HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Khamis, 8 Januari 2009

BULAN CERAH DI KT

Tawaran PAS di KT jauh lebih baik daripada BN
Abu Firdaus Fri Jan 09, 09 2:32:28 am (Harakah)
Ada satu kepercayaan bahawa wakil rakyat BN sebelum ini menang kerana ketokohannya. Malah dalam kempen, dinyatakan calon BN yang bertanding di Kuala Terengganu sekarang akan meneruskan wawasan wakil terdahulu.

Perhatikan fakta pilihan raya. Daripada tiga calon yang bertanding 8 Mac tahun lalu, calon BN menang dengan kelebihan kecil undi. Tetapi jika dikirakan undi yang menolak BN, jumlah undi calon PAS dan Bebas selepas disatukan boleh mengalahkan BN.

Maknanya undi yang menolak BN berpecah antara PAS dan Bebas. Tetapi jika dicantumkan jumlah undi, maka calon akan BN kalah. Bagi yang mengenali wakil rakyat BN terdahulu, maka banyak pihak menyatakan rasa senang. Jadi, mengapakah dalam pilihan raya lalu, pengundi Kuala Terengganu tidak secara lebih semarak menyokong BN? Jawabnya, pengundi menolak BN kerana parti, bukannya calon.

Kali ini PAS menawarkan calon yang jauh lebih menarik daripada calon BN. Justeru, ia diharapkan dapat menariki pengundi yang lebih. Tetapi masalahnya ialah kedudukan parti. Kalau dahulu PAS hanyalah salah sebuah parti pembangkang yang kehadirannya di Terengganu agak kuat. Kekuatan PAS di Terengganu banyak dinilai kepada kejayaan meraih kemenangan dalam pilihan raya tahun 1999. Tetapi pada masa itu kemenangan PAS dikaitkan dengan isu Anwar Ibrahim di samping penolakan pengundi terhadap BN pimpinan Wan Mokhtar.

Maka dalam pilihan raya umum tahun 2004, gelombang BN menang di Terengganu, maka dikatakan dua isu tersebut sudah tidak ada. Pertama, kerajaan Wan Mokhtar sudah tidak ada dan Idris Jusoh menawarkan harapan baru. Kedua, isu Anwar sudah tidak menjadi penting. Tetapi satu perkara yang perlu diambil kira ialah rekod kerajaan PAS yang didakwa tidak begitu baik.

Sungguhpun begitu, sepanjang pentadbiran Idris Jusoh sudah timbul pelbagai isu yang mempertikaikan rekod kerajaan BN. Maka harapan PAS adalah untuk memenangi kembali Terengganu. Antara penyebab harapan itu ialah keupayaan rakyat Terengganu untuk memilih PAS.

Maka apabila dicula mengenai politik nasional, menjelang pilihan raya 8 Mac, harapan besar ialah kemampuan pembangkang untuk meraih Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu walaupun BN masih menaruh harapan untuk menang di Kelantan.

Hasilnya memeranjatkan. Kejayaan pembangkang meraih Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor memeranjatkan. Tetapi kegagalan PAS menang di Terengganu juga patut memeranjatkan. Mengapakah dalam keadaan sentimen anti-BN memuncak, ia gagal menarik pengundi Terengganu untuk memenangkan PAS?

Lebih-lebih lagi perkara yang orang tidak suka terhadap pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi juga berpunca daripada Terengganu. Isu seperti Monsoon Cup dan projek-projek berkaitannya juga mempunyai hubungan dengan kepimpinan BN Pusat. Maka dalam hal ini, ada dua sebab. Pertama, mungkin rakyat Terengganu dapat menerima kepimpinan Idris Jusoh. Kedua, rekod kerajaan PAS masih mempengaruhi rakyat Terengganu.

Tetapi apa yang disebut sebagai rekod buruk pentadbiran PAS Terengganu juga adalah suatu mitos. Kerajaan PAS Terengganu tidaklah teruk berbanding dengan kerajaan negeri Kelantan. Ia juga jika diteliti jauh lebih baik daripada pentadbiran Wan Mokhtar.

Walaupun tidak menang Terengganu, PAS mencapai pencapaian lebih baik berbanding tahun 2004. Namun kejayaan itu tidaklah mencecah sampai kepada kemampuan menubuhkan kerajaan negeri. Mungkin rakyat Terengganu mahu memberi peluang sekali lagi kepada BN bagi memperbaiki keadaan.

Tiba-tiba keputusan 8 Mac 2008 yang memihak kepada pembangkang mengejutkan seluruh Malaysia tentunya termasuk Terengganu. Tentu orang Terengganu juga tertanya-tanya, mengapa negeri lain menukar kerajaan negeri sedang mereka tidak melakukannya?

Sememangnya ketika mereka membuang undi pada 8 Mac, tidak ada yang terfikir bahawa pembangkang sudah begitu kuat dari segi mendapat sokongan rakyat. Kini di Kuala Terengganu, bukan PAS yang menghadapi BN tetapi Pakatan Rakyat seluruhnya. PAS tidak berdiri bersendirian, sebaliknya merupakan sebahagian daripada Pakatan Rakyat.

Sememangnya pada tahun 1999, PAS juga adalah sebahagian daripada Barisan Alteranatif yang terdiri daripada Parti Keadilan Nasional, DAP dan Parti Rakyat. Tetapi di Terengganu, Barisan Alternatif hanyalah terdiri daripada dua parti iaitu PAS dan Keadilan. Bagaimanapun setelah PAS menang, kerajaan negeri dilihat sebagai kerajaan PAS dan bukannya Barisan Alternatif.

Kali ini kedudukannya adalah berbeza. Malah berbeza daripada 8 Mac 2008. Kalau dahulu, PAS walaupun dalam Barisan Alternatif tetapi tetap lebih pada bersendirian di Terengganu, tetapi kini suasana dalam Umno berbeza, antara kerajaan negeri sekarang dan dahulu, walaupun kedua-duanya daripada parti yang sama, berdepan pula dengan PAS yang sudah tidak bersendirian lagi.

PAS masuk pilihan raya kecil sebagai sebahagian daripada Pakatan rakyat. Sebab itu KeADILan dan DAP turut turun dan ini memberikan wajah baru kepada parti ini berdepan dengan pengundi-pengundi Terengganu terutamanya anak-anak mdua yang mahukan pembaharuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan