Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan. Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis qudsi: "Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian".
Munajat dan rintihan mereka menjadi perhiasan malam hari dalam usaha mendamba kasih-Nya. Mereka benar-benar telah mendambakan cinta dan kasih al-Khaliq. Cahaya kasih itu pula terpancar dari kalam nasihat dan bicara mereka buat umat. Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari nur dan cinta Allah SWT.
Seperti mana hamba yang bertaubat, kelihatan bersih bercahaya dan sentiasa merendah diri kepada Allah. Pohonlah kemaafan kepada sesama kita dan kembalikan hak mereka jika ada yang ‘tidak kena’. Inilah jalan keluar yang hakiki daripada kemelut yang ada. Jika itu berlaku maka, Allah berfirman: (maksudnya) “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka segala keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah al-‘A’raf: 96).
Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta ilahi. Cinta Tuhan Yang Maha Tinggi, yang menyifatkan sifat cinta, kasih dan rahmat pada diri-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud: Dialah Tuhan Yang telah menurunkan hujan setelah mereka (manusia) berputus asa dan Dia sentiasa menyebarkan rahmat-Nya serta Dialah Tuhan yang mengurniakan pertolongan dan Tuhan Yang Maha Terpuji. (asy-Syura: 28). Wallahu a'lam
(sumber : koleksi himpunan taubat)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan