MB INGATKAN AHLI MAJLIS PBT TENTANG KEPENTINGAN BUDI BICARA
LANGKAWI, 30 Jun (Hrkh) - Intelektual, budi bicara dan kesediaan menyediakan pengurusan yang berkesan melalui kefahaman isu masyarakat setempat dan mesyuarat amat penting dalam mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik.
Demikian antara inti pati yang ditegaskan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak pada ucapannya sempena Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Dan Pentadbiran Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah Bagi Penggal 2008-2009 di Hotel Bayview di sini malam semalam.
"Hari ini isu semasa cukup banyak dan pantas berubah sementara Ahli Majlis pula berada dalam isu.
"Isu maksud saya perkara-perkara yang menjadi tumpuan masalah di kalangan rakyat. Isu-isu yang ada memerlukan kepekaan kita memahami budaya, adat-resam, pantang larang, suka tidak suka masyarakat dan inilah yang dipanggil intelektual," ujar beliau.
Oleh itu, serunya, Ahli Majlis PBT perlu mentadbir sebagai golongan intelektual yang berbeza dengan golongan berpelajaran.
"Orang yang belajar kejuruteraan dia tahu ilmu kejuruteraan, yang belajar undang-undang dia tahu ilmu undang-undang, itu educated.
"Tetapi intelektual, selain ilmu asas yang dipelajarinya itu perlu juga difahami ilmu cabang yang berkait dengan kerjayanya," terangnya memahamkan.
Kerana itulah, menurut beliau, budi bicara penting ada dalam menjalanan sesuatu urusan.
"Budi bicara adalah senjata pentadbiran yang cukup mahal, cukup tajam," tegas beliau.
Menurutnya, Majlis Daerah adalah satu kerajaan kecil dalam kerajaan atau satu pemerintahan kecil dalam pemerintah. Maka, PBT itu secara tidak langsung jelasnya, menjadi cermin kepada kerajaan yang memerintah.
"Oleh itu, peranan tuan-tuan cukup besar, kerana kita mengamalkan colective-responsibility.
"Kita saling melengkapi dan memenuhi antara satu sama lain untuk mewujudkan satu masyarakat dan pentadbiran yang baik," jelasnya yang turut menegaskan mesyuarat sebagai kaedah dalam mencapai tuntutan tersebut.
Sebagaimana dalam kebanyakan ucapannya kepada golongan pentadbir, Ustaz Azizan turut menekankan kepentingan sistem penyampaian yang berkesan. Ustaz Azizan turut menyentuh tanggung jawab bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan menyediakan persekitaran yang 'convenience', tenang, aman dan bersih agar rakyat dapat hidup dengan selesa selain menarik kunjungan pelancong ke negeri ini.
Lapuran Harakah : Izwan Abdul Halim Mon Jun 30, 08 3:40:37 pm MYT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan