HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Isnin, 7 Disember 2009

PADI ORGANIK

Rombongan Kerja Kedah Agro Holdings Berhad yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Anuar Tahir telah mengadakan lawatan ke tapak percubaan padi organik berasaskan kaedah SRI (Sistem of Rice Intensification) di Salor, Kelantan.

Menurut pembimbing utama projek tersebut, Encik Aidi Sharifuddin, Projek ini bertujuan untuk menghasilkan hasil padi yang lebih bermutu, lebih tuaian, kos pengurusan yang minimum serta mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Katanya, kaedah yang beliau gunakan di Salor ini adalah penanaman secara manual berasaskan benih tunggal. Kaedah ini mampu untuk menghasilkan anak padi yang lebih kuat dan tegap, yang bakal dapat menampung buah padi yang lebih lebat lagi.

“Saya yakin insya’ Allah kita akan dapat menghasilkan lebih dari 150 butir padi setangkai berbanding kira-kira 30 – 60 butir setangkai pada padi yang ditanam menurut kaedah sebelumnya,” ujar beliau dalam taklimat yang disampaikan kepada peserta rombongan.

Projek padi organik tersebut digerakkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Perancangan Ekonomi dan Kebajikan Negeri Kelantan, YB. Dato’ Haji Husam Musa. Beliau yang turut hadir dalam program taklimat tersebut memaklumkan bahawa keperluan untuk mengembalikan penanaman padi kepada kaedah organik ialah kerana ianya mampu mengurangkan kesan pemanasan bumi yang semakin meningkat dan parah (global warming).

Menurut beliau, kaedah penanaman padi secara komersil yang menggunakan baja-baja dan racun-racun berasaskan bahan kimia telah mengubah ekologi dan membunuh pelbagai hidupan serta flora dan fauna yang menjadi punca pendapatan sampingan petani seperti ikan keli, ikan haruan dan sebagainya.

“Saya percaya sekiranya kaedah penanaman padi dapat dikembalikan kepada cara penanaman organik, rakyat akan menikmati hasil padi yang lebih berkualiti, memberikan keuntungan yang lebih kepada para pesawah disamping dapat membantu mengimbangkan ekologi kearah yang lebih baik lagi,” ujar beliau.

Kunjungan tersebut telah memberikan peluang kepada Kedah Agro Holdings untuk bertukar maklumat disamping mempelajari kaedah baru dalam penanaman padi organik.
(Sumber : Warta Kedah)

Ke Arah Kehidupan yang Lebih Hijau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan