
Teknologi yang digunakan adalah penggunaan bahan kimia etilena (dalam bentuk gas) dan etefon (cecair) bagi merangsangkan kulit pokok getah. Bahan kimia cecair yang disapu pada kulit pokok getah (pada bahagian torehan) menyebabkan tindak balas dengan tisu kulit kayu (foloem). Reaksi yang sama juga berlaku jika tabung gas etilena dilekap kepada kulit pokok getah.
Tindak balas antara tisu kulit kayu dengan bahan kimia menyebabkan saluran lateks dalam kulit kayu getah lambat membeku. Ini mengakibatkan aliran susu getah untuk tempoh yang lebih lama selepas ditoreh berbanding pokok yang tidak dirangsangkan dengan bahan kimia.
Saluran lateks pada kulit kayu getah akan membeku dalam tempoh beberapa jam tanpa bahan kimia rangsangan itu. Aliran keluar susu getah yang lebih lama selepas dirangsang dengan bahan kimia bukan saja menghasilkan lateks yang lebih banyak tetapi juga membolehkan kerja torehan dilakukan antara empat hingga enam hari sekali atau purata dua kali seminggu.
Kaedah torehan yang tidak perlu dilakukan setiap hari seperti cara biasa itu dinamakan torehan Intensiti Rendah atau lebih dikenali sebagai LITS (Low Intensity Tapping System) di kebun-kebun dan ladang getah di negara ini adalah merupakan satu teknologi pengeluaran getah terkini yang telah diperkenalkan oleh LGM bagi mengurangkan keperluan tenaga buruh dan pada masa yang sama meningkatkan hasil dan pendapatan pekebun kecil.
(Sumber Info ringkas : LGM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan