Saya masih ingat, apabila hujung minggu saya suka ikut emak mencari lokan di kawasan hutan bakau. Ia terletak berhampiran laut yang terletak di Sungai Tiram di Daerah Pasir Panjang Perak. Dalam hutan bakau inilah lokan diperolehi. Manakala kayu bakau banyak digunakan oleh orang kampung untuk membuat rumah dan lantai penyalai kelapa kering. Mungkin hanya orang yang tinggal di sekitar pantai sahaja ambil tahu tentang pengunaannya.
Kini saya amat sedar bahawa hutan ini amat penting dan mahu maklumat mengenainya disebarkan kepada lebih ramai orang. Terlalu banyak manfaatnya untuk kita semua. Saya melihat kepentingannya untuk manusia di zaman ini dan generasi akan datang. Generasi muda perlu dipupuk dengan semangat cintakan hutan bakau. Apa yang pernah fikirkan dahulu bukanlah sesuatu yang menghairankan. Bahkan, memang ramai yang tidak mengambil tahu mengenai hutan paya laut yang menjadi 'garis pantai'.
Pernah satu kajian pada tahun lalu melaporkan, tidak sampai 10 peratus daripada penduduk dunia tahu tentang kepentingan garis pantai dan sebab berlakunya hakisan pantai. Saya mulai sedar setelah banyak meneliti, membaca dan melihat sendiri belakunya kejadian tsunami yang mengakibat hakisan pantai yang dasyat belaku di Negara jiran kita yang mana tempiasnya juga kita dapat rasai.
Hutan bakau amat penting dikekalkan supaya dapat bertindak sebagai benteng pertahanan kawasan daratan di sepanjang pesisiran pantai atau garis pantai. Jika ia ditebang sesuka hati tanpa ditanam semula, ia akan mengakibatkan kemusnahan yang teruk terhadap kawasan persekitarannya.
Hutan bakau merupakan tempat tinggal lebih daripada 60 spesies tumbuh-tumbuhan. Antara spesies utama yang paling dikenali adalah api-api ludat, bakau minyak, bakau kurap, perepat dan berus tumu.
Hutan bakau menyediakan ekosistem yang mengagumkan. Hutan yang terletak di antara laut dan darat itu mampu menstabilkan pesisiran pantai, tebingan sungai dan dapat memberi perlindungan kepada tebing dari arus pasang surut, ombak dan ribut. Tumbuhan berakar ceracak itu sebenarnya bersifat dinamik.
Hutan bakau berfungsi untuk menyerap tenaga ombak yang membadai daratan. Konsepnya serupa seperti jalan yang mempunyai bumper bagi memperlahankan kelajuan kenderaan. Tetapi, perlu difahami bahawa hutan paya bakau tidak mengurangkan jangkauan ombak ke daratan, sebaliknya ia hanya mengurangkan tenaga pukulan ombak. Jangkauannya adalah bergantung kepada topografi kawasan berkenaan. Hutan bakau mampu menyerap 70 hingga 90 peratus tenaga ombak biasa dan menyerap 30 hingga 40 peratus tenaga ombak tsunami atau taufan.
Hutan bakau itu juga penting sebagai tempat perlindungan hidupan laut seperti ikan, udang dan ketam. Ia menjadi tempat untuk hidupan ini berlindung terutamanya bagi anak-anak ikan sebelum ia membesar dan bermigrasi ke laut. Jika hutan ini tidak wujud, anak-anak ikan ini sukar untuk berlindung daripada haiwan pemangsa yang lebih besar sekali gus boleh menjejaskan kehidupannya. Natijahnya hidupan laut akan berkurangan.
Di samping hidupan laut, hutan bakau juga menjadi habitat pelbagai spesies haiwan seperti burung migrasi. Ia menjadi tempat persinggahan bagi burung-burung ini untuk melengkapkan kitaran kidupnya.
Kita memahami bahawa meskipun kemusnahan hutan bakau sering dikaitkan dengan pembangunan dan pihak tidak bertanggungjawab, namun faktor alam seperti pemanasan global dan hakisan ombak juga boleh memusnahkannya.
Apapun, di bahu kita sebagai penghuni bumi ini terletak anggungjawab untuk memelihara dan melindunginya selagi termampu. Di samping kita melindungi atau memuliharanya, kita juga perlu mengamalkan gaya hidup yang mampu mengurangkan impak pemanasan global demi menyelamatkan hutan bakau.
Gambar video : Kawasan pesisiran pantai hutan bakau di Langkawi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan