HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Sabtu, 5 Jun 2010

MUSIM HUJAN DAN CUTI SEKOLAH

Sungai adalah tempat yang disukai oleh kanak-kanak untuk mandi dan berenang. Lokasi: kawasan kunci air kampung Yoi, Pokok Sena, Kedah.@tiblakedah.blogspot.com
Sekarang ini boleh dikatakan setiap hari hujan turun. Waktu sebelumnya hujan hanya turun di waktu petang. Pagi ini hujan turun agak lebat. Saya terjaga pada jam 4.00 pagi hujan sudah turun. Entah jam berapa hujan mula turun dan pastinya kami penduduk di sini tidak turun ke kebun untuk menoreh.

Pastikan anak-anak pulang awal, suasana persekitaran semakin gelap, elakan pekara yang tidak diingini belaku.Lokasi: Kampung Bukit Larik, Pokok Sena.
Saya suka hujan sebab bunyi air yang jatuh dari atap ke bumi itu pada saya memberi kedamaian. Tambah pula rumah kami berdekatan dengan sawah, macam-macam bunyi yang kedengaran dari seranga kecil hinggalah haiwan yang melata dan juga binatang ternakan.

Teringat dulu masa kanak-kanak, bila musim tengkujuh begini, saya dan adik beradik paling seronok sebab ada peluang main hujan dan yang paling menyenangkan kami tidak perlu bersusah-payah mengangkut air di perigi yang jauh dari rumah. Hanya perlu tadah air hujan dan angkut ke atas rumah berdekatan dengan dapur.

Tapi yang paling saya tidak boleh lupa masa hujung tahun masa saya darjah enam. Masa itu saya tak boleh hendak main hujan masa musim tengkujuh sebab berkhatan. Hanya dapat melihat adik dan abang-abang saya bermain air hujan dari kawasan rumah. Dalam pada itu, berasa seronok dapat melihat mereka main rakit batang pisang. Abang saya pula siap memasang bubu dekat celah-celah anak sungai. Hal ini bagi memudahkan ikan dari sungai yang melimpah masuk ke dalam bubu.

Masa musim hujan makanan memang bercatu sebab ada kebun kami yang ditengelami air. Ubi dan pisang banyak yang mati nasib baik sebelum itu bapa kami telah mengambilnya bolehlah kami makan untuk hidangan keluarga. Ikan tiada masalah sehinggakan terlampau banyak emak buat ikan salai.

Musim hujan begini memang ‘best’ makan ubi rebus dengan kelapa parut. Kadang emak buat ‘ubi getok’ memang berselera. Maklumlah masa tu mana ada makanan segera dan ayam goreng bersalut rempah. Kami sering dihidangkan nasi dengan ikan salai dan sayur kangkung saja. Kadang-kadang lauk dari kulit lembu yang dikeringkan ditumis semacam sotong kering. Memang best masakan emak. Masa musim hujan ini, apa pun sedap sebab perut sentiasa lapar. Kena pulak sekali-sekala dapat pulut tanak dengan kelapa parut dan ikan kering, perghh!

Jauh betul saya bawa anda semua di zaman kanak-kanak. Budak-budak zaman sekarang saya kira ibu bapa mereka pasti tidak membenarkan anak-anak mereka bermain hujan tambahan pula yang tinggal di bandar. Apa tidaknya, hujan sekarang berasid dan boleh mendatangkan penyakit. Berbeza pada zaman dahulu, air hujannya bersih dan tidak berasid. Malah kanak-kanak dahulu biarpun aktif dengan aktiviti luar yang lasak, namun ketahanan badan mereka begitu kuat sehingga sukar mendapat penyakit.

Berbincang sesama rakan sebaya di satu lorong jalan ke kampung Bukit Lala.
Berbalik masa cuti sekolah bagi anak-anak yang masih bersekolah eloklah mengulangkaji buku pelajaran dan yang berkerja di kampung musim hujan eloklah membuat kerta-kerja yang sesuai di rumah. Jemputan kenduri kawin pun banyak juga. Mana-mana ada undangan kenduri kawin eloklah ditunaikan dengan sebaik-baiknya sebagai memenuhi tanggungjawap kita sebagai jiran atau sahabat.
Suasana mendung kebiasaan hujan akan turun. Lokasi: Jalan Langgar, Alor Setar.
Apa pun yang penting beringat sebelum kena, seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan”. Musim cuti sekolah dan kebetulan musim hujan, berhati-hatilah ketika memandu di jalan raya yang basah dan licin. Pastikan juga anak-anak kita dipantau aktiviti mereka. Jangan biarkan mereka bermain di tepi-tepi longkang atau sungai kerana ainya deras dan berlumpur. Selamat bercuti dan balik kampung dan hati-hati ketika memandu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan