Melihat telatah kanak-kanak, dapat dirasakan dengan jelas perbezaan keseronokan yang dikecapi dalam bergerak, bermain dan bergembira. Bagi kanak-kanak, semua perkara merupakan satu pengalaman baru yang perlu diterokai, sementara ada di antara golongan dewasa seakan hilang rasa teruja terhadap persekitarannya.
Bolehkah semua ini digalaskan puncanya terhadap suasana kerja dalam zaman moden yang pantas dan menyerabutkan kepala? Mungkin frasa kata bekerja untuk hidup (mencari rezeki) kini lebih sesuai ditukar kepada hidup untuk bekerja. Mungkin disebabkan keinginan mengejar kemewahan ataupun aplikasi teknologi moden dalam pekerjaan telah memaksa ramai pekerja menghabiskan lebih banyak masa di pejabat daripada di rumah.
Balik ke rumah juga cuma untuk tidur, kadang kala hanya untuk beberapa jam sebelum terpaksa bangun awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas untuk ke pejabat semula. Bertuah sekali bagi golongan pekerja yang tidak terperangkap dalam rutin 'maut' yang menambah tekanan mental dan fizikal kerana akhirnya ia bukan sahaja akan merosakkan badan pekerja, malahan memberi kesan kepada organisasi yang mengupah mereka.
Memandangkan kita menghabiskan lebih masa masa di tempat kerja, jangan biarkan diri terperangkap dalam gaya hidup yang boleh merosak dan menjejaskan kesihatan diri. Kaedah mudah seperti banyakkan berjalan, menggunakan tangga (bukannya lif), menjaga apa yang dimakan dan tidak merokok untuk memastikan diri kekal sihat.
Majikan juga boleh menonjolkan sifat prihatin dengan menyediakan sedikit kemudahan untuk bersenam (gim) dan kafeteria yang menghidangkan pilihan makanan seimbang. Bagi sesebuah organisasi, kesihatan kakitangan menjadi tunjang kejayaan dan kelangsungan mereka.
Kehilangan orang tersayang akibat penyakit jantung, malahan majikan akan kehilangan tenaga kerja di usia mereka paling produktif. Saringan dari ketika diri masih sihat juga sebenarnya melindungi dari bebanan kos rawatan jika mengalami penyakit jantung.
Kos rawatan pesakit dengan masalah jantung boleh melangkaui RM20,000, dan ini belum termasuk kos rawatan susulan. Pembedahan, prosedur rawatan, ubat dan kos ditahan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) menelan belanja besar bagi seseorang pesakit jantung.
Kos ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya terdapat komplikasi semasa rawatan. Untuk itu, pemeriksaan berkala dan pencegahan dari awal dapat menyelamatkan anda dari beban kewangan untuk rawatan penyakit jantung kelak.Kos rawatan yang besar ini juga pasti menjejaskan kewangan majikan, terutamanya jika terpaksa menanggung rawatan untuk ramai kakitangan dengan masalah jantung.
Untuk itu, jangan diabaikan atau diambil mudah kelebihan saringan dan pemeriksaan berkala yang hanya menelan belanja kecil berbanding rawatan selepas sakit. Kita sering kali menganggap semua orang tiada masalah jantung. Pemeriksaan kesihatan jantung selalunya diabaikan selagi seseorang itu kelihatan sihat atau tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit. Pemeriksaan jantung sepatutnya dimulakan ketika kita masih sihat lagi, bukannya selepas sudah sakit. Periksa dari awal! Jika tiada masalah, boleh ulang saringan selepas satu atau dua tahun.
Pemeriksaan berkala dari ketika badan masih sihat dapat memastikan tiada masalah pada jantung dan juga dapat mengesan sebarang masalah dari peringkat awal. Jika kerosakan jantung lewat dikesan, dan pada usia yang sudah lanjut, pasti amat sukar untuk memulihkan dan merawat masalah tersebut.
Selain kolestrol tinggi (makanan berlemak), tekanan darah tinggi, diabetes, tekanan (stres), obesiti dan kurang bersenam, peranan rokok terhadap masalah jantung juga perlu di ambil kira, Pekara ini masih sukar dikawal sepenuhnya memandangkan rokok menjadi sumber pendapat pihak tertentu.
Walaupun beberapa langkah sebelum ini masih kurang memberi kesan terhadap tabiat buruk ini, tindakan kerajaan meningkatkan jumlah tempat larangan merokok dilihat dapat membantu mengurangkan kesan asap rokok.
Kalangan masyarakat perlu menghalang tabiat merokok di kalangan remaja dan kanak-kanak lagi untuk menghalang bilangan perokok terus meningkat. Jangan dilupa, masih banyak pesakit yang mengalami masalah atau penyakit jantung akibat rokok.
Jika pemeriksaan mengesan sesuatu masalah sekalipun, kita masih mempunyai pilihan seperti mengubah gaya hidup, pemakanan dan senaman sebelum perlu mengambil sebarang ubat atau rawatan. Peliharalah jantung anda supaya tidak luput nyawa secara tiba-tiba.
(Sumber : Kesihatan, Utusan Malaysia)
(Sumber : Kesihatan, Utusan Malaysia)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan