HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Sabtu, 29 Ogos 2009

TERNAKAN KAMBING BOER DI JABI

@ tiblakedah.blogspot.com
Boer merupakan baka kambing yang paling popular dan mendapat perhatian penternak-penternak kambing sejak kebelakangan ini. Walaupun terdapat baka lain seperti saanen, jamnapari dan anglo-nubian yang juga mempunyai harga pasaran tinggi, boer menjadi pilihan para penternak kerana ia merupakan baka kambing pedaging terbaik.

Ini kerana boer yang berangka besar boleh mencecah berat melebihi 100 kilogram dan mempunyai nisbah daging yang tinggi berbanding tulang. Dagingnya juga dianggap lebih berkualiti berbanding kambing biasa dan dengan harga RM38 hingga RM40 sekilogram, ia tentunya menjanjikan pulangan lumayan.

Melihat kepada potensi yang ada pada baka kambing yang berasal dari Afrika Selatan itu, Encik Miswari 38 tahun seorang bekas pelajar di Universiti Putera Malaysia memberanikan diri mengambil keputusan untuk bersara awal untuk melaksanakan projek ternakan kambing boer di kawasan seluas 1.5 hektar di Jabi di kawasan Pokok Sena Kedah pada 2004.

Katanya, fasa pertama projek tersebut menelan kos sebanyak RM80,000 bagi membeli 50 induk baka boer dari Australia serta membina infrastruktur termasuk ladang, padang ragut dan rumah pekerja.

''Sekarang kita sudah ada 100 ekor kambing boer dan dengan tambahan 100 ekor lagi pada September ini, kita harap dapat membiakkannya menjadi 300 ekor dalam tempoh dua tahun," katanya ketika ditemui di di pekan Pokok Sena baru-baru ini.

Bagi rancangan jangka panjang, Encik Miswari yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan berhasrat untuk membangunkan ladang ternakan itu sebagai pusat pengeluaran kambing boer secara bersepadu termasuk menghasilkan makanan serta ubat-ubatan sendiri.

''Ada syarikat yang melahirkan minat untuk membina kilang memproses pelepah sawit kepada palet (makanan kambing) dan mereka sedang membuat kajian mengenainya tetapi ia mungkin memakan masa. ''Selain itu, kita juga menaman rumput napier di kawasan seluas dua hektar di kawasan ini untuk makanan kambing boer ini," kata encik Miswari.

Katanya, sistem ladang yang ada sekarang adalah terbaik kerana menggunakan sistem lantai berbanding pasir sebelum ini bagi membantu kambing boer menjadi lebih produktif. "Pada masa sama, kita turut melantik konsultan dari jabatan veterinar yang akan datang membuat pemeriksaan kesihatan terhadap kambing boer antara dua hingga tiga kali sebulan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan