HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Khamis, 24 September 2009

TENANG, ELAKKAN SIFAT MARAH

Tekanan atau stres berpunca daripada sifat semula jadi yang tidak stabil seperti terlalu inginkan kemenangan, bersikap terlalu mementingkan kesempurnaan, suka mendesak, risau keterlaluan, tidak mahu menerima teguran, bersangka buruk dan berdendam.

Bagi menghindarkan diri daripada keadaan ini, kita perlu menangani tekanan dengan bijak. Jika tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat mengawal perasaan tertekan dengan bijak.

Cabaran hidup sekarang mendedahkan kita kepada pelbagai bentuk tekanan dan cara menghadapinya banyak bergantung kepada ketahanan diri. Mereka yang berjaya menangani tekanan, akan berjaya menguruskan diri.

Hakikatnya, ujian tekanan adalah perkara lumrah selagi kita bergelar manusia. Ujian yang mendatang sama ada dalam bentuk yang kita suka atau sebaliknya ada kalanya menjadikan seseorang itu lebih kuat.

Namun, tidak kurang yang terjebak dalam perkara negatif kerana gagal menangani tekanan seperti bergantung hidup kepada pengaruh dadah, membiarkan diri tidak terurus serta meneruskan hidup dalam tekanan.

Antara punca tekanan ialah sifat semula jadi, terlalu mengharap yang terbaik, tidak dapat menerima teguran orang lain, cemburu dengan kejayaan orang lain, kerja yang membosankan dan pelbagai sebab lagi, bergantung kepada bagaimana seseorang itu melihat sesuatu keadaan.

Punca tekanan boleh dikenal pasti melalui perubahan emosi seperti cepat marah, mudah menangis dan sentiasa bersedih, kecewa, hampa, mudah mengamuk, prestasi merosot, kekeringan idea, sukar tidur dan hilang selera makan.

Untuk mengatasinya, berdoa adalah jalan terbaik sama ada selepas solat fardu atau sunat, adalah cara untuk memohon pertolongan dari Allah, Bangun solat sunat di tengah paling sesuai doa di mustajabkan oleh Allah. Jika sekiranya doa kita belum tertunai, janganlah berputus asa, lakukanlah berulang-ulang kerana masanya mungkin belum tiba. Doa melindungi kita daripada tekanan termasuk doa ketika berasa takut, doa memohon diselamatkan daripada bala dan doa ketika marah.

Tekanan mungkin tidak dapat dihilangkan sepenuhnya, tetapi hidup akan lebih mudah.Pekara yang paling penting hendaklah kita sentiasa bersabar dalam menghadapi musibah serta tekanan hidup di dunia ini demi mencapai kehidupan yang lebih bermakna di Dunia dan Akhirat.


“Hai anakku; usahakanlah dan jagalah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”
(Nasihat Luqman Hakim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan