Bersantai atas pangkin berbumbungkan atap nipah sambil angin sepoi-sepoi bahasa sejuk mengelus tubuh dan dihidangkan pula dengan ubi rebus cicah kelapa parut lemak-lemak manis serta secawan kopi o yang kurang gulanya memang mengasyikkan. Datang pula sepiring pisang rebus bercicah kelapa manis atau lempeng tepung bercampur kelapa yang enak dicicah sambal ikan bilis. Jika anda dibesarkan di kampung, tentu pengalaman di atas menggamit nostalgia lama yang cukup indah.
Kenangan yang hadir bukan sahaja kerana mengingati enaknya makanan kampung yang terhidang tetapi juga suasana keheningan desa dengan pemandangan rumah-rumah kayu beratapkan daun nipah yang cukup mencuit perasaan.
Tentu ada di kalangan kita yang masih ingat bila kita mandi manda di sungai yang berdekatan dengan rumah kita, kita dapati air sungai masih jernih bersih dan tidak tercemar dengan arus pembangunan.
Bagi kami penduduk kampung di kawasan Bukit Lala Pokok Sena masih dapat menikmati suasana yang kami impikan dengan kehijauan pokok-pokok getah, pokok palas, berbagai jenis tumbuhan, burung-burung dan sawah padi yang terbentang luas mengamit anda untuk menemui kami disini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan