, waktu itu beliau sudah sampai dan sudah siap menahan pukat.

Beliau masih gagah dan mampu menangkap ikan bersendirian di kawasan persekitaran ban sawah padi yang bedekatan dengan rumahnya. Pendapatan hariannya dalam lengkungan RM 20.00 hingga RM 40.00.

Pemandangan indah di kawasan sawah di Tualang, Pokok Sena @ Hijau Tenang DamaiIkan sungai yang diperolehi terdiri dari haruan, keli dan puyu. Ikan yang diperolehi diisi dalam tong plastik. Ini membolehkan ikan yang dijual hidup dan masih segar untuk dimakan buat pelanggan. Ikan yang paling mahal harganya ialah ikan keli yang dijual dengan harga RM13.00 dan diikuti dengan haruan RM 10.00 sekilogram.

Boleh dikatakann ikan yang diperolehi pada hari itu semuanya habis dijual tanpa dibawa ke pasar. Kebanyakkan pelangannya datang sendiri mengambilnya di lokasi tempat beliau memukat ikan.


Bertanya Aisyah ra : “wahai Rasulullah.. jika semua musibah adalah menghapus dosa, apakah seorang tertusuk duri juga ada penghapusan dosanya?, maka rasul saw menjawab : Betul, bahkan kegundahan hati pun merupakan penghapusan dosa.

(shahih Bukhari)

Selasa, 26 Januari 2010

HARGA GETAH SKRUB SUDAH MAHAL

Melawat kebun getah kepunyaan abang Ishak di kampung Bukit Lala@tiblakedah.blogspot.com
Produktiviti pengeluaran getah dijangka meningkat daripada 1,580 kg sehektar pada tahun lalu kepada 1,800 kg sehektar pada tahun ini berikutan harga yang melambung tinggi sekarang sehingga melebihi RM5 sekilogram. Sayu cuba mendapatkan maklumat sebenar dengan berjumpa mereka di kawasan kebun.

Semalam saya meluangkan masa berjumpa dengan abang Ishak yang berkerja di kebun getah kepunyaannya yang terletak di kampung Bukit Lala. Kebetulan beliau baru sahaja siap menoreh getah. Jam pada ketika itu menunjukkan pukul 10 pagi. Saya sempat berbual dengan beliau bertanyakan tentang harga getah dan kebun kepunyaannya yang akan ditebang untuk tanaman semula.

Saya bertanya kepada beliau tentang harga getah skrub yang telah dijualnya pada hari itu iaitu RM 4.60 sekilogram. “Berdasarkan kenaikan harga yang tinggi ia mendorong kami menoreh sendiri. Dulu kami upahkan kepada orang lain”, katanya dengan penuh ceria.

Bagi menambah pendapatan sampingan, abang Ishak juga memelihara lembu dan kambing di kawasan kebun getah milik beliau. Kandang binatang bagi ternakan tersebut dibina di antara kebun dan sawah padi. Rumput untuk makanan lembu biasanya mudah diperolehi dari kawasan kebun getah yang baru ditanam semula.

Bak kata pepatah, ”Di mana ada kemahuan di situ ada jalan”. Pepatah ini memberikan pengajaran bahawa setiap pekerjaan yang kita lakukan mestilah diiringi dengan usaha yang jitu bagi mencapai hasrat yang akhirnya akan membuahkan hasil mahupun memberikan kepuasan. Apa yang lebih penting bagi pekebun-pekebun, pendapatan yang mereka peroleh adalah bebaloi dengan usaha yang mereka lakukan. Namun begitu janganlah sampai mengabaikan kesihatan

Isnin, 25 Januari 2010

JAGALAH KEBERSEHAN KAMPUNG KITA

Ke arah kehidupan yang penuh kehijauan, tenang dan damai @ Lokasi : km 20 Pokok Sena, Kedah@tiblakedah.blogsot.com
Kebersihan, keindahan, kehijauan dan keselesaan kawasan kampung adalah menjadi idaman seseorang yang inginkan tempat tinggal yang selesa. Walaubagimanpun ia mememerlukan kerjasama semua pihak untuk merialiasiasikannya.


Namun apa yang penting bagi kita sebagai penghuninya supaya berkerjasama menjaga kebersihan kampung kita dengan tidak membuang sampah merata tempat. Janganlan biarkan keindahan kampung yang kita diami tidak terjaga kebersihanya.

Ke arah kehidupan yang penuh kehijauan, tenang dan damai @ Lokasi : Kampung Bukit Tembaga, Kuala Nerang, KedahApa yang penting kita harus mendidik anak-anak kita supaya mencintai alam sekitar serta tidak melakukan sesuatu yang boleh memusnakan persekitaran yang cantik dengan kehijauan pokok-pokok tumbuhan dan sungai-sungai yang ada di persekitarannya.

Ke arah kehidupan yang penuh kehijauan, tenang dan damai @ Lokasi : jalan ban di Santap, Pokok Sena, KedahSungai pula janganlah dijadikan tempat pembuangan sampah kerana ia akan mencemarkan airnya sungainya serta boleh menyebabkan banjir kilat yang akan memusnahkan harta benda.

Ke arah kehidupan yang penuh kehijauan, tenang dan damai @ Cucu saudara di hadapan Teratak Impian Bukit LalaKesabaran perlu ada dalam diri dan di samping itu, sebagai penduduk di situ harus peka supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh 'menaikkan darah' orang lain dengan membiarkan binatan ternakan berkeliaran membuang najis merata-rata yang menyebabkan pencemaran tahi dan bau yang kurang selesa.

Dalam kita mencari wang ringgit untuk kesenangan kita, kita harus beringat supaya kita tidak lupa tentang tanggungjawab kita supaya ia tidak menyusahkan orang lain. Kita harus bersikap “sekiranya kita tidak suka melihat orang menyusahkan terhadap diri kita, pekara yang sama kita jangan lakukan kepada orang lain”.

Ke arah kehidupan yang penuh kehijauan, tenang dan damai @ Lokasi : Sungai dan Jambatan di Kepala Bendang, Tualang, Pokok Sena KedahSemogga apa yang kita lakukan bersama dapat memberi menafaat dan keselesaan kepada orang lain. Dengan secara tidak langsung akan menjadi contoh ikutan di kawasan kita diami. Ia bukan saja memberi keselesaan kepada kita malahan akan memberi keselesaan kepada orang lain. Inilah yang menjadi di harapan semua orang kehijau, ketenangan dan kedamaian.

Ahad, 24 Januari 2010

MELAWAT KILANG KAYU GETAH DI DEHRANG

Pemandangan di hadapan kilang, kayu-kayu getah diturunkan dari lori@tiblakedah.blogspot.com
Perjalanan ke kilang kayu milik JV BumiMulia Sdn hanya memakan masa kurang dari sepuluh minit. Jaraknya hanya 5 kilometer dari Pekan Pokok Sena, Kedah. Jalan menuju ke kilang kayu ini tidak sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang dan berjalan dengan lancar. Saya hanya menaiki motosikal bersendirian kebetulan lalu untuk pergi ke Jitra mengikuti jalan pintas dari Pekan Pokok Sena.

Saya membonceng motosikal pada kadar kelajuan yang sederhana iaitu hanya pada kadar 40 km/jam bagi menikmati keindahan kawasan kampung sepanjang perjalanan. Semasa dalam perjalanan, saya terpandang sebuah kilang kayu getah yang berada di tepi jalan dan tertarik untuk pergi dan melihatkan keadaan di sana.

Kebingitan bunyi enjin kedengaran dari kilang kayu berkenaan disertai dengan bunyi kicauan burung. Di kawasan kampung, begitulah panorama dan senario yang bakal anda nikmati apabila anda mengunjungi kilang kayu getah ini yang terletak di tengah-tengah kawasan pokok getah.

Malah, sebaik memasuki kawasan kilang, suasana yang lebih tenang, nyaman dan sejuk dapat dirasai. Walaupun kawasan kilang ini hanya seluas satu ekar, namun sebenarnya ia merupakan bekas kebun getah dan kemudiannya diijadikan kilang kayu getah untuk dijualkan kepada kilang membuat perabot berasaskan kayu getah.

Saya telah meminta kebenaran dari penyelia kilang untuk mengambil gambar. Saya juga turut menemu ramah penyelia tersebut bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan kerja-kerja yang mereka lakukan.

Menurut beliau, kayu getah yang diperoleh dibeli dari kawasan yang berdekatan termasuk daerah Pokok Sena dan daerah Padang Terap. Di kawasan tersebut banyak kayu getah yang telah ditebang untuk projek tanaman semula getah di bawah bantuan RISDA.

Tambah beliau, kayu getah yang telah ditebang akan dihantar ke kilang ini untuk diproses menjadi perabot. Kayu-kayu ini akan dipotong dan digergaji mengikut saiz yang telah ditetapkan mengikut permintaan pengilang-pengilang perabot tempatan.

Kebanyakan pekerja di sini adalah daripada pekerja Indonesia dan Bangladesh. Mereka ditempatkan di kawasan kilang oleh majikan mereka. Saya dapati cara mereka berkerja sunguh cekap dan mahir. Hal ini sudah tentu membolehkan hasil pengeluaran yang cekap bagi menampung hasil permintaan yang tinggi.

Saya tidak sempat bertanyakan tentang gaji yang mereka perolehi. Namun, bagi mereka gaji yang mereka perolehi adalah bebaloi dengan apa yang mereka usahakan. Saya mengakhiri lawatan saya dengan bersalaman dengan pekerja-pekerja dan mengucapkan terima kasih kerana memberi kerjasama yang baik kepada saya. Tidak lupa juga kepada penyelia kilang yang telah memberi kebenaran untuk mengambil gambar.

Sabtu, 23 Januari 2010

LAWATAN KE KAMPUNG PELUBANG

Apakah kegunaan pondok kecil ini, yang terletak di kawasan perkuburan? Lokasi : Kampung Pelubang, Kedah.Lawatan ke kampung Pelubang, Kepal Batas, Alor Setar. Maaf sudah seminggu tidak menulis dalam blog disebabkan kerosakan IT.

Bangunan lama di Taman Tabung Haji Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.

Jumaat, 15 Januari 2010

MENIKMATI KEINDAHAN KAMPUNG DI KEPALA BENDANG, POKOK SENA

Pemandangan di tepi jalan menghala ke Kepala Bendang, Tualang, Pokok Sena

Pada dua hari yang lepas saya bercadang untuk mengambil gambar kawasan sungai yang berdekatan dari tempat tinggal saya. Untuk sampai ke sana, saya telah mengikut jalan Nawa kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Macang Kudung dan terus ke simpang tiga jalan ke Tualang. Kemudian saya belok ke kanan menuju Kebun 500 Tualang.

Apabila sampai di kawasan jambatan saya memberhentikan motor di tepi jalan dan mengambil gambar sungai dan kawasan persekitarannya yang cantik dan bersih dengan kehijauan pokok-pokok yang tumbuh di tepi jalan. Di sebelah kanan sungai terbentang kawasan sawah yang menghijau dan luas mata memandang. Manakala di sebelah kiri sungai terdapat pokok getah yang masih boleh ditoreh hasilnya.

Saya meneruskan perjalanan menyusuri jalan yang bertar menuju ke kampung Kepala Bendang dengan tujuan untuk menziarahi orang kampung dan bertukar-tukar maklumat. Di kampung ini kita masih boleh melihat rumah-rumah yang mengekalkan seni bina tradisional yang masih terurus dengan baik.

Di kampung Kepala Bendang, saya telah singgah di sebuah rumah tradisional kepunyaan Johari Nayan yang terletak tidah jauh dari sungai yang jaranya 50 meter. Semasa saya datang beliau tiada di rumah kerana mengerjakan tanah sawah yang tidak jauh dari rumahnya. Namun, saya sempat bertemu dengan anaknya Khairul Nizam yang sedang berehat di bawah rumah.

Khairul Nizam berkerja sendiri dengan berniaga popia yang diusahakan sendiri dengan dibantu oleh keluarganya. Beliau berniaga di pasar malam di kawasan Pokok Sena dan Alor Setar. Beliau berniaga dengan dibantu oleh isterinya dan adiknya. Beliau menjual popia sekitar 600 biji sehari dengan pandapatan bersih sekitar RM 100.00 sehingg RM 200.00. Popia yang dijual popia biasa dan popia goreng.

Pada bulan Ramadan beliau menjual di Pasar Ramadhan di Pekan Pokok Sena. Jumlah yag terjual dalam sekitar 2000 biji sehari dengan memberi upah kepada empat orang pekerja.

Saya juga sempat menemu-ramah beliau mengenai rumah yang didiami oleh beliau bersama isteri dan anak-anaknya. Menurut beliau rumah yang didiami mereka adalah kepunyaan datuknya iaitu Nayan Ahmad yang mana rumahnya sudah berusia 45 tahun yang dibina sekitar tahun 1965.

Rumah ini masih kukuh serta kelihatan masih cantik di mana ia diperbuat dengan mengunakan kayu keras meranti. Kayu-kayu yang diperolehi pada masa itu masih mengunakan kapak dan gergaji tangan. Kayu-kayu yang sudah dibelah dan dipotong mengikut saiz diketam menggunakan ketam tangan dan pahat. Tiang-tiang rumah didirikan masih menggunakan pasak kayu. Manakala tingkapnya diukir dan di lengkapi dengan lubang angin. Selain itu, ukiran kayu yang terdapat pada tangga rumah beliau tampak sungguh halus dan unik.

Saya diberitahu oleh Khairul bahawa bapanya tidak bercadang untuk membina rumah baru, tetapi beliau bercadang untuk terus mengekalkan rumah ini dalam bentuk asal. Perubahan yang telah dilakukan hanyalah pada bahagian bumbung rumah kerana telah bocor akibat ditimpa hujan.

Apabila jam menunjukan pukul 9.00 pagi, saya telah meminta izin untuk mengundurkan diri kerana saya dapati beliau perlu bersedia untuk menyiapkan bahan-bahan untuk membuat popia yang akan dijualnya di pasar malam di Pekan Langgar yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Khamis, 14 Januari 2010

'BANDAR SEJAHTERA POKOK SENA' MAJLIS PERASMIAN

Bergambar di hadapan rumah contoh berkongsepkan "Kehijauan, Selesa, Tenang Sejahtera" yang dirasmikan oloh MB Kedah pada 14 Januari 2010.@tiblakedah.blogspot.com
Pokok Sena, 14 Januari 2010 : Satu majlis perasmian Bandar Baru Pokok Sena telah di adakan pada 14 Januari 2010. Bandar ini terletak tiduk jauh dari Bandar Baru Pokok Sena yang jaraknya 500meter dan menghala ke Kampung Tualang.
Majlis perasmian ini telah dihadiri oleh Ahli Parlimen, wakil-wakil rakyat , Pegawai Daerah, wakil NGO kakitangan kerajaan, wakil kaum dan penduduk setempat.

Majlis ini bermula pada pukul 9.45 telah dirasmikan oleh YB Dato’ Azizan Abdul Razak Menteri Besar Kedah. Disebabkan ada tugas yang lebih penting, beliau tidak dapat merasmikannya. Perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Dato' Haji Mohamad Taulan bin Mat Rasul. Exco Agama & Pelajaran dan Koperasi. Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis. Doa selamat telah dibacakan oleh ustaz Zainal Asri daripada Kolej Islam Darul Ulum ( KIDU ) , kemudian diikuti dengan bacaan Quran dan terjemahaan oleh pelajar dari KIDU.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Tuan Haji Redzuan bin Alias selaku CEO Seri Tamin Development Coporation (STDC). Di antara ucapanya menyebut kerajaan negeri dengan kerjasama STDC telah ditugaskan membina kawasan perumahan yang bakal memberi keselesaan dan menyediakan kemudahan awam seperti surau, masjid, rumah kedai serta taman rekreasi.

Projek ini disediakan untuk semua golongan rakyat memilikinya dengan harga yang berpatutan. Beliau berharap orang ramai memohon dengan seberapa segera kerana kos pembinaan di masa akan datang berkemungkinan akan meningkat harganya.

Projek ini bakal dilaksanakan bermula dari sekarang sehingga 2017 di atas tanah seluas 200 ekar yang menelan belanja sebanyak 230 juta. Di antara yang bakal dibina termasuk unit kos serderhana yang mampu dimiliki oleh orang ramai yang berpendapatan rendah.

Setelah selesai ucapan, majlis ucapan perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Taulan bin Mat Rasul yang mewakili Menteri Besar. Diantaranya ucapanya beliau menyampaikan salam daripada Menteri besar yang tidak dapat hadir pada majlis perasmian.

Beliau menyatakan bahawa Bandar Sejahtera telah diilhamkan oleh Menteri Besar yang mana beliau mahu rakyat Kedah mampu untuk memiliki rumah sendiri serta mempunyai kawasan persekitaran perumahan yang hijau, selesa, tenang dan sejahtera. Di akhir ucapan Beliau telah menyempurnakan majlis perasmian dengan ucapan “Bimillah” kemudian beliau menekan butang sebagai gimik majlis pelancaran Bandar Sejahtera Pokok Sena.

Majlis diserikan dengan persembahan hiburan bercirikan lagu ketuhanan oleh artis jemputan dan kehadiran Upin dan Ipin yang meraikan kehadiran kanak-kanak serta Pasti kawasan Pokok Sena. Mereka telah dihadiahkan belon-belon percuma yang tertulis ‘Bandar Sejahtera Pokok Sena’. Keceriaan kanak-kanak jelas kelihatan di wajah mereka apabila mereka dapat bersalam dengan Upin dan Ipin.

Majlis bertambah meriah dengan kehadiran YB Dato’ Ustas Azizan Razak. Walaupun sibuk beliau dapat hadir juga pada majlis ini. Beliau telah sampai pada pukul 12.30 tengah hari untuk menghadiri majlis jamuan seterusnya mendatangani plak perasmian.

Setelah selesai jamuan makan beliau melawat rumah contoh diiringi Taulan Rasul dan CEO STDC. Satu majlis talkimat kepada wakil-wakil media telah disampaikan oleh Ustaz Azizan yang diadakan di bilik khas yang telah disediakan oleh pihak STDC. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama Wakil-wakil Rakyat dan juga Warga STDC.

Rabu, 13 Januari 2010

'BANDAR SEJAHTERA ' IKLAN

Majlis Perasmian Bandar Sejahtera Pokok Sena
Tarikh : 14 Januari 2010. Oleh YB Dato Ustaz Azizan Abd Razak MB Kedah.
Tempat : Bandar Sejahtera Pokok Sena.
Masa : 9.45 pagi - 5.00 petang

ORANG RAMAI DIJEMPUT HADIR

BERSAMA BANGUNKAN SEMULA SUNGAI KITA

Bersamalah kita membangunkan semula keindahan sungai @ Sungai di Kawasan Tualang, Pokok Sena, Kedah.
Sungai yang suatu ketika dulu dijadikan sebagai sumber pendapatan serta penghubung satu kawasan dengan kawasan yang lain dalam urusan harian.
Namun kini, sungai telah dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah serta bahan lain yang mencemarkan sungai tersebut hingga menjejaskan kehidupan manusia serta hidupan yang hidup dalam sungai.

“Dulu kita boleh lihat ikan temekung dalam sungai sebab air jernih, tapi hari ini dah tak boleh, kita juga boleh berenang dalam sungai dulu, tapi sekarang, tengok air keroh pun dah merunsingkan kita, apatah lagi nak berenang,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Sumber Air, YB. Dato’ Haji Ir Phahrolrazi Haji Zawawi.

Beliau berkata demikian pada bengkel Peranan Majlis Ketua Kampung/Komuniti Dalam Usaha Merealisasikan Sungai Kedah/Sungai Anak Bukit Sebagai Destinasi Pelancongan Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Akibat terjadinya pencemaran yang meruncing sekarang adalah berikutan sikap masyarakat dan dan pemilik industri yang membuang sampah dan sisa kilang ke sungai sewenang-wenangnya tanpa memikirkan betapa pentingnya kebersihan perlu dikekalkan seterusnya ditingkatkan. “Sudah sampai masa kita kena cari titik noktah untuk atasi masalah yang kita hadapi, jangan sampai ke satu tahap kita tak boleh nak selesai masalah mengenai sungai ini,” jelas beliau.

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bermula daripada masyarakat hingga kepada kerajaan sama-sama mengembeleng tenaga merealisasikan Sungai Kedah, Sungai Anak Bukit sebagai destinasi pelancongan seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang menyeru agar sungai dan terusan sedia ada wajar dimanfaatkan sebagai pusat aktiviti pelancongan dan riadah.

“Bengkel ini bermatlamat nak timbul kesedaran rakyat mengenai isu kebersihan khususnya mengenai isu sungai.

“Diharap dengan pandangan dari Ketua Kampung dan Komuniti yang mewakili rakyat setempat untuk cari jalan atasi masalah kebersihan sungai yang kita hadapi seterusnya kita nak warisi sungai yang cantik sebagai satu warisan untuk generasi akan datang,” ujar beliau.
(Sumber : Portal Kerajaan Negeri Kedah)

Isnin, 11 Januari 2010

MASA-MASA YANG SUDAH BERLALU

Pemandangan di waktu pagi di kampung Bukit Lala, Pokok SenaAku lebih suka bangun awal pagi. Pada waktu awal pagi lagi aku sudah bersiap sedia untuk solat berjemaah di masjid. Perjalanan untuk ke masjid pada waktu awal pagi memberikan rasa kedamaian sambil dapat menikmati suasana yang indah dan dapat menghirup udara pagi yang segar dan nyaman. Semasa mengharungi pagi yang masih gelap, kadang-kadang suasana diterangi bulan purnama yang menerangi kawasan kampung yang dipenuhi sawah dan pepohon hijau.

Aku masih teringat sewaktu aku kecil dahulu, di waktu begini aku telah dikejutkan oleh ibu untuk menemani ibu ke perigi untuk mengambil air dan mandi membuat persiapan pergi ke sekolah. Puas juga tangan aku melibas dan menampar nyamuk-nyamuk yang berdengung memecah kesunyian pagi. Walaupun dalam keadaan yang masih mengantuk dan tersengguk-sengguk, aku masih boleh menunggu ibu memenuhkan air yang diisi ke dalam baldi.

Aku juga masih teringat akan kesempitan hidupku semasa waktu aku kecil dahulu. Akibat kesempitan hidup yang dialami, boleh dikatakan hampir setiap pagi sebelum pergi ke sekolah kami bersarapan ubi rebus yang dicecah sambal dan ikan masin berserta pisang rebus yang dimakan bersama kelapa parut. Kadang-kadang kakakku menukar menu kepada ubi bakar atau pisang bakar. Kalau tidak pun lempeng ubi atau lempeng pisang yang berintikan kelapa masin yang dibalut dengan daun pisang. Walaupun hidangannya begitu 'simple', namun hidangan tersebut sentisa membuka seleraku kerana rasanya yang enak malah menjadi makanan kegemaranku. Sehingga kini aku masih merindukan hidangan hidangan tersebut terutamanya lempeng pisang yang berintikan kelapa masin.

Apabila tamat penggal persekolahan, cuti akhir tahun pun bermula. Pada waktu cuti beginilah aku sering mengikuti ibu dan ayahku pergi menebang pokok untuk dijadikan tanaman padi huma. Sebelum hendak menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan tanaman padi huma, kawasan hutan yang dipenuhi dengan seman-samun serta batang-batang pokok, ditebang dan dibersihkan dengan menggunakan gergaji dua tangan untuk menghasilkan kayu api.

Setelah kayu-kayu ranting kering habis dikumpulkan dan dibakar, maka terjadilah tanah bakar yang gembur dan subur . Dapatlah arwah ayah menanam padi huma, nenas, jagung, labu, cili padi, sayur meranti, dan yang paling aku suka apabila mengutip cendawan kukur yang tumbuh melata selepas hujan di tunggul-tunggul pokok yang hampir mengering. Dapatlah kami sekeluarga menikmati juadah enak masak lemak cili padi cendawan kukur bersama ikan puyu yang kami pancing di anak sungai yang berdekatan.

Jerih payah arwah ayah dan ibu mencari rezeki untuk membesarkan kami sekeluarga tebayar juga dengan kehidupan yang kami nikmati sekarang. Bersyukurlah, di samping itu teruskanlah berusaha untuk menghadapi masa yang akan mendatang yang lebih mencabar serta menguji ketabahan.

Pondok yang dibena di kawasan yang baru diteroka. Kayu-kayu dan dinding diperolehi percuma dari kawasan persekitaranan “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”.
(Maksud Surah Luqman : ayat 12)

Ahad, 10 Januari 2010

MASJID BANDAR BARU POKOK SENA

Masjid An-Nur Bandar Baru Pokok Sena. Gambar pemandangan hadapan @ Hijau Tenang DamaiMasjid yang tersergam indah di Bandar Baru Pokok Sena menjadi seolah-olah mercu tanda kepada Daerah Pokok Sena yang sedang berkembang pesat sekarang ini.

Sebelum ini penduduk pekan Pokok Sena menggunakan surau Kampung Aman untuk menunaikan sembahyang jemaah dan mereka terpaksa pergi ke masjid Mukim Jabi untuk menunaikan solat Jumaat. Demikian diberitahu oleh Penghulu Mukim Jabi, Encik Johari Mustafa.

Situasi ini berlangsung sehingga tahun 1980 apabila Jabatan Agama Islam Kedah mengisytiharkan Kampung Kiew mempunyai kariah sendiri. Justeru itu penduduk di sini tidak perlu lagi pergi ke Masjid Mukim Jabi sebaliknya mereka menunaikan solat Jumaat di surau Kampung Aman.


Encik Johari yang juga Setiausaha Masjid Kariah Kampung Kiew yang dibina di situ berkata, pembinaan fasa 1 masjid ini dimulakan pada tahun 1999 dan siap pada tahun 2000. Perbelanjaan pembinaannya sumbangan daripada Yayasan Al-Bukhory dan mampu memuatkan 1500 jemaah.

Berikutan itu ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 1.5 juta untuk pembinaan fasa 11 masjid ini. Pembinaan dimulakan pada tahun 2000 dan siap sepenuhnya setahun kemudian.

“Pada 4 Februari 2001 penduduk Pekan Pokok Sena telah menunaikan solat Jumaat kali pertama di masjid yang baru siap ini,” kata Encik Johari.

Masjid ini akan dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah pada 12 Mac 2009. Walaupun belum dirasmikan lagi kesungguhan anak-anak kariah masjid ini patut mendapat kepujian. Dengan pimpinan Imam Haji Ismail Jaafar, mereka telah mengusahakan ‘homestay’ sebanyak empat pintu. Homestay ini mempunyai dua bilik tidur, ruang tamu dan dapur setiap satu disewakan kepada orang ramai dengan harga RM80 untuk satu malam. Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi di talian 04-7821334.
(Sumber : Warta Darul Aman Daily)

Pak Cik Shafie (Pee) yang tinggal di kampong Kiew ditugaskan menjaga kebersihan kawasan kubur serta persekitarannya. Beliau sudah berumur 86tahun tetapi masih gagah.

(Gambar hiasan diambil pada : 10 Jan. 2010)