HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Jumaat, 9 Januari 2009

ISU-ISU DI KUALA TERENGGANU

Hudud: Pakatan Rakyat semakin tidak sehaluan
KUALA TERENGGANU 9 Jan.2009 (Utasan Malaysia 10 Jan.) - Pertikaian di kalangan pemimpin pembangkang mengenai hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud menunjukkan pakatan mereka tidak boleh membentuk kerajaan yang mempunyai dasar bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, parti-parti pembangkang tidak mempunyai polisi bersama, cuma ada pakatan yang agak longgar yang tujuannya hanya untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Menurut beliau, pakatan yang longgar menyebabkan semakin hari semakin banyak perbezaan pendapat timbul di kalangan pemimpin pembangkang. "Apa yang berlaku sekarang jelas menggambarkan mereka tidak ada pendirian bersama.

"Mereka tidak boleh membentuk satu kerajaan yang mempunyai dasar bersama," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menolak hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya berjaya memerintah negara ini.

Anwar juga dilaporkan menolak teguran Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyatakan hukum hudud tidak menepati Perlembagaan Persekutuan dengan menyifatkan kenyataan itu bersifat umum. Mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu tidak perlu menjelaskan kepada rakyat bukan Islam mengenai hudud sebaliknya mahu menjelaskan perkara itu kepada UMNO kata Najib, perkara itu tidak perlu.

Ini kerana menurutnya, sikap pemimpin pembangkang itu menjelaskan bahawa mereka sebenarnya bermain politik sejak dari awal isu hudud dibangkitkan.
"Tak payah hendak jelaskan kepada UMNO, mereka sebenarnya main politik dari mula isu hudud ini," jelasnya. Beliau percaya ramai pengundi bukan Islam tidak senang hati dengan apa yang dinyatakan pemimpin Pas itu mengenai pelaksanaan hukum hudud.



Perjuangan Kebangsaan gagal - Presiden PAS
Khairul Azlam Mohammad Foto Wan Zahari Wan Salleh Sat Jan 10, 09 9:11:07 am (Harakah)
KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Hrkh)- Umat Islam di negara ini diingatkan agar bersama-sama dengan kumpulan yang benar-benar memperjuangkan agama Islam.

Ini kerana, pertarungan yang berlaku terutama di bumi Palestin hari ini adalah antara kebenaran Islam dan kebatilan jahiliah. Demikian jelas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa berkhutbah Jumaat di Masjid Batu Burok, Kuala Terengganu, dekat sini semalam. "Pertarungan yang berlaku di Palestin hari ini ialah di antara kumpulan Hamas yang menegakkan Islam, yang menegakkan syariat Allah SWT dengan kumpulan Arab Palestin yang bermuafakat dan bersama-sama mahu menjatuhkan kumpulan yang menegakkan Islam (Hamas).

"Ada pun, kumpulan Kebangsaan Arab yang berdiri di atas bangsa, yang berjuang di atas tanahair gagal meletakkan Islam sebagai dasar dan matlamat, gagal untuk menjatuhkan kumpulan Islam," tegasnya. Menurutnya, kejatuhan bumi Palestin adalah berpunca dari kelalaian umat Islam sendiri yang meninggalkan ajaran Islam. Namun begitu, kata Ustaz Abdul Hadi ajaran Islam tidak dapat dihapuskan kerana akan bangkit satu golongan dari kalangan umat Islam yang mempertahankannya.

"Wujudnya, negara haram Israel itu adalah perancangan dari musuh-musuh Islam dengan pertolongan kuasa-kuasa besar dunia dan bumi 'ambia' di Palestin dirampas oleh mereka (Israel). "Kejatuhan bumi Palestin adalah berpunca dari umat Islam meninggalkan ajaran Islam tetapi ajaran Islam tidak dapat dihapuskan kerana akan bangkit umat Islam yang mempertahankannya.

"Bangkitnya golongan Hamas adalah kerana janji Allah SWT dan janji Rasulullah s.a.w walau pun mereka bermandi darah dan bumi Palestin di Gaza 'bermandi' darah tetapi perjuangan Islam tidak boleh dihapuskan," jelasnya. Katanya, perjuangan di atas dasar kebangsaan tidak boleh menyelamatkan aqidah umat Islam termasuk tanahair dan bangsa itu sendiri. Menurutnya, Islam merupakan penyelamat kepada bangsa, agama dan tanahair dari anasir-anasir musuh yang mengancamnya.
Prestasi Wahid memuaskan, wakil rakyat yang prihatin - pengundi
Wan Nordin Wan Yaacob Foto Wan Zahari Wan Salleh Sat Jan 10, 09 9:07:28 am
KUALA TERENGGANU, 10 Jan. 2009 (Harakah) - Ramai di kalangan pengundi di beberapa unit peti undi (UPU) yang ditemui di sekitar Parlimen Kuala Terengganu menyatakan sokongan kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut untuk mewakili mereka.

Mamat Ngah yang ditemui di UPU Permint Jaya semalam menyatakan, Abdul Wahid adalah seorang wakil rakyat yang sangat prihatin kepada pengundi di Dun Wakaf Mempelam yang diwakilinya sejak 18 tahun lalu. "Setiap kali ada masalah yang dihadapi penduduk saya dapat maklumat beliau turun ke kawasan bagi melihat sendiri permasalah penduduk, kami di Permint Jaya mengharapkan sangat dapatlah Abdul Wahid ini menjadi wakil rakyat bagi P.Kuala Terengganu ini.
"Kami mahu merasakan khidmat baktinya seperti beliau berikan kepada penduduk di Dun Wakaf Mempelam," katanya dengan penuh semangat.

Abdul Wahid baginya walaupun mewakili Dun yang lain dari tempatnya, namun sering berkunjung di sini bagi bertemu penyokong dan bertanyakan khabar sentiasa, kata Mamat. Sementara itu, Abdul Rashid Sulaiman selaku pengiring kepada Abdul Wahid mengakui setiap tempat yang dilawati calon PAS sepanjang tiga hari kempen (6 hingga 8 Januari) itu mendapat sokongan yang jitu dari pengundi.

Paling ketara, pengundi warga Tiong Hua yang berpusu-pusu bertemu Abdul Wahid tatkala calon PAS itu menziarahi mereka, kata Abdul Rashid yang segak dengan vestnya. "Khidmat beliau selaku wakil rakyat sudah terbukti, oleh sebab itu beliau mampu bertahan selama lebih 18 tahun atau lima penggal, ini saya lihat sendiri dan sudah terbukti," katanya.

Sementara itu seorang pengusaha bengkel logam berbangsa Tiong Hua di Syarikat Logam Utama Trading Berhad di Permint Jaya menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Abdul Wahid. Beliau menyambut kehadiran Abdul Wahid di kilangnya dengan senyuman dan dengan bangga menyatakan akan menyokong Abdul Wahid sebagai wakil rakyat Parlimen Kuala Terengganu.

Sesekali semasa bersembang dengan Abdul Wahid, pengusaha berbangsa Cina itu menyebut nama Abdul Wahid adalah calon yang direstui pemimpin yang menjadi contoh kepada rakyat iaitu, Menteri Besar Kelantan, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sementara semasa lawatannya ke beberapa bengkel di kawasan Perindustrian Permit Jaya, Abdul Wahid tidak menang tangan untuk bersalaman sambil melemparkan senyuman yang ikhlas kepada pengundinya.

Beliau dengan wajah tenang menyantuni golongan pekerja bengkel yang kebanyakan sedang sibuk dengan tugas masing-masing. Ada pekerja yang datang merapatinya sambil memeluk Abdul Wahid dan menyatakan sokongan dengan cukup bersemangat, dan mengharapkan Abdul Wahid melakukan perubahan yang tidak dilakukan oleh pemimpin Umno/BN.

Jadual Abdul Wahid pada 8 Januari sangat ketat, namun panggilan demi panggilan yang diterima bagi mengadakan lawatan termasuk ke rumah seorang pengundi yang mengalami kematian anaknya di Sungai Rengas. Kehadiran beliau bagi melawat Allahyarham, Noraznira Ismail (15) yang meninggal pada 8 Januari memberi penuh makna kepada ahli keluarga Allahyarham.

Seketika selepas melawat keluarga tersebut, Abdul Wahid bergegas ke beberapa tempat lain termasuk untuk bersolat Asar dan Maghrib dengan pengundi. Rutin ini dilakukan Abdul Wahid bukan sahaja semasa kempen kali ini, malah beliau mengamalkannya di Dun Wakaf Mempelam sebelum ini sehingga pengundi di sini 'sayang' kepadanya.
Kehadiran Ezam di Kuala Terengganu bakal kurangkan undi BN?
Wan Nordin Wan Yaacob Sat Jan 10, 09 9:12:10 am
KUALA TERENGGANU, 10 Jan. 2009 (Harakah) - Sumber dalaman jentera Umno di sini menyatakan kebimbangan di atas kehadiran bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor untuk berkempen bagi BN di sini.

Sumber itu mendakwa, Ezam telah terbukti menjadi antara faktor kepada kekalahan Umno/BN dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh 28 Ogos lalu. Ujar beliau, kempen-kempen Ezam yang banyak berkisarkan menceritakan dakwaan keburukan bekas ketuanya, Dato' Seri Anwar Ibrahim membuatkan bukan sahaja pembangkang, malah ahli Umno juga meluat.

Baginya, satu ketika lalu (ketika era reformasi), Ezam adalah orang yang paling lantang menghentam Umno dengan pelbagai tuduhan. Namun kini Ezam adalah orang yang menjilat semula apa yang dikecam sebelum ini, malah menjadi 'ayam sabung' kepada kempen BN di Permatang Pauh, katanya. Akhirnya kehadiran Ezam di sana (Permatang Pauh) turut menyumbang kepada kekalahan calon BN, Dato' Ariff Shah Omar, katanya.

Justeru bagi beliau, kehadiran Ezam di Kuala Terengganu juga mungkin akan mengulangi peristiwa yang sama seperti di Permatang Pauh. Dalam beberapa edaran risalah di sekitar masjid dan barong-barong Umno, Ezam dan beberapa rakannya dijadualkan akan memulakan kempen pada 9 Januari di beberapa lokasi termasuk di Flat Kolam.

Sebelum ini, Ketua AMK Terengganu, Fariz Musa telah melaungkan cabaran kepada Ezam agar mendedahkan 'enam kotak rahsia' berhubung rasuah dalam Umno yang pernah dilaungkan Ezam satu ketika lalu. Menjawab cabaran itu, Ezam mendakwa enam kotak rahsia itu sebenarnya ada di tangan Anwar.

'Sambutan luar biasa orang Cina terhadap calon PAS' - Dato' Ngeh Koo Ham
Khairul Azlam Mohamad Sat Jan 10, 09 8:49:41 am
KUALA TERENGGANU,10 Jan. 2009 (Harakah)- Sambutan masyarakat Tionghua terhadap calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil P.036 Kuala Terengganu amat luar biasa kali ini.

Pendirian tersebut dinyatakan sendiri oleh Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Koo Ham hasil kempennya di Kampung Tiong dan Kampung Cina, Kuala Terengganu.
"Saya terperanjat dan begitu baik sekali sambutannya. Orang Cina sekarang bukan lagi macam orang Cina dahulu. Orang Cina takutkan PAS dan orang Melayu takutkan DAP kerana fitnah, ugutan dan 'benda-benda' (perkara) yang tidak betul," ujarnya ketika ditemui di Kampung Cina, baru-baru ini.

Katanya, pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) sering kali menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP dan menakutkan orang Cina terhadap PAS. Menurutnya, orang Cina sekarang ini sudah terbuka minda terutama setelah melihat kepada perwatakan dan peribadi Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur, Air, Kemudahan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Perak berpendapat meski pun MB Perak dari kalangan orang PAS namun beliau seorang pemimpin yang baik. "Orang Cina sekarang sudah terbuka terutama melihat kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohamad Nizar, sungguh pun dia orang PAS tetapi dia (Nizar) adalah pemimpin yang begitu baik, mentadbir dengan baik dan melayan semua orang dengan baik," jelasnya kepada Harakahdaily.

Kini katanya, orang Melayu, Cina, India dan orang Asli di seluruh negara ini telah mengetahui kesemua cerita fitnah dan bohong pemimpin Umno-BN itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan