HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Rabu, 31 Disember 2008

UNDI PAS-DAP DAPAT PAHALA?

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
KUALA TERENGGANU 30 Dis 2008 (Utusan Malaysia) - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta menjelaskan kedudukan orang Melayu yang menyokong DAP sedangkan ia secara terang-terangan menentang Islam. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, jika Menteri Besar Kelantan itu boleh mengeluarkan 'fatwa' sesiapa mengundi Pas mendapat pahala daripada Allah, maka beliau perlu menjelaskan kedudukan orang Melayu yang menyokong parti bukan Islam.


Beliau menegaskan, jika orang Melayu menolak Barisan Nasional (BN) berdasarkan 'fatwa' itu, bagaimana pula kedudukan orang Melayu di negeri lain yang menyokong DAP dan parti bukan Islam lain.Jelasnya, Nik Abdul Aziz perlu berbuat demikian bagi mengelakkan kekeliruan kerana selagi penjelasan itu tidak dibuat, maka 'fatwa' beliau mengenai dosa dan pahala terbukti semata-mata bertujuan untuk memancing undi.

''Saya fikir kenyataan Menteri Besar Kelantan itu tidak mungkin boleh mempengaruhi pengundi Melayu di sini kerana mereka semua tentunya berniat baik, mengundi BN kerana inginkan kebaikan dan kesejahteraan. ''Apakah mengundi BN mendapat dosa? Beliau harus buat penjelasan berhubung Melayu yang menyokong DAP," katanya selepas menziarahi penghuni Rumah Pangsa Seri Kolam di sini hari ini.


Beliau yang juga calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang mendakwa mana-mana pengundi yang mengundi Pas akan mendapat pahala daripada Allah. Wan Ahmad Farid mempersoalkan adakah berdosa jika masyarakat Melayu mengundi BN yang sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk kebaikan dan kesejahteraan umat. ''Apakah mereka yang menyokong kerajaan BN yang ternyata banyak melaksanakan pembangunan, sekolah, masjid dan kemudahan lain itu berdosa hukumnya," ujarnya.

Menurutnya, beliau tidak hairan dengan 'fatwa' berkenaan kerana pemimpin Pas sering mengeluarkan fatwa menjelang pilihan raya. ''Yang anehnya fatwa menghukum hanya dikeluarkan kepada Melayu di Kuala Terengganu tetapi di negeri lain tidak," katanya.

Arkib ucapan pemimpin : Senator D. Wan Ahmad Farid Wan Salleh

Arkib ucapan pemimpin: Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat - Dosa pahala

Apa Mereka Kata

Tiada ulasan:

Catat Ulasan