HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Rabu, 29 April 2009

BUATLAH APA YANG ANDA SUKA

TAPI INGAT, ANDA PASTI AKAN DIKEMBALIKAN JUA AKHIRNYA

Yakinlah Kematian itu satu yang pasti, sentiasalah bersedia untuknya. Oleh itu, kita yang masih hidup harus sentiasa berbaik sangka dan mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Moga-moga kita akan menemui Allah dalam keadaan khusnul khatimah dan dalam limpahan rahmat dan keampunanNya. Amin

Get this widget Track details Keagungan Tuhan


Selasa, 28 April 2009

DEMAM DITINGGALKAN ISTERI

Pemandangan di tepi pantai Tanjung Kepah Lekir, Sitiawan Perak.
@ tiblakedah.blogspot.com
Sehari selepas saya ditinggalkan isteri di sebabkan ia ingin menziarah anak kami yang tua, Muhamaad Firdaus yang tinggal di rumah lama kami di Hulu Langat, saya diserang demam menyebabkan sukar untuk bergerak bebas. Semasa terlantar itulah cerita-cerita lama semasa zaman kanak-kanak ditayangkan semula dalam fikiran saya.
Semasa di kampung Lekir tempat kelahiran saya, tempat kami berkumpul adalah di dewan orang ramai atau di sungai tempat kami mandi dan berenang sambil menangkap ikan. Pada masa itu ikan amat mudah diperolehi hanya dengan menangkap mengunakan tangan. Ikan didapati bersembunyi dan berkeliaran dalam lubang-lubang di tepi tebing sungai. Amatlah mudah untuk mendapatkan ikan untuk dibuat lauk untuk makanan keluarga.
Hari minggu kami lebih suka pergi ke laut mencari kerang. Kerang mudah diperolehi di Tanjung Kepah yang terletak 4 km dari kampung kami. Kami cuma sediakan guni dan papan sekeping yang diikat bersama tali, untuk menarik kerang yang telah penuh di dalam guni untuk diangkut ke tepi pantai.

Saya selalu mengambilnya seguni saja disebabkan tidak mampu membawnya lebih. Seguni kerang amat berat bagi ,ketikaitu umur baru berusia 11tahun, maklumlah kenderaan yang popular masa itu hanya basikal. Boleh di katakan tiap-tiap minggu kami pergi ke sini, sekiranya kami tidak mengutip kerang kami akan mengutip belangkas sambil kami berkelah di kawasan pantai. Apabila air mulai pasang penuh barulah kami pulang bersama hasil yang kami perolehi

Rabu, 22 April 2009

KESUKARAN BUKANLAH PENGHALANG UNTUK KITA BERJAYA


@ tiblakedah.blogspot.com
Pagi ini isteri saya sibuk betul, maklumlah dia tidak sabar hendak balik ke Hulu Langat. Tempat mula-mula kami tinggal di rumah sendiri, sebelum itu kami menyewa rumah di Dato Keramat, Kuala Lumpur.

Rumah yang kami bina pada masa itu harganya masih murah iaitu sekitar RM 11,000.00 sahaja. Rumah yang dibina separuh papan dan batu, mempunyai tiga bilik tidur dan ruang tamu. Wang yang diperoleh untuk membuat rumah adalah hasil perniagaan sampingan yang saya lakukan pada hari minggu. Saya meniaga buku-buku ilmiah dan kaset di mana pada masa itu sambutan di kalangan orang ramai adalah sangat menggalakan.
Apabila saya memilih untuk bersara awal, saya bertekad untuk balik ke kampung isteri dan menjalani kehidupan hari tua bersama isteri tersayang, anak - anak, dan juga ibu mertua saya di kampung.
Semasa saya bekerja dahulu, saya mengimpikan sebuah rumah kediaman yang dibina bersama sebuah pondok sebagai tempat saya berehat dan bersantai bersama keluarga.
Kebetulan, di hadapan rumah kami ada bekas jelapang padi yang telah lama terbiar yang akhirnya kami telah mengubah suai menjadikannya sebuah pondok. Kami namakan pondok tersebut sebagai " Teratak Impian Bukit Lala" sempena gandingan nama pondok dan nama tempat kami tinggal.
Buku-buku yang tidak terjual semasa saya meniaga dahulu saya tempatkan di se buah bilik khas iaitu 'mini library' untuk dijadikan bahan bacaan serta rujukan kami sekeluarga. Di dalam bilik 'mini library' itu juga saya telah menempatkan sebuah komputer yang dilengkapi dengan kemudahan internet. Kemudian pada bulan Mei 2008, saya mula mencuba untuk berjinak-jinak dengan membina sebuah laman web yang saya namakan sebagai "Teratak Impian Bukit Lala".
Minat saya untuk membina sebuah laman web adalah sangat mendalam. Saya banyak bertanya kepada kawan-kawan mengenai teknik tentang bagaimana hendak membuat sebuah blog. Pengetahuaan saya dalam bidang laman web bermula dari 'zero. Namun oleh sebab minat yang mendalam, segala perkara yang sukar boleh diatasi. Rupa-rupanya sesuatu yang kita impikan sekiranya diusahakan dengan minat dan tekun, insyaAllah akan berjaya jua akhirnya.

Get this widget Track details @tiblakedah

Selasa, 21 April 2009

KITA BELUM TERLAMBAT


Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang paling sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyuman nya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun."
Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi Aku reda dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.
Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.
Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun
masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya
.

Whether you’re right, wrong, black,white,old, young ,rich or poor ....... - In the End

In The End - Yusof Islam.

Jumaat, 17 April 2009

MANDI HUJAN

@ tiblakedah.blogspot.com
Selesai sahaja memotong dan membersihkan rumput di persekitaran rumah bersama isteri, kami berehat sebentar sambil menikmati jeruk bacang yang isteri saya buat semalam.
Keadaan cuaca di langit pada ketika itu kelihatan agak mendung. Kemungkinan hujan hendak turun. Jam menunjukkan pukul 6.45 petang. Hujan mula turun dengan lebatnya. Semasa saya hendak mandi kebetulan bekalan air tiada. Hal ini biasa berlaku di kampung kami.
Di luar, hujan masih turun dengan lebatnya. Saya akhirnya mengambil keputusan untuk mandi sahaja air hujan hasil tadahan di luar rumah.
Air hujan di kampung kami masih kelihatan bersih dan jernih malah sangat sejuk membuatkan saya ingin terus bermandi air hujan dengan sepuas-puasnya. Dalam pada masa yang sama, saya teringatkan peristiwa di mana anak saya yang enggan mendengar kata-kata saya untuk terus bermandi dengan air hujan mungkin kerana terlalu seronok.
Saya menasihatinya agar tidak bermain dengan air hujan kerana risau dia akan mendapat demam memandangkan keadaan persekitaran kini yang tercemar sehingga menyebabkan hujan asid. Namun demikian, keadaan persekitaran di kawasan kampung kami masih lagi tidak tercemar memungkinkan air hujan yang turun masih lagi boleh untuk bermandi-manda.

Get this widget | Track details | @tiblakedah

Ahad, 12 April 2009

BUAH BACANG

Arkib tibla : Pokok bacang yang sudah hampir berumur 50 tahun dan masih berbuah.
@ tiblakedah.blogspot.com
Saya masih ingat semasa saya kecil dahulu saya suka ikut bapa saya ke kebun di belakang rumah. Bapa saya selalunya membersihkan kawasan kebun dengan mengunaan cangkul dan parang panjang. Ibu akan turut serta membantu membersihkan kebun setelah selesai mengangkut air dari telaga yang berdekatan.

Semasa mereka sedang sibuk berkerja, saya suka berkeliaran di sekitar kawasan kebun mencari buah-buah yang ada ditanam atau yang hidup meliar di kawasan kebun. Di kebun kami buah yang paling mudah diperolehi ialah buah bacang, kewinin, cempedak dan rambai.


Kebanyakannya buah yang sudah masak ranum pada masa itu ialah buah bacang. Pantang melihat buah bacang yang sudah gugur di atas tanah, saya akan mengutip kesemuanya dan memasukkannya ke dalam upih pinang untuk dibawa pulang ke rumah. Dalam perjalanan untuk sampai ke rumah, saya sempat memakan buah bacang itu dengan cara mengigitnya.

Saya menyangka buah bacang boleh digigit dan dimakan terus tanpa dikupas terlebih dahulu seperti buah mangga yang lain. Namun, apabila saya menggigit sahaja buah bacang itu tanpa disangka-sangka bibir saya bengkak dibuatnya.
Dalam pada itu saya menjadi panik dan menjerit kesakitan. Mujurlah emak saya ada pada ketika itu. Dia segera mengambil minyak kelapa dan menyapu minyak tadi pada bahagian yang terkena getah bacang. Dua tiga hari juga saya menanggung akibat untuk pulih semula. Begitulah zaman kanak-kanak saya yang penuh dengan pengalaman dan kenangan pahit yang bertukar manis yang sukar untuk dilupakan.
*Jeruk dari putik bacang yang gugur (Resepi Tibla)
Jangan biarkan sahaja putik bacang yang gugur (sebesar telur ayam) dibuang begitu saja
  1. Kupas kulit bacang dengan pisau dan dipotong nipis.
  2. Rendam dengan air garam (lebihkan garam) dengan mengunakan air panas.
  3. Biarkan semalaman. Kemudian buangkan airnya dan ditoskan.
  4. Bancuh air gula dalam kepekatan yang serderhana bersama sedikit cuka .
  5. Masukan semua hirisan bacang yang telah ditoskan tadi ke dalam air gula.
  6. Untuk rasa jeruk yang lebih enak bolehlah disimpan di dalam peti sejuk. Setelah sejuk bolehlah dimakan. Selamat mencuba.

Khamis, 9 April 2009

SUMBER ALAM POKOK PISANG

@ tiblakedah.blogspot.com

Pokok pisang amat mudah ditanam dan mudah dijaga. Apabila sudah masak ranum, buahnya terasa amat enak apabila dimakan begitu sahaja atau disalut dengan tepung dan digoreng untuk dimakan terutamanya ketika masih panas.

Daunnya juga boleh digunakan sebagai pembalut untuk membuat kuih-muih dan alas membakar ikan untuk menghasilkan aroma yang menyelerakan dalam hidangan masakan.

Di Kedah, kebiasaanya apabila ada kenduri-kendara, pendududuk di sini memasak kari tulang dan daging bersama umbut pisang. Saya masih ingat semasa saya pindah ke sini dahulu, saya tidak berapa mengemarinya, tetapi lama-kelamaan saya semakin menggemari rasa keenakannya.

Selain itu kulit pisang boleh dijadikan losen yang paling berkesan dan murah. Senang sahaja cara membuatnya. Mula-mula cuci kulit pisang masak dan potong kepada kepingan kecil. Kemudian, masukkan ke dalam setengah cawan susu segar dan kisar sehingga sebati.

Simpan ramuan ini ke dalam botol dan sejukkannya. Gunakan sebagai losyen untuk menyegarkan kulit kering atau bertompok.InsyAllah kulit anda akan menjadi lebih lembut dan tidak akan tompok pada kulit wajah.

Banyak kegunaan yang kita boleh dapat daripada sumber pokok pisang sekiranya kita rajin untuk mencubanya. Sekurang-kurang ia dapat menjimatkan kos kehidupan keluarga. Semogga berjaya.

Tok guru & Artis

Ahad, 5 April 2009

TANAMAN HERBA LANDSKAP


Arkib tibla : Pokok sireh dan kolam ikan

@ tiblakedah.blogspot.com

Tanaman landskap dipercayai sudah wujud sekian lama seperti lamanya kewujudan manusia. Walau bagaimanapun, trend penanaman herba secara perladangan dan tanaman hiasan adalah masih baru.

Ia bermula sebagai kebun herba di belakang rumah untuk tujuan kegunaan harian dan berkembang menjadi taman-taman herba yang kecil untuk kegunaan khasiat perubatannya. Tidak banyak tumbuhan aromatik dan herba yang digunakan sebagai sebahagian daripada tanaman landskap. Keindahan landskap akan lebih menarik jika tumbuhan hiasan turut diselang-selikan dengan tumbuhan aromatik dan herba sebagai salah satu identiti yang mempunyai nilai eksotik untuk menunjukkan kekayaan sumber alam semulajadi negara ini.

Faktor yang perlu dipertimbangkan untuk mewujudkan taman herba adalah bergantung kepada kegunaan dan kesesuaian jenis pokok mengikut keperluan seseorang itu sendiri.

Hari ini dalam sejarah

Rabu, 1 April 2009

HUJAN LEBAT DAN PETIR

@ tiblakedah.blogspot.com
Hampir seminggu saya tidak menulis di dalam blog disebabkan komputer rosak kerana disambar petir, kemudian diikuti dengan modem yang tidak berfungsi. Banyak perkembangan terbaru yang berlaku tidak dapat saya ikuti dan ketahui. Setelah komputer siap dibaiki, terdapat masalah lain pula yang timbul iaitu banyak gambar-gambar dalam blog telah hilang. Banyak masa saya dengan menyunting dan memasukkan semula gambar-gambar tersebut. Saya memohon maaf mungkin kerana ada cerita-cerita yang masih belum sempat saya siapkan.
Dalam masa saya meneliti gambar dalam arkib simpanan, saya terjumpa gambar yang menarik untuk dimasukan dalam blog saya untuk tatapan kita semua.
Semoga dengan gambar ini dapat menguatkan semangat saya untuk terus menulis semula blog-blog yang dipenuhi dengan maklumat dan info-info terkini.