HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Jumaat, 18 Jun 2010

POKOK MENGKUANG

Pokok mengkuang hidup subur di kawasan paya di kampung Bukit Lala, Pokok Sena.@tiblakedah.blogspot.com
Pokok mengkuang mudah diperolehi di kampung kami. Ia boleh diperoleh di tepi sungai atau paya. Daun mengkuang yang tua dipotong dari batang pokoknya sehelai demi sehelai, kemudian pangkalnya diratakan dan hujungnya dipotong sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas api. Biasanya orang kampung menggunakan daun kelapa yang kering atau sabut untuk melayur daun mengkuang.

Tikar mengkuang dijadikan hiasan dinding bilik bacaan.

Setelah daun mengkuang dilayur sehingga layu dan dibuang batang dan durinya dengan alat yang dipanggil jangka sehingga selesai, daun tadi diikat dan direndam dalam air selama seminggu. Setelah seminggu direndam, keluarkan daun mengkuang dan toskan airnya seterusnya dijemur sehingga kering.
Setelah daun mengkuang kering, warnakannya mengikut warna-warna yang sesuai dengan cara merebusnya di dalam pencelup warna. Kemudian ia dijemur semula sehingga kering. Setelah itu, daun tadi sudah boleh dianyam.
Sebelum dianyam hendaklah dilurutkan dengan menggunakan buluh yang dibuat seperti pembaris. Cara anyaman tikar mempunyai pelbagai corak dan motif. Diantaranya adalah dikenali sebagai kelarai. Semua jenis kelarai adalah berunsurkan alam semulajadi iaitu seperti tumbuh-tumbuhan, bunga, fauna dan sebagainya.
Tikar mengkuang yang lebar bilah anyamannya (tikar bangkar) biasanya digunakan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran, melapik punggung di dangau dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak dicelupkan warna. Berbanding dengan tikar yang dikhaskan untuk tetamu, tikar dibentangkan bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak menarik dan berwarna-warni.
Pada kebiasaannya, tikar mengkuang yang dianyam berwarna-warni akan diletakkan di dalam bilik tidur kerana ia menyerlahkan lagi kecantikkan bilik tersebut. Kini tikar mengkuang jarang sekali kita jumpai dipasaran tetapi yang berminat bolehlah memperolehinya di Pekan Rabu Alor Setar.
INFO:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan