HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Ahad, 11 April 2010

KEDAH AGRO

Ternakan itek telur di kampung Bukit Lala, Pokok SenaiUsaha kerajaan negeri merakyatkan projek-projek pertanian mendapat sokongan padu daripada Kedah Agro Holdings Berhad bagi meingkatkan taraf ekonomi rakyat serta meningkatkan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) sektor pertanian negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, dalam usaha memaksimakan penglibatan rakyat dalam program pertanian, kerajaan negeri juga dapat mengurangkan import produk makanan.

“Adalah menjadi hasrat Menteri Besar untuk melibatkan rakyat dalam sektor pertanian, tetapi adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan pasaran terlebih dahulu bagi mengelakkan kos pengeluaran yang tinggi serta memastikan rakyat mendapat hasil daripada usaha mereka.

“Oleh itu Kedah Agro bukan sahaja membantu meningkatkan pertumbuhan sektor pertanian, malah mereka (Kedah Agro) juga perlu memastikan penglibatan rakyat semaksimum yang mungkin dalam projek-projek pertanian negeri,” ujar beliau pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Projek Kumpulan Kedah Agro di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurut beliau, perjanjian yang ditandatangani pada hari ini adalah sebahagian daripada projek yang dirancangkan melalui Kedah Agro Holdings Berhad dan merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerajaan dalam merakyatkan program ekonomi.

Memorandum persefahaman antara Kedah Agro Plantations Sdn Bhd (KAPSB) dengan pemilik tanah terbiar di Kampung Teluk Sera, Sidam Kanan, Kulim membabitkan keluasan tanah 20 hektar yang bakal ditanam dengan kelapa sawit.

“Projek usahasama ini merupakan CSR kita, di mana penduduk kampung dikehendaki menyediakan tanah, manakalan Kedah Agro menyediakan modal serta pengurusan penanaman kelapa sawit yang mana keuntungan akan diagihkan sama rata, iaitu 50-50.

“Penglibatan 24 peserta dalam projek ini telah ditetapkan dalam tempoh 15 tahun, kos pelaksanaan adalah RM220,000 telah dipinjamkan oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah dan akan memulakan operasi pada 1 Mei.

“Melalui projek ini diharap dapat meningkatkan taraf hidup penduduk kampung, dan merupakan projek perintis sebelum ianya dikembangkan ke tanah-tanah terbiar yang lain,” jelas beliau.

Tambah beliau, projek usahasama kedua adalah projek pengumpulan kuarantin dan penjualan lembu daging di Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu antara Kedah Agro Livestock Sdn Bhd dengan Green Agro Sdn Bhd di atas tapak seluas 46.8 ekar.

“Kedah Agro Livestock menyewa tapak ini daripada PKNK selama 10 tahun, dan projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Green Agro sebanyak RM2 juta.

“Apabila lembu dikuarantin di kampung ini, maka sudah tentu lembu-lembu ini memerlukan makanan, maka ia memerlukan penglibatan penduduk kampung untuk menyediakan makanan tersebut, ianya dicaj, jadi ianya menjadi peluang penduduk kampung meningkatkan pendapatan mereka,” ujar beliau.

Projek ketiga merupakan perjanjian usahasama antara Kedah Agro Aquaculture Sdn Bhd dengan syarikat bumiputera Golden Protections Sdn Bhd dari Pulau Pinang bagi penternakan dan pembenihan ikan kerpau harimau.

“Projek ini juga akan melibatkan penduduk tempatan dan kos RM10 juta dibiayai oleh sepenuhnya oleh Golden Protections Sdn Bhd, manakala Kedah Agro Aquaculture menyediakan kemudahan peralatan serta tenaga mahir dalam bidang ternakan ikan kerapu harimau,” jelas beliau.
(Sumber : Warta Kedah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan