Jangan terpengaruh politik perkauman – TPM
KUALA TERENGGANU 12 Jan. 2009 (Utusan Malaysia) – Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa masyarakat India di Parlimen Kuala Terengganu supaya tidak terpengaruh dengan mainan politik perkauman yang menjadi taktik pakatan pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung sekarang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, masyarakat India perlu memastikan sokongan yang berterusan kepada Barisan Nasional (BN) yang selama ini, telah terbukti prihatin dengan masalah rakyat termasuk golongan minoriti. ‘‘Masalah kaum India kita bincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet dan kita cuba cari penyelesaiannya. Dan banyak tindakan pun telah kita ambil.
‘‘Atas sebab itu jangan pula kita ambil tindakan yang di luar cara kita. Cara kita berunding ialah dengan mencari persetujuan bersama untuk selesaikan masalah masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum. ‘‘Kita percaya boleh capai (persetujuan) dengan syarat kita berpakat dan bekerjasama. Kerjasama yang tulen bukan hipokrit.,” katanya ketika berucap pada majlis pertemuan dengan masyarakat India di Parlimen Kuala Terengganu di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam; Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan dan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berharap, masyarakat bukan Melayu memahami bahawa UMNO bukanlah sebuah parti yang ekstrem seperti yang cuba digambarkan oleh pemimpin pembangkang. Kata beliau, sebaliknya satu dua kenyataan pemimpin dari parti UMNO yang dibangkitkan pembangkang sebelum ini, bukanlah satu ukuran yang mencerminkan polisi sebenar UMNO.
‘‘UMNO itu parti, satu dua pemimpin yang buat kenyataan yang tak kena, memang kita tak boleh elak. ‘‘Itu bukan gambaran polisi UMNO yang sebenarnya, sederhana. Kita tidak pernah ekstrem. UMNO tidak ada polisi ekstrem. Kita adil kepada semua komuniti dan kaum,” tegas Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan