HIJAU. TENANG. DAMAI @ Ke arah persekitaran yang lebih hijau

Rabu, 3 Mac 2010

AMPANGAN JAJAR, ALOR SETAR

Jambatan ini melintisi sungai Kedah. Kawasan ini dinamakan Ampangan Jajar, Alor Setar.Ambil gambar tepi jambatan
Jambatan laluan ke Indra kayangan
Masa berkuasa jadi sebutan
Kerajaan Kedah dapat sokongan

Bena jambatan tujuan nak menang
Projek kerajaan BN diberi nama
Di zaman susah atau senang
Pemimpin kami sentiasa bersama

Menyeberang parit meniti batang
Minum air cedok di telaga
Jangan hidup suka berhutang
Tidur tak lena selalu terjaga

Gambar diambil di tepi jeti Sungai Kedah, Alor Setar.

Ampangan Jajar : Berhampiran dengan Ibu Pejabat MADA Alor Setar, Kedah. Di kawasan persekitarannya ada Taman Rekreasi dan Jeti tempat bot-bot berlabuh terutamanya Jabatan Laut Malaysia. Jambatan ini juga adalah jalan penghubung di antara Alor Setar dan Kangar, Perlis.

Selasa, 2 Mac 2010

RUMAH TRADISIONAL DI KUBUR PANJANG

Rumah tradisional kepunyaan Encik Ismail Awang yang terletak di Kubang Pisang, Kubur Panjang, Pendang@tiblakedah.blogspot.com
Hari ini merupakan hari yang bersejarah buat saya. Apa tidaknya perjalanan saya bermula dari pukul 7.30 pagi hinggalah ke pukul 11.15 pagi. Walaupun jalan yang saya lalui jauh dan memenatkan namun atas dasar minat yang mendalam tidaklah menjadi halangan untuk saya sampai ke kampung Kubang Pisang, Kubur Panjang, Pendang. Jarak perjalanan yang saya lalui untuk sampai ke sana adalah sejauh 50 km mengikut jalan-jalan kampung dan jalan sungai.


Kampung Nawa, jalan yang saya lalui menuju ke Kubur Panjang.
Setibanya saya di satu kawasan perumahan kampung, saya terpandang sebuah rumah tradisional yang sangat menarik untuk diambil gambarnya untuk menghiasi dan disiarkan dalam blog saya.

Saya terus memberhentikan motor dan mengambil keputusan untuk berjumpa dengan tuan rumah tersebut. Kebetulan beliau ada di situ. Beliau baru sahaja bersara dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) cawangan di Alor Setar.

Jalan kampung kawasan dusun buah dan sawah di Kampung Kiew.
Beliau bersara pada pada tahun 2007 ketika umurnya 55 tahun. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Ismail Awang. Isterinya bernama Habibah Yakob. Beliau mempunyai 4 orang anak dan semunya sudah berkerja.

Jalan kampung, kebun getah dan sawit di Padang Serai.
Rumah yang beliau bina ini hanya dijadikan rumah rehat di waktu lapang dan cuti semasa hujung minggu. Minatnya untuk membina rumah kampung sudah lama terpendam. Malah menjadi salah satu impian yang diimpikan beliau sejak zaman remaja lagi sehinggalah beliau bersara. Namun ternyata impiannya kini untuk memiliki sebuah rumah kampung tradisional yang nyaman terletak jauh dari hiruk-pikuk bandar tercapai.

Rumah yang dibinanya adalah hasil gabungan tiga buah rumah kampung yang dibelinya di kawasan Pendang dengan kos sebanyak RM 40,000.00 hasil wang yang dikumpul oleh beliau dari wang gajinya.

Jalan pintas di Taman Pertama untuk balik ke rumah.
Dengan minat yang dimiliki serta kemampuan yang ada beliau berjaya menyiapkannya walaupun masih ada kekurangan. Beliau ingin menambah untuk membina pagar kayu dan menurap halaman rumah dengan batu putih bagi menyerikan lagi kawasan pesekitaran termasuk dengan menanam pokok-pokok yang sesuai sebagai penyejuk di kawasan halaman rumah.

Isnin, 1 Mac 2010

HADIR KALI PERTAMA MENDENGAR KULIAH MENTERI BESAR DI SERI MENTALLON

Dewan Seri Mentaloon di kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Darul Aman>@tiblakedah.blogspot.com
Dewan Seri Metaloon telah lama menjadi tumpuan orang ramai untuk mengikuti kuliah pengajian ilmu setiap minggu hari Sabtu. Rumah rasmi Menteri Besar telah dijadikan tempat pengajian sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah daripada BN pada PRU12. Hari Sabtu lepas merupakan kali pertama saya hadir untuk mengikuti kuliah oleh Dato’ Ustaz Azizan Abdul Razak Menteri Besar Kedah.

Saya tiba pada pukul 10.00 pagi dengan menaiki motor dari kediaman saya di Pokok Sena yang jaunya 25 km melalui jalan Kedondong Dehrang dan Bukit Pinang terus ke Seri Mentaloon. Sementara menunggu ketibaan Dato’ Menteri Besar saya sempat melawat gerai-gerai yang ada di hadapan dewan Seri Mentaloon.

Setelah berapa minit menunggu saya lihat sudah ramai unit Amal berbaris untuk menunggu kehadiran Menteri Besar, Beliau turun dari kereta miliknya tanpa menggunakan kereta rasmi. Beliau diiringi ketua Unit Amal dengan bersalam dengan ahli Unit Amal dan orang ramai yang berbaris termasuk saya sendiri.

Orang ramai sudah ramai membanjiri dewan kuliah dan kebanyakan bangku yang disediakan semuanya penuh. Saya mengira lebih dari seribu orang yang hadir. Keadaan dalam dewan sungguh selesa dengan adanya penghawa dingin yang berfungsi dengan baik. Saya sempat menggambil gambar Menteri Besar dan orang ramai yang telah bersedia menunggu untuk mendengar kuliah.

Pengerusi majlis memulakan ucapan aluan seterusnya menjemput Menteri Besar Dato’ Ustaz Azizan Abdul Razak menyampai kuliahnya yang bertajuk “Hubungan Rahim” ceramah beliau memakan masa selama 1 jam, dengan penuh minat dan tidak terasa jemu orang ramai yang mendengarnya. Jamuan makan tengah hari juga disedikan setelah tamat penjajian.

Sabtu, 27 Februari 2010

TITI KAYU

Titi kayu di kawasan sawah padi di Kepala Bendang, Pokok Sena@tiblakedah.blogspot.com
Keadaan titi kayu yang yang menghubungkan petak sawah dengan petak sawah adalah fenomena biasa di sini. Mereka mengunakannya titi kayu hanya sekali sekala bila melakukan kerja di sawah.


Titi kayu ini dibena secara pesendirian oleh mereka yang memiliki sawah di kawasan ini bagi memudahkan pegerakan mereka dengan melalui jalan pintas ke sawah mereka.

Bukan tidak ada titi yang kukuh disediakan tetapi jauh sedikit untuk mereka lalui. Jadi kerana tiada pilihan, mereka perlu melalui titi kayu yang mereka bena bagi menabur baja atau benih padi, walaupun titi ini sudah uzur, mereka masih menggunakannya.

Jika jatuh atau patah mereka masih boleh bangun kerana mereka sudah biasa lagi pun airnya sangat cetek. Untuk membaikinya amat mudah, kerana kayu mudah diperolehi di kawasan yang berdekatan. Mereka beritahu saya ”jambatan batu pun runtuh, titi kayu, besa laa...tu”

Jumaat, 26 Februari 2010

JALAN RAJA ALOR SETAR

Papan penunjuk arah di Jalan Raja Alor Setar, Kedah@tiblakedah.blogspot.com
Pagi ini jam 8.30 pagi hari Jumaat saya ke Balai Polis cawangan Trafik di Jalan Raja Alor Setar kerana membuat lapuran kemalangan anak saya yang lewat dilapurkan.

Pejabat Polis Cawangan Trafik Alor Setar
Sementara menunggu anak saya disoal siasat saya mengambil kesempatan untuk mengambil gambar-gambar pemandangan di Jalan Raja dan kawasan pesekitaran. Gambar yang dirakamkan diambil dari Jalan Raja, kenderaan bertaliarus melalui Jalan Raja dari Selatan ke Pusat Bandar atau di sebaliknya. Kenderaan ini juga melintasi Jambatan Bailey (Jambatan Sultan Abdul Halim) yang masih kelihatan kukuh hingga sekarang.

Pejabat Pos lama Jalan Raja Alor Setar
Di sebelah belakang, kelihatan Pejabat Pos Besar dan Pejabat Polis yang kelihatan masih utuh, untuk pengetahuan anda semua kedua-dua bangunan tidak lagi digunakan.

Ibu Pejabat Polis asal Jalan Raja Alor Setar
Bangunan ini mungkin akan dijadikan bangunan sejarah yang akan menjadi lambang kemegahan Bandar Alor Setar serta rakyat Kedah amnya.

Khamis, 25 Februari 2010

MUSIM PANAS YANG PANJANG

Kulit pokok kering akibat musim panas yang panjang @ lokasi : kampung Bukit Lala Pokok Sena, KedahMusim panas pokok kekeringan
Kulit terkopek daun berguguran

Pengelaman tiada besar angan-angan

Peniagaan rugi hutang bertaburan


Pokok kering sering dirawat

Ubat disapu akan menjadi

Diberi jawatan sering melawat
Masa pilihanraya rakyat memberi undi

Siram pokok di waktu pagi

Menyubukan pokok elakkan tumbang

Sebarkan ilmu tidakkan rugi

Ilmu dipelajari akan berkembang

Rabu, 24 Februari 2010

ZIARAH KE KAWASAN PERKUBURAN KAMPUNG KIEW, POKOK SENA

Pemandangan segar hijau dan tenang di waktu pagi di kawasan pekuburan kampung Kiew, Pokok Sena@tiblakedah.blogspot.com
Sunyi sungguh suasana pada pagi itu. Tujuan aku keluar pada pagi itu hanyalah untuk pergi ke gerai minuman di Pekan Pokok Sena bersebelahan klinik Kesihatan. Gerai ini baru saja siap dibina bagi kemudahan dan memberi keselesaan kepada para peniaga di sini yang sudah menjalankan peniagaan di pekan Pokok Sena.

Semasa saya melalui kawasan perkuburan kampung Kiew, Pak Cik Shafie sedang asyik menyangkul dengan tekun. Dia tidak perasan tentang kehadiran saya ke sini. Saya lihat kawasan yang dibersihkanya sudah luas.

Menurut Pak Cik Shafie atau lebih mesra dengan panggilan Pak Cik Pee, dia memulakan tugasnya membersihkan kawasan kubur selepas subuh iaitu kira-kira jam 7.30 pagi. Dia sudah berumur 86 tahun. Menurut Pak Cik Pee lagi dia adalah merupakan penduduk yang mula-mula menetap di kampung ini. Isterinya masih hidup dan umurnya 70 tahun. Dia mempunyai empat orang anak dan berapa orang cucu. Tambah Pak Cik Pee, kawan yang sebaya denganya semuanya sudah meninggal dunia.

Bila diajukan soalan kepada beliau siapa yang memberi gaji padanya dia hanya menjawap “orang kampung” . Selama dia berkerja di sini rezekinya tidak pernah putus-putus. Ada sahaja yang menghulurkan bantuan kewangan kepadanya.

Pak Cik Shafie kelihatan cukup mesra. Dia juga masih boleh berjalan dan mengayuh basikal yang terletak 200 meter dari rumahnya ke kawasan perkuburan. Semasa bapa mertua saya masih hidup dia cukup kenal dengan bapa mertua saya. Arwah bapa mertua saya terkenal dengan panggilan “Pak Mat Keneh” bagi orang-orang tua dan dewasa di kawasan Pokok Sena.

Ironinya, dengan usia dan kudrat sedia ada sekarang ini, apalah sangat kerja yang boleh dilakukan bagi mencari sesuap nasi. Namun bagi Pak Cik Pee, selagi kudratnya masih ada dia sanggup bekerja mencari rezeki bagi menyara kehidupannya sekeluarga tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain biarpun hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Raikanlah mereka yang memiliki latarbelakang yang berbeza.......