HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Ahad, 19 September 2010

POKOK MAMAN HIDUP SUBUR

Selepas menghantar anak lelaki saya ke sekolah, saya terus ke kawasan halaman rumah untuk membersihkan daun-daun kering yang gugur. Daun-daun dan ranting yang gugur saya kumpulkan ke dalam troli untuk dibawa ke kawasan yang lebih rendah untuk ditimbus bersama dengan tanah.

Seawal pagi, isteri saya pergi ke kebun yang berdekatan dengan rumah kami. Sejak kebelakangan ini, hujan sering turun di kampung kami. Kadang-kadang, di waktu pagi dan ada kalanya di waktu malam hari.

Di kebun kami, pokok maman hidup subur di kawasan tanah terbakar tanpa ditabur baja dan disembur racun serangga. Manakala hujan yang sering turun menyuburkan lagi kesegarannya. Kebetulan hari ini, pokok maman sudah matang dan boleh dituai. Isteri saya memotongnya, menghimpunkan dan mengikatnya dengan tali pisang.

Setelah dibasuh dan dibersihkan daun maman itu, saya terus menghantar daun tersebut ke pasar Pokok Sena untuk dijual secara borong. Harganya boleh dikatakan mahal juga iaitu sekilo RM 3.50. Kami mendapat wang sebanyak RM 21.00 untuk 6 kilogram daun maman.

Pemborong biasanya membeli daun maman untuk dibuat jeruk dan harganya sangat mahal dipasaran. Terutamanya setelah dibungkus dan diedarkan di kedai runcit.

Atas: Pokok Maman daunnya hijau.
tiblakedah.blogspot.com @ kamera AGFA OPTIMA 100.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan