Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Koperasi, YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul meminta semua pihak tidak mengaitkan kemalangan dan kematian dengan kepercayaan khurafat yang boleh merosakkan aqidah.
Kenyataan tersebut dikeluarkan ekoran tanggapan pelbagai pihak mengenai kejadian kemalangan di Titi Haji Idris, Pendang yang meragut nyawa enam guru silat dikaitkankan dengan kejadian misteri. Pelbagai pihak mendakwa kononnya tempat tersebut ‘keras’ dan memerlukan khidmat bomoh untuk memulihkannya.
Menurut Dato’ Taulan, dakwaan penduduk kampung dan keluarga mangsa mengenai jalan itu yang dikatakan terdapat perkara-perkara misteri sehingga menyebabkan kemalangan adalah tidak wajar.
“Saya menyangkal dakwaan penduduk dan keluarga mangsa kemalangan yang mengatakan ternampak benda misteri seperti haiwan besar dan kelibat manusia yang menyebabkan kemalangan berlaku.
“Perkara-perkara tersebut adalah khurafat. Semua kejadian telah ditentukan Allah SWT. Mempercayai perkara-perkara khurafat ini hanyalah membuang masa dan boleh merosakkan aqidah kita,” ujarnya.
Pada Isnin, 21 Mac lalu berlaku kemalangan di Jalan Titi Haji Idris yang meragut nyawa enam orang guru silat.
(Sumber: Warta Kedah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan