HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Khamis, 27 Mei 2010

KERAMAHAN MASYARAKAT KAMPUNG ASET HOMESTAY TARIK PELANCUNG

Padi yang kini sudah berumur sebulan kelihatan subur menghijau cantik mata memandang.Lokasi: sawah padi di kampung Bukit Lala, Pokok Sena.Panorama hijau segar yang mempamerkan pemandangan indah berlatarkan bukit-bukau, sungai dan jalan tanah merah yang tidak berturap menyerlahkan lagi keaslian suasana hidup di kampung yang penuh ketenangan.

Kegiatan memancing ikan di waktu petang di kawasan sawah Tualang, Pokok Sena, Kedah.
Menyedari keunikan ini, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Persatuan Homestay Malaysia menganjurkan Program Homestay dan Khidmat Masyarakat di Kampung Hujung Bukit, Perlis, baru-baru ini.

Menjual hasil tangkapan ikan ke pekan Pokok Sena, Kedah.
Pelajar Sarjana Teknologi Maklumat yang berasal dari Iraq, Harith Azam Abdullah, berkata, mengalami sendiri gaya hidup kampung di Malaysia merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan dan manis untuk dikenang.

Sikap peramah memudahkan hasil dijual dengan mudah dan ada sikap tolong menolong. Suasana pagi di Pasar pekan Pokok Sena, Kedah.
“Penduduk kampung terutamanya keluarga angkat saya sangat peramah dan baik hati. Mereka menyediakan masakan kampung dan pelbagai juadah tempatan yang menyelerakan,” katanya. Ujarnya, mereka menunjukkan cara memasak makanan tradisional seperti sambal belacan dan ulam-ulaman.

Banyak perkara baru yang dipelajari selain penguasaan bahasa Melayu yang bertambah baik setelah bersama mereka.Jelasnya, program bersama keluarga angkat mengajar beliau untuk menghormati nilai-nilai budaya Malaysia di samping menghilangkan rasa rindu terhadap kampung halaman.Manakala.

Pelajar dari Somalia Mohamed Hassan Abdilahi, berkata, program ini memberi peluang kepada pelajar antarabangsa mendekati masyarakat kampung di samping memberi pendedahan mereka terhadap budaya sebenar masyarakat Malaysia.

Rumah tridisional di Kubang Pisang, Kubur Panjang, Pendang.
“Kami berpeluang beramah mesra terutamanya ketika bergotong-royong untuk menjalin hubungan yang lebih akrab dengan masyarakat kampung. Ini merupakan cara yang baik untuk memerhati, mempelajari dan mengenali dengan lebih dekat lagi tentang budaya dan cara hidup rakyat Malaysia,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat yang kini menuntut dalam semester lima.

Ujarnya, aktiviti berkumpulan membantunya untuk berkomunikasi dengan berkesan selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim.

Selesai membetulkan laluan air ke tapak sawah padi.
“Hidup di kampung amat menyeronokkan. Saya tertarik melihat anak-anak kecil bermain permainan tradisional di waktu petang dan pulang ke rumah sebelum senja untuk mengerjakan solat berjemaah.“Sebelum ini saya tidak pandai makan menggunakan tangan, tetapi kini saya sudah mahir setelah mempelajari adat resam dan budaya orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah CIAC, Lt. Kol. Prof Dr Abdul Razak Chik, berkata, program yang disertai 30 pelajar tempatan dan antarabangsa dapat memberi nilai tambah kepada pembangunan kemahiran insaniah pelajar antarabangsa untuk melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan inovatif.

Jelasnya, bilangan pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia semakin bertambah dan mereka menjadi ‘duta kecil’ Malaysia di negara masing-masing sekali gus membantu mempromosikan pengajian tinggi di Malaysia.


“Program ini menunjukkan keprihatinan kementerian dan UUM terhadap pembangunan pelajar antarabangsa di samping memastikan mereka mendapat pengalaman berguna sepanjang berada di Malaysia seterusnya mempromosikan pengajian tinggi Malaysia di negara masing-masing,” katanya.

Tambahnya, objektif program ini adalah selaras dengan Teras 2 Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara(PSPTN) iaitu Menambah Baik Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran serta Agenda Kritikal iaitu Pembangunan Sahsiah Pelajar Holistik.

“Dengan adanya penganjuran program seumpama ini membuka peluang kepada pelajar untuk membuat networking dengan berkomunikasi dan bekerja dalam kumpulan tanpa mengira perbezaan latar belakang budaya, ideologi dan negara,” katanya. Menurutnya, ia turut memupuk sifat-sifat positif dalam diri dan nilai profesionalisme berorientasikan matlamat, beretika tinggi dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar.
(Sumber : Warta Kedah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan