HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Rabu, 7 Januari 2009

TAMPARAN HEBAT BUAT BN

Calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid Salleh, pantas menganggap kedudukan namanya di susunan nombor satu dalam kertas undi bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari nanti suatu petanda yang positif.

"Saya harap susunan nombor satu itu akan beri satu petanda awal yang baik," katanya, seraya mengharapkan nombor ajaib itu akan membawa tuah kepadanya di hari pembuangan undi nanti. Tidak dapat dipastikan apakah nombor satu itu memang bertuah atau tidak. Sebabnya, lain orang lain tanggapannya.

Sebenarnya, jika petanda awal mahu dijadikan sandaran kepada kejayaan bakal diperolehi mana-mana pihak bertanding, maka PAS boleh mendakwa petanda lebih positif memihak kepada parti itu.

Petanda itu sudah dapat dilihat sejak beberapa ketika sebelum penamaan calon lagi. Perbezaan ketara antara jumlah hadirin ke majlis pengumuman calon BN berbanding majlis serupa yang diadakan Pas adalah ibarat langit dengan bumi. Perkara itu sudah lama menjadi bahan perbualan masyarakat umum.

Kesungguhan para penyokong PAS untuk ikut serta ke pusat penamaan calon di Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud, juga amat terasa. Sebahagian mereka telah pun bermalam di sekitar Kuala Terengganu pada malam sebelumnya.

Ada yang tidak punya kenderaan sendiri tetap juga tidak mahu melepaskan peluang turut serta berarak. Mereka terpaksa berharap kepada kenderaan awam. Di sepanjang jalan menuju pusat bandar Kuala Terengganu menggambarsegala-galanya mengenai kesungguhan dan komitmen mereka. Apakah mereka itu penyokong BN? Fikir dan jawab sendiri lah!

Akhbar mereka melapurkan pada 7 Januari menganggarkan sejumlah 25,000 penyokong kedua-dua pihak menyertai perarakan calon. Mereka sama meletakkan angka 10,000 di pihak penyokong BN. Maka sering disebut orang, kalau akhbar itu kata 10,000 orang, mungkin jumlah sebenarnya hanya 5,000 ke 8,000 saja.

Kemunculan adik ipar kepada Allahyarham Dato' Razali Ismail, iaitu Md Azmi Lop Yusof mengiringi calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut. Md Azmi adalah adik kepada isteri Allahyarham Razali, Toh Puan Noraini. Beliau juga bekas wakil rakyat PAS bagi Dun Bandar, pada pilihan raya 1999. Isu di sini bukannya soal komitmen Md Azmi terhadap partinya, PAS. Apa yang agak memalukan BN ialah kerana sebelum ini ia mendakwa telah dapat menjamin dan memastikan sokongan bulat daripada keluarga Allahyarham Razali kepada BN.

Belum pun gangguan perasaan calon BN terubat dengan kelibat Md Azmi sebagai penyokong borang pencalonan Mohd Abdul Wahid, tamparan kedua pula menyusul. Kehadiran Harun Mohamad, yang sebelum ini disebut-sebut akan mewakili AKIM dalam pilihan raya ini, turut tidak membantu BN.

Harun bukan sahaja tidak meneruskan hasratnya menyertai pertandingan, bahkan secara terbuka mengisytiharkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap calon PAS. Maka, orang yang diharap dapat mencuri undi daripada Pas akhirnya menjadi tamparan pula buat BN.

Sekiranya kita mahu berpandukan petanda awal sebagai alamat baik-buruk sesuatu, maka tamparan demi tamparan diterima BN di hari penamaan calon sudah cukup memberkan isyarat awal mereka akan kecundang pada 17 Januari 2009.Sama-samalah kita saksikannya nanti.

APA MEREKA KATA

Tiada isu baru dalam ceramah pembangkang
Oleh ZULKIFLEE BAKAR (Utusan Malaysia)
SEMALAM, pakatan pembangkang memulakan kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan mengadakan ceramah mega di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu.Bersesuaian dengan istilah ‘mega’ yang digunakan, ceramah berkenaan yang bertujuan memperkenalkan calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut, membariskan kesemua pemimpin besar pakatan tersebut.

Mereka yang berada di atas satu pentas di hadapan ribuan hadirin pada majlis itu ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali.

Seperti diduga tiada isu baru yang ditimbulkan melainkan dakwaan bahawa pemerintahan negara dijalankan penuh rasuah, pembaziran wang royalti minyak oleh kerajaan Terengganu dan berusaha meraih sokongan pengundi dengan memuji Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Pengundi Cina mahu kenal hati budi calon
KUALA TERENGGANU 7 Jan. 2009 - Pengundi Cina di Kuala Terengganu mahu mengenal hati budi calon terlebih dahulu sebelum membuat keputusan memilih Ahli Parlimen yang akan mewakili mereka di Dewan Rakyat pada pilihan raya kecil Parlimen itu, 17 Januari ini.

Ini kerana mereka tidak mahu calon yang dipilih nanti hanya pandai menabur janji semasa kempen, namun apabila menang pilihan raya 'hilang' begitu saja dengan penduduk hanya mengenali wakil rakyat melalui akhbar. Bagi Goh Ng Kiam, 70, dia mahu seorang wakil rakyat yang mesra dan mudah didekati masyarakat supaya segala masalah dapat disalurkan secara terus kepada Ahli Parlimen berkenaan.

''Ini sudah cukup. Tidak kira parti ada wang atau tidak selagi calon yang ditampilkan memiliki sifat-sifat ini maka beliau yang akan saya pilih.
''Saya mahu kenal calon dulu. Kalau kita beri beliau menang dulu tetapi selepas ini wakil rakyat tidak ingat pada kita, susahlah," katanya yang merupakan pengundi dari kawasan Kampung Tanjung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di sini.

Dia ditemui pada majlis penyampaian bantuan sempena Tahun Baru Cina kepada warga emas di sini yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said. Turut hadir ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Seorang pengundi dari Kampung Seberang Baroh dalam kawasan DUN Wakaf Mempelam, LeeTeik Kuan, 58, berkata, tempoh berkempen yang terhad perlu digunakan sepenuhnya oleh calon untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka benar-benar layak dipilih sebagai wakil rakyat.

''Selepas kenal hati budi calon, baru kita buat pilihan dan sesudah menang barulah kita boleh minta apa bentuk pembangunan yang kita mahu," ujarnya.
Teik Kuan memuji ketokohan dan kemesraan Allahyarham Datuk Razali Ismail sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan mahu calon yang bersifat seperti beliau untuk mewakili Parlimen itu.

Pengundi dari Kampung Cina dalam DUN Bandar, Teo Chong Lee, 57, pula mahu seorang Ahli Parlimen yang boleh menguruskan sendiri masalah rakyat dan tidak menyerahkan kepada pembantu atau wakilnya untuk berbuat demikian.
''Jika kita mengadu masalah kepada pembantunya, mungkin ia tidak akan sampai kepada wakil rakyat. Jadi lebih baik jika beliau sendiri turun untuk bertemu rakyat supaya maklumat yang diperoleh itu tepat," jelasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan